Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008
21 Mei hingga 22 Mei 2008, 24 Mei dan 26 Mei 2008
104) AIR PERCUMA
Tahun: 2008
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sepertimana telah diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato Menteri Besar bahawa pada 01/06/08 semua pengguna meter individu akan diberikan 20 meter padu pertama air percuma. Adakah perjanjian yang ditandatangani pada 07/04/08 oleh Kerajaan terdahulu dengan Syabas akan memberikan sebarang kesan ke atas perancangan Kerajaan Negeri sekarang?
Perjanjian Pengurusan dan Penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Sireh
yang ditandatangani pada 7 Mac 2008 adalah di antara Kerajaan Negeri
Selangor dengan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. Kerajaan Negeri melalui MMKN
Ke 5/2007 bertarikh 7 Februari 2007 telah bersetuju supaya pengurusan loji ini
diuruskan oleh Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. Perjanjian ini pada dasarnya tidak
menjejaskan sebarang perancangan memandangkan ia telah pun dipersetujui
terdahulu bagi memastikan loji tersebut terus membekalkan air terawat kepada
kawasan Tanjung Karang dan Sekinchan. Loji ini dianggarkan dapat
membekalkan air terawat kepada lebih 100 ribu pengguna. -
Mengapakah perjanjian tersebut harus ditandatangani dengan tergesa-gesa sedangkan pegawai berkaitan sedar pilihan raya umum masih dalam tempoh berkempen?
Loji rawatan air Sungai Sireh telah dibina secara Turnkey Contract oleh
Taliworks Sdn. Bhd. dan mula beroperasi pada tahun 1988 di bawah kendalian
Jabatan Bekalan Air Negeri Selangor sehingga 1 Oktober 2005. Melalui MMKN
ke 5/2007 bertarikh 7 Februari 2007 telah bersetuju supaya pengurusan loji ini
dikendalikan oleh Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. Bermula pada 1 April 2007, loji
ini diuruskan Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd. yang selaras dengan peruntukan
Perjanjian Konsesi SYABAS sebelum ini. Manakala perjanjian tersebut
ditandatangani secara pentadbiran di peringkat pegawai-pegawai Kerajaan yang tidak terlibat di dalam kempen pilihan raya umum. -
Apakah kandungan utama perjanjian tersebut?
Pada dasarnya kandungan utama perjanjian tersebut adalah menyatakan tugas-tugas dan tanggungjawab syarikat yang diberikan konsesi pengurusan loji iaitu
Puncak Niaga. Terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan adalah merujuk
kepada pengurusan dan kaedah pengurusan Loji Rawatan Sungai Sireh. Secara keseluruhannya dokumen perjanjian adalah bersifat rahsia dan merupakan dokumen terperingkat yang hanya boleh didedahkan kandungannya setelah mendapat kebenaran oleh Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor.