Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

277) AJARAN SESAT DI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Sallehen Bin Mukhyi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah ajaran yang telah diwartakan sebagai sesat sehingga kini?

    Status terkini ajaran / fahaman / tarekat yang telah difatwakan sesat (aktif) seperti di Lampiran A.

  2. Apakah strategi dan langkah bagi menyedarkan mereka?

    Kerajaan serius dalam menangani ajaran sesat di Selangor dan antara strategi serta langkah yang diambil adalah :

    1. Mengeluarkan fatwa berkaitan ajaran-ajaran atau fahaman-fahaman yang menggugat akidah atau keyakinan umat Islam
    2. Melaksanakan Program-Program Penerangan dan Hebahan Fatwa:

     

    • Program Bicara Fatwa

    Program Bicara Fatwa merupakan pendekatan Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) memberi pendidikan dan penerangan kepada masyarakat yang telah mula dilaksanakan oleh JMNS sejak tahun 2011 lagi. Program ini merupakan inisiatif JMNS untuk memasyarakatkan fatwa. Sasaran program ini seperti kakitangan-kakitangan jabatan kerajaan dan swasta dan guru–guru sekolah samada kementerian mahupun JAIS.

     

    • Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti

    Program turun padang “Mesra Ummah Bersama Jabatan Mufti” ini dilaksanakan pada setiap hari Jumaat mengikut perancangan Sasaran Kerja Utama (SKU), di samping menerima jemputan khusus dari masjid yang menawarkan pihak JMNS melaksanakan program ini di masjid mereka. Antara kandungan program ini :

    1. Tazkirah berkaitan ajaran/ fahaman yang menyeleweng sebelum Solat Jumaat
    2. Khutbah Jumaat
    3. Dialog Bersama SS Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor mengenai isu-isu semasa

     

    • Hebahan Fatwa melalui :
    1. Poster
    2. ePoster
    3. Platform Media Sosial
    4. Laman Web Jabatan Mufti Negeri Selangor

     

  3. Berapa yang telah berjaya dan berapa yang gagal?

    Kerajaan tiada ukuran dalam menentukan program yang dilaksanakan terhadappengikut ajaran sesat ini berjaya atau gagal kerana program yang dilaksanakan         kepada semua masyarakat Islam dan tidak memfokuskan kepada pengikut     ajaran sesat atau pendekatan program kepada satu-satu ajaran sesat sahaja.   Bagi penentuan seseorang individu sesat ataupun tidak adalah berdasarkan             fakta dan keputusan mahkamah.

    Fatwa yang dikeluarkan adalah merujuk kepada ajaran dan bukan kepada individu ataupun pengikut ajaran. Seseorang yang dikaitkan dengan ajaran  juga tidak boleh disifatkan sesat selagi mana tidak diputuskan oleh             mahkamah. Justeru itu tiada satu penetapan yang boleh menyifatkan suatu program kesedaran kepada pengikut ajaran itu berjaya ataupun gagal.