Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
21) AIR TIDAK TERHASIL (NON REVENUE WATER)
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengatasi masalah air tidak terhasil sementara menunggu penstrukturan semula industri air berjaya dilaksanakan?
Penyelesaian menyeluruh ke atas ke atas masalah NRW ini hanya boleh dicapai dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif. Dengan terlaksananya penstrukturan semula industri perkhidmatan air, ianya dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Penang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Perjanjian Utama yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan, Pengururusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) pada 12 September 2014 adalah merupakan langkah pertama ke arah untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri air Negeri Selangor.
Melalui penstrukturan semula ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang merupakan anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor akan menjadi operator perkhidmatan air yang baru. Sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, pemantauan dan kawalan secara langsung boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan bahawa pengoperasian menitikberatkan faktor kualiti dan keberkesanan operasi dan bukannya mengaut keuntungan. Ditambah pula dengan adanya pengawasan dan pengawalan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pemantauan ke atas prestasi operator akan dapat dilaksanakan lebih teratur dan berkesan terutamanya ke atas aspek ekonomi, teknikal, sosial dan perlindungan pengguna. Ini dapat mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih cekap dan telus di mana kepentingan rakyat akan diberi perhatian utama.
Pada masa ini, sebagai persediaan untuk menambah baik operasi perkhidmatan air khususnya dalam mengurangkan NRW, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah bersedia dengan perancangan yang akan dilaksanakan sebaik sahaja penstrukturan semula dimuktamadkan.
-
Senaraikan jumlah peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Selangor dan lokasi penggantian paip baru mengikut pecahan daerah bagi tahun 2010-2015.
b) Berdasarkan perancangan yang dibuat oleh SYABAS, panjang paip yang perlu diganti adalah sepanjang 6,423km. Berikut merupakan ringkasan bagi perancangan SYABAS bagi projek penggantian paip lama: TAHUN PANJANG PAIP (km) 2005 -2008 811 2009 – 2011 7.5 2011 – 2015 210 Sebagai operator agihan tunggal juga, SYABAS telah dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula semua sistem agihan termasuk paip perhubungan yang berusia lebih 50 tahun termasuk paip paip usang. Cadangan penukaran paip perhubungan berusia lebih 50 tahun memang telah ada di dalam cadangan kerja-kerja pembangunan yang akan dilaksanakan oleh SYABAS menggunakan peruntukan CAPEX.
Hakikat sebenar yang berlaku, sebagai operator SYABAS telah tidak kompeten dalam melaksanakan tanggung jawab untuk membekalkan air kepada pengguna. SYABAS mendesak supaya sumber air ditambah ke dalam sistem agihan, sedangkan SYABAS tidak pernah mengakui kelemahan dalam menangani masalah Air Tidak Berhasil (NRW). Kejadian paip pecah dan paip bocor yang tidak terkawal telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kepada pengguna.
Justeru itu, melihat kepada kegagalan SYABAS sebagai operator bekalan air tunggal, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang ke atas semua masalah operasi yang dihadapi oleh seluruh rakyat Negeri Selangor