Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

106) AIR PERCUMA

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah air percuma 20 meter padu boleh dinikmati oleh penduduk yang menggunakan meter pukal?

    Bagi pemberian 20 meter padu air secara percuma, pemegang akaun meter pukal bagi
    kondominium/pangsapuri/rumah pangsa iaitu pihak pengurusan bangunan (MC)
    hendaklah mengemukakan permohonan kepada SYABAS untuk migrasi dari akaun
    meter pukal ke akaun meter individu. Dalam pada hal ini, Kerajaan Negeri dan SYABAS
    tidak boleh memaksa MC berbuat demikian.
    Tiada jangka masa tertentu yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri ataupun SYABAS
    bagi penukaran meter pukal kepada meter individu. Program ini bergantung
    sepenuhnya pada pihak MC yang bersedia untuk mengemukakan permohonan migrasi
    meter. Jika penduduk ingin menikmati segera pemberian 20 meter padu air secara
    percuma ini, mereka hendaklah berbincang dengan pihak MC untuk mempercepatkan
    proses migrasi meter tersebut.

  2. Adakah pemberian air percuma menjadi beban kepada Kerajaan Negeri dalam masa jangka panjang? Berikan butir-butir

    Kos pemberian air percuma tidak menjadi beban kepada Kerajaan Negeri kerana
    melalui penstrukturan semula bekalan air di Negeri Selangor oleh KDEB (seawal Januari
    2009), berkemungkinan kos pembelian air daripada operator dapat dikurangkan dan
    seterusnya tarif air kepada SYABAS juga dapat dikurangkan. Kos-kos ini adalah
    elemen utama yang akan diambil kira di dalam model kewangan bagi program
    penstrukturan air di Selangor tersebut.

  3. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi rakyat Selangor dalam masa 10 tahun yang akan datang?

    Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan data-data dan kajian berhubung bekalan
    air bagi penduduk di Negeri Selangor sehingga tahun 2020. Melalui kajian tersebut,
    sumber air di Negeri Selangor dijangka dapat bertahan dan mencukupi sehingga 10
    tahun yang akan datang terutama setelah menerima bekalan air mentah melalui Projek
    Pemindahan Air Mentah Dari Pahang Ke Selangor Tahun 2013. Maklumat tambahan
    adalah seperti di Lampiran.

Lampiran

Tiada Lampiran.