Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

14) AIR DAN SUMBER ASLI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah langkah kerajaan negeri untuk mengurus sumber air dan memastikan bekalan air yang bersih dan berterusan kepada rakyat?

    Di Negeri Selangor dijangkakan pada tahun 2025 hingga 2035 akan berlaku pengurangan hujan dalam julat 0.1% sehingga 36.3%. Sekiranya jangkaan ini berlaku, ia akan memberikan kesan ke atas sumber air mentah di mana paras sungai akan mengalami penyusutan dan akan mengurangkan baseflow sungai dan seterusnya akan menyebabkan paras empangan mengalami penyusutan dan mengganggu sumber bekalan air mentah bagi loji-loji yang berkaitan. Sekiranya tiada persediaan rapi, dijangka berlaku gangguan bekalan air berskala besar.

    Justeru itu, bagi memastikan bekalan air bersih yang berterusan kepada rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bersama-sama dengan semua agensi membuat persediaan seperti berikut:-

    1)      Perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi 2 fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau.

    2)      Di bawah SJAM Fasa 2, Kerajaan Negeri menumpukan kepada Program Pengurusan Sumber Air secara holistik bagi memastikan simpanan air mencukupi untuk menampung permintaan pada ketika itu. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah melaksanakan pembangunan inventori menyenaraikan semua kolam takungan dan tasik di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan memanfaatkan semua kolam takungan dan tasik yang telah disenaraikan tersebut sebagai sumber air alternatif semasa musim kemarau selain dari kolam takungan di bawah Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) sedia ada.

    3)      Kerajaan Negeri Selangor juga meneliti semua prasarana yang berkaitan dengan bekalan air seperti jajaran paip dan sistem pengepaman supaya boleh dioperasikan apabila diperlukan semasa kemarau kelak.

    4)      Beradasarkan kepada unjuran bekalan dan permintaan air yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), unjuran bekalan air pada tahun 2025 adalah sebanyak 7,156 Juta Liter Sehari (JLH) manakala unjuran permintaan air adalah sebanyak 6,131 JLH. Unjuran ini dibuat berdasarkan kepada perancangan sekiranya Skim Air Sungai Rasau yang telah diluluskan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri Selangor dapat disiapkan sepenuhnya pada bulan Disember tahun 2025. Fasa 1 Skim ini dapat membekalkan air sebanyak 700 JLH bagi menampung permintaan kawasan Klang dan siapnya projek ini dapat meningkatkan rizab bekalan air kepada 14.3%. Manakala bagi Fasa 2 pula, Skim ini berupaya membekalkan air sebanyak 700 JLH bagi kawasan Petaling yang disasarkan siap pada tahun 2028;

    5)      LUAS bersama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenalpasti dan menyenaraikan punca air bawah tanah untuk dijadikan sebagai sumber air;

    6)      Kerajaan Negeri bersama dengan Air Selangor akan menggiatkan lagi kempen Jimat Air bagi memastikan penggunaan air yang berhemah; dan

    7)      Air Selangor memastikan fasiliti seperti lori tangki, rumah pam dan lain-lain sentiasa dalam keadaan siap siaga.

     

    Menerusi Air Selangor, kerajaan negeri telah melakukan beberapa inistiatif dalam memastikan bekalan air yang bersih dan berterusan kepada rakyat Selangor dengan merangkumkan pelan strategik perniagaan bagi penambahan dan penambahbaikan aset menerusi rancangan perniagaan 30 tahun. Secara ringkasnya, ia melibatkan:

     

    1. PEMBINAAN LOJI BAHARU yang bertujuan untuk memastikan margin rizab bekalan air sentiasa melebih 15% iaitu pada kategori ‘Selesa,’ di samping meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat selain membantu menampung keperluan air bersih para pengguna. Antara projek pembinaan loji baharu yang sedang dijalankan adalah:

     

    • Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 dengan kapasiti 700 juta liter air sehari yang dijangka siap pada 2025.

     

    • Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2 pula dengan kapasiti 700 juta liter air sehari dijangka siap pada 2028.

     

    • Skim Bekalan Air Langat 2 Fasa 2 dengan kapasiti 1,130 juta liter sehari dijangka siap pada 2030.

     

    • Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 2 berkapasiti 300 juta liter sehari dijangka siap pada 2029.

     

    • dan pembinaan Loji Rawatan Air Penyahgaraman Pulau Ketam berkapasiti 2 juta liter sehari dijangka siap pada 2026.

     

    Dengan penambahan projek-projek tersebut, ia bakal menjadikan jumlah keupayaan pengeluaran air berdasarkan reka bentuk loji rawatan air meningkat kepada 8,767 juta liter sehari pada 2030, berbanding kapasiti pengeluaran semasa sebanyak 6,035 juta liter sehari. Malah, margin simpanan air keseluruhan untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga mencatatkan margin simpanan pada 15.34% pada 2023 dan menyasarkan peningkatan margin simpanan kepada sekitar 20% menjelang 2030.

     

    1. KERJA-KERJA MENAIK TARAF ASET
    • Mempertingkatkan kerja-kerja pemulihan, peningkatan dan menaik taraf aset Air Selangor seperti pembinaan kolam air, rumah pam dan pemasangan paip baharu di kawasan yang mengalami tekanan air rendah.
      • Untuk tahun 2024 – 2026, Air Selangor akan membaik pulih 9 kolam, 28 rumah pam, dan memasang paip baharu di 23 lokasi.
      • 34 LRA, 8 empangan dan 4 Off-River Storage pula akan dinaik taraf untuk 3 tahun masing-masing.

     

    Sehingga 14 Februari 2024, empat (4) buah empangan utama di Negeri Selangor berada pada paras 100% iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang. Sementara dua (2) empangan melebihi kapasiti 90% iaitu Empangan Sungai Langat dan Empangan Batu. Sementara Empangan Klang Gate pada paras 84%. Kesemua empangan ini mampu membekalkan air selama enam (6) bulan sekiranya tiada hujan. Status empangan ini boleh dilayari melalui laman sesawang www.iwrims.luas.gov.my.

     

    Kesediaan bekalan air mentah ini juga dibantu melalui 100 buah kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif di Negeri Selangor. Kolam-kolam ini mampu membekalkan air tambahan selama 3 bulan lagi. Air kolam akan dialirkan samada secara graviti atau melalui pam ke sungai-sungai di mana kedudukan muka sauk terletak di hilirnya.

     

    Kesimpulannya, Negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk membekalkan air kepada penduduk Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama tempoh berlaku fenomena El-Nino pada kali ini.

     

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksanakan dua belas (12) tindakan-tindakan berikut bagi mengatasi isu pencemaran merangkumi;

     

    • menjalankan rondaan 24 jam melalui Skuad PANTAS LUAS bagi memastikan tindakan-tindakan pemuliharaan kualiti sumber air dan penguatkuasaan ke atas pihak yang menyebabkan aktiviti pencemaran dapat diambil;

     

    • menjalankan tinjauan sungai-sungai di Negeri Selangor melalui Unit Penguatkuasaan LUAS bagi mengenal pasti aktiviti-aktiviti dalam 50 meter rizab sungai yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air;

     

    • menjalankan Kajian Inventori Guna Tanah Di Rizab Sungai bagi sungai-sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti-aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu;

     

    • melaksanakan pemasangan stesen telemetri kualiti air di hulu muka sauk sebagai sistem amaran awal/ early warning system bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA);

     

    • pemantauan berkala ke atas kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai zon perlindungan di bawah seksyen 48 Enakmen LUAS 1999 seperti kawasan empangan dan kolam-kolam sumber air alternatif;

     

    • melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara penyitaan di bawah Seksyen 99A sehingga seksyen 99F Enakmen LUAS 1999 ke atas harta benda yang mempunyai perkaitan dengan kesalahan;

     

    • mengambil tindakan penguatkuasaan secara pengkompaunan atau pendakwaan secara terus bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran sumber air tanpa lesen/kebenaran daripada Pengarah LUAS;

     

    • kolaborasi bersama agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri seperti PDRM, SPAN, JAS, pentadbir tanah & daerah, pihak-pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dalam mengesan suspek-suspek yang disyaki menyebabkan pencemaran air.

     

    • melaksanakan blok pemantauan kualiti air ataupun dikenali sebagai River Monitoring Program (RMP) di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko. Pemantauan ini berdasarkan Kajian Pemetaan Dan Inventori Aktiviti Guna Tanah Di Rizab Sungai Sembah dan Anak – Anak  Sungainya, Sungai Klang, Sungai Damansara, Sungai Semenyih, Sungai Rinching dan Sungai Beranang bagi Fasa 1 pada tahun 2017 dan seterusnya Fasa 2 bagi Sungai Buloh, Sungai Langat dan Sungai Selangor pada tahun 2021. Objektif pelaksanaan pemantauan blok ini adalah seperti berikut:

     

    1. Memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan yang baik dan terpelihara;

     

    1. Menentukan outfall aliran ke sungai untuk tujuan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall; dan

     

    1. Menyelaraskan cadangan kawalan kepada kualiti air bagi pelepasan aliran dari outfall yang melibatkan aktiviti dari kawasan pembangunan, komersial, industri dan persekitarannya untuk diambil tindakan lanjut dengan kerjasama agensi berkaitan selaras bidang kuasa;

     

    • mempergiatkan usaha dan memperkasakan penglibatan agensi, komuniti, NGO dan pihak berkepentingan dalam aktiviti pemuliharaan sungai-sungai di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan adalah penubuhan Sahabat Sungai atau dikenali Friends of River, FoR  di mana program ini meliputi seluruh kawasan sungai di Negeri Selangor yang menggalakkan penglibatan komuniti setempat memelihara dan memulihara sungai/ sumber air di kawasan masing-masing.

     

    • melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy-ZDP) dan (Polluters Pay Principle-PPP) melalui pengenalan peraturan baharu Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 (Peraturan ZDP) yang dijangka akan berkuat kuasa pada suku kedua tahun 2024. Peraturan ZDP ini adalah penambahbaikan kepada peraturan sedia ada iaitu penambahan aktiviti yang memasukkan bahan buangan dan bahan pencemar di samping penambahan elemen baharu iaitu pelesenan dan pengenaan caj pembuangan air kembalian. Di samping itu pengenaan deposit dan sekuriti sehingga RM 100,000 bagi pematuhan kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan di dalam Peraturan ZDP menjadikan pemegang-pemegang lesen mematuhi syarat-syarat dan sekatan-sekatan lesen supaya deposit dan sekuriti yang dikenakan tidak dilucuthakkan.

     

    • pemantauan dan penguatkuasaan berterusan bagi isu-isu pencemaran melalui jawatankuasa-jawatankuasa yang telah ditubuhkan iaitu:

     

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam;

     

    1. