Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

167) AIR SELANGOR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Khasim Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh mana perkembangan pengambilalihan air dari SYABAS?

    Langkah untuk menyusun semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor adalah selaras dengan hasrat dan matlamat  Kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula industri perkhidmatan air ke arah satu perkhidmatan yang efisien, efektif, berdaya saing dan mapan. Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 21/2007 yang bersidang pada 11 Julai 2007, telah bersetuju dengan penyusunan semula Pemegang Konsesi Air Selangor di bawah satu konsortium yang akan diterajui oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

    Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) melalui surat bertarikh 11

    Februari 2008 telah memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor bahawa melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 Januari 2008 telah menimbangkan dan memutuskan:-

    1. supaya KDEB mengambil alih operari danpenyelengggaraan bagi rawatan dan pembekalan air di Negeri Selangor,Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk Loji Langat 2; dan
    2. supaya Kerajaan Negeri Selangor bekerjasama dengan Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam melaksanakan penstrukturan semula perkhidmatan air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya secara holistik. KDEB akan menjadi peneraju utama dalam konsortium baru.

    Pada 22 Januari 2008, PAAB telah memberikan taklimat kepada Kerajaan Negeri Selangor menerangkan mengenai peranan PAAB di dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara.

    Rundingan dan perbincangan telah diadakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan KTTHA semenjak tahun 2008. Beberapa siri perbincangan juga telah diadakan di antara YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dengan YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air bermula dari 20 April 2009.

    Bagi merealisasikan cadangan penstrukturan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah mengemukakan tawaran bagi mengambil alih Syarikat Konsesi Air

    sebanyak tiga (3) kali iaitu:-

    1. i) 13 Februari 2009 pada nilai sebanyak RM5,709 juta; ii) 25 Jun 2009 pada nilai sebanyak RM9,218 juta; dan iii)   31 Januari 2010 pada nilai sebanyak RM9,227 juta.

    Dalam menetapkan kos yang diperlukan untuk pengambilalihan tersebut, Kerajaan Negeri Selangor amat menitikberatkan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna di samping tidak merugikan mana-mana pihak. Elemen-elemen yang telah diambil kira dalam membuat penilaian harga tawaran adalah:-

    1. jumlah pelaburan yang telah dibuat oleh pemegang saham di dalam Syarikat Konsesi Air;
    2. ii) tempoh pelaburan yang telah dibuat;
    3. iii) jumlah hutang yang ditanggung;
    4. PAAB akan mengambil alih aset air dari SPV Air pada nilaian aset bersamaan dengan 1 kali Nilai Buku (1x Book Value); dan
    5. pulangan keuntungan sebanyak 12%

    Harga yang ditawarkan kepada Pemegang Konsesi adalah mengandungi nilaian aset, nilaian ekuiti dan liabiliti termasuk bon yang ditanggung oleh Pemegang Konsesi yang berkaitan khusus dengan perkhidmatan air sahaja. Harga yang ditawarkan adalah anggaran sahaja.  Harga sebenar akan ditentukan selepas proses due diligence disempurnakan. Sebarang  perbezaan dan/atau ketidaktepatan ke atas nilai yang dianggarkan selepas proses due diligence disempurnakan, maka nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi akan diselaraskan sebagaimana patut.

    Sekiranya tawaran tersebut tidak dipersetujui oleh syarikat konsesi dari segi tawaran, maka Kerajaan Negeri Selangor akan merujuk perkara berkaitan nilaian tersebut kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa (Independent International Arbitration). Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa rujukan kepada Badan Timbang Tara Bebas ini adalah bertujuan untuk menentukan fair market value di mana semua pemegang saham di dalam syarikat konsesi akan dibayar pampasan yang adil dan munasabah. Tidak ada mana-mana pihak yang akan mengalami kerugian dari pelaburan yang telah mereka buat di dalam industri tersebut.

    Kerajaan Negeri Selangor telah menulis kepada Kerajaan Persekutuan mengenai hasrat untuk memuktamadkan penstrukturan semula ini.  Kerajaan Negeri beranggapan  surat YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air melalui bertarikh 06 Februari 2013 merupakan kebenaran dari Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan tawaran kepada Pemegang Konsesi Air Negeri Selangor,

    Lanjutan dari surat YB Menteri tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada 20 Februari 2013 telah bersetuju supaya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengemukakan tawaran kepada semua Pemegang Konsesi Air Negeri Selangor bagi mengambil alih syarikat konsesi air  dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor.

    KDEB adalah syarikat milik Kerajaan Negeri yang paling sesuai untuk melaksanakan Model Holistik Negeri Selangor memandangkan KDEB, melalui anak syarikatnya milik penuhnya iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd memiliki lesen perkhidmatan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (“SPAN”). Ini akan memudahkan sebarang urusan pengeluaran lesen oleh SPAN pada masa akan datang.

    Bagi melaksanakan Model Holistik Negeri Selangor tersebut, KDEB akan mengambilalih 100% kepentingan ekuiti di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (“SYABAS”), Puncak Niaga Sdn Bhd (“PNSB”), Titisan Modal Sdn Bhd (“TMSB”) yang mengusai kepentingan di dalam Konsortium ABASS Sdn Bhd (“ABASS”) dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (“SPLASH Holdings”) yang menguasai kepentingan di dalam Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (“SPLASH”).

    Terma dan syarat kepada tawaran tersebut adalah seperti berikut:-

    • Nilai tawaran yang akan dibuat kepada kesemua Pemegang Konsesi Air adalah berjumlah RM9.6b;
    • Nilai tawaran tersebut adalah setelah mengambil kira pulangan ekuiti Pemegang Konsesi iaitu sebanyak 12% setahun dan juga nilai Aset-Aset Air yang akan disuntik kepada Pengurusan Aset Air Berhad (“PAAB”).
    • Kadar pulangan ekuiti 12% adalah dikira sehingga 31 Disember 2012 (tanpa “Compounding”) dan setelah ditolak dengan dividen yang telah dibayar sebelum ini;
    • Ekuiti yang akan diambilalih termasuklah semua bentuk instrumen pelaburan dan sumbangan daripada pemegang saham e.g. saham biasa, saham keutamaan, pendahuluan dan juga mengambil kira instrument hutang-ekuti (debt-equity instruments) sekiranya berkaitan.
    • Dari segi liabiliti yang akan di ambil alih, tawaran tersebut juga merangkumi pengambilalihan kesemua hutang-hutang berkaitan industri yang ditanggung oleh Pemegang Konsesi seperti:-
    1. i) Bond-Bond samaada yang telah diambil alih oleh Acqua SPV Berhad (“Acqua SPV”) atau yang masih berada di pasaran modal; ii) Pinjaman berpenggal, atau; iii) Pinjaman Kerajaan (jika berkaitan).
    • PAAB akan membuat keputusan ke atas pembayaran lebihan Nilai Buku Aset ke atas liabiliti, dan sekiranya bersetuju akan dibayar terus oleh kepada Pemegang Konsesi.
    • Bayaran nilai tawaran akan dibuat secara tunai.
    • Nilai tawaran akhir adalah tertakluk kepada proses “due diligence” yang akan dibuat.
    • Syarat-syarat lain termasuklah segala kelulusan yang perlu diperolehi oleh Pemegang Konsesi seperti kelulusan pemegang-pemegang saham, kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan dan semua agensi berkaitan, kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan semua agensi berkaitan serta kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Acqua SPV dan juga pembiaya kewangan (jika berkaitan).

    Lanjutan dari tawaran yang dikemukakan oleh KDEB pada 20 Februari 2013, beberapa siri perbincangan telah diadakan di antara KDEB dan Pemegang Saham SPLASH iaitu Gamuda Berhad, The Sweet Water Alliance Sdn Bhd dan Viable Chip Sdn Bhd pada 25 Februari 2013.

