Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

220) AIR PERCUMA SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: kebajikan

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa jumlah keluarga di Selangor yang layak menerima Skim Air Percuma Negeri Selangor?

    Berdasarkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Dan Kemudahan Asas Mengikut Negeri Dan Daerah Pentadbiran Negeri Selangor 2019 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2020, jumlah bilangan isi rumah dalam kategori B40 di Negeri Selangor yang layak menerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) adalah dianggarkan sebanyak 650,000 isi rumah.

  2. Berapa daripada jumlah tersebut sedang menerima skim tersebut?

    Daripada jumlah 650,000 bilangan isi rumah yang layak menerima Skim Air Darul Ehsan (SADE), sejumlah 287,181 pemohon bersamaan dengan 44.2% sedang menikmati Skim Air Darul Ehsan (SADE) melalui akaun bekalan air Air Selangor.

  3. Berapa keluarga Orang Asli dan Ibu Tunggal yang menerima manfaat ini?

    Skim Air Darul Ehsan (SADE) adalah program penjajaran semula pemberian air percuma kepada kumpulan sasar di Negeri Selangor. Penjajaran ini bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Selangor yang berpendapatan rendah dan memerlukan. Bagi memastikan SADE mencapai matlamatnya, Kerajaan Negeri telah menetapkan beberapa syarat kelayakan seperti berikut:

    1. Pemohon mestilah warganegara Malaysia dan menetap di Negeri Selangor.
    2. Pendapatan bulanan isi rumah RM4,000 dan ke bawah (suami dan isteri termasuk pendapatan pasangan bukan warganegara, tiada pasangan atau bujang).
    3. Premis kediaman adalah meter individu.
    4. Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun atau premis sahaja.

    Justeru, Kerajaan Negeri tidak mempunyai rekod atau statistik bagi maklumat pemohon di bawah kriteria Kaum – Orang Asli dan juga Status – Ibu Tunggal memandangkan maklumat berkenaan tidak termasuk dalam kriteria pemilihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.