    Pada 28 Februari 2013, satu perbincangan telah diadakan oleh KDEB dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang merupakan Pemegang Saham majoriti di dalam Titisan Modal Sdn Bhd.

    Perbincangan juga telah diadakan  pada 01 Mac 2013di antara KDEB dan Puncak Niaga Holdings Berhad (“Puncak Holdings”).  Puncak Holdings merupakan pemegang saham di dalam SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd.

    Selain dari mengadakan perbincangan, Puncak Holdings juga telah mengemukakan surat kepada KDEB pada 27 Februari 2013 bagi meminta penjelasan berhubung tawaran yang dikemukakan oleh KDEB, di mana melalui surat bertarikh 04 Mac 2013, KDEB telah mengemukakan penjelasan kepada Puncak Holdings antaranya seperti berikut:-

    Bil Penjelasan yang diminta oleh Puncak Holdings Penjelasan oleh KDEB
    i. Keadaan apabila nilai aset air melebihi jumlah liabiliti tertunggak terhadap Pengurusan Aset Air

    Berhad (PAAB)

    Merujuk kepada keadaan yang berlaku di Johor dan Melaka, perbezaan nilai tersebut akan dibayar oleh PAAB kepada Pemilik Aset.

    Nilai sebenar yang akan dibayar kepada Pemegang Konsesi hanya akan ditentukan selepas proses due diligence.

    ii. Nilai tawaran belum mendapat persetujuan dari PAAB Rundingan rasmi dengan PAAB akan dimulakan oleh KDEB setelah semua Pemegang Konsesi Air bersetuju secara dasar di atas pengambilalihan tersebut.
    iii. Perkara berkaitan dengan persetujuan Unit Perancang

    Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri

    Garis panduan yang dikeluarkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) memerlukan syarikat mendapatkan kelulusan perubahan saham/pegangan selepas semua
    Bil Penjelasan yang diminta oleh Puncak Holdings Penjelasan oleh KDEB
        persetujuan ke atas tawaran telah dimuktamadkan, dalam hal ini , persetujuan Puncak Holdings ke atas tawaran oleh KDEB diperlukan terlebih dahulu sebelum permohonan kelulusan EPU,JPM boleh diperoleh.
    iv. Kaedah penilaian ke atas aset dan liabiliti yang dibuat dalam

    menentukan nilai tawaran

    Dalam perbincangan dengan wakil dari Puncak Holdings pada 01 Mac 2013, KDEB telah mengemukakan butiran terperinci serta kaedah penilaian yang dibuat dalam menentukan nilai tawaran.
    v. Kesediaan KDEB/Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan dana bagi tujuan pengambilalihan ini Kerajaan Negeri bersedia untuk membiayai sebarang lebihan nilai aset yang mungkin timbul susulan proses penstrukturan semula ini.

    Setelah pembentukan Kerajaan baru pada 06 Mei 2013, Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada YAB Perdana Menteri Malaysia dan YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, di mana melalui surat bertarikh 12 Jun 2013, YB Menteri bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Menteri Besar bagi membincangkan mengenai penstrukturan semula ini.  Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu tarikh untuk perbincangan dengan YB Menteri.

    Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa penstrukturan semula industri perkhidmatan air menggunakan Model Holistik hendaklah dimuktamadkan dalam usaha untuk memastikan perkhidmatan air di Negeri Selangor dapat diuruskan dengan cekap dan berkesan di samping kadar tarif munasabah yang tidak membebankan pengguna.

  2. Jika penstrukturan ini berjaya, berapa lamakah masa yang akan diambil bagi mengatasi masalah yang sedia berbangkit?

    Penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor sekiranya dimuktamadkan, ia tidak akan menjejaskan operasi pembekalan air sedia ada tetapi hanya melibatkan pertukaran kepada Pemegang Saham di dalam syarikat konsesi air.  Namun demikian, proses due diligence sebagaimana dalam proses pengambilalihan industri lain, ia akan mengambil masa mencapai hingga tiga (3) tahun.

Lampiran

Tiada Lampiran.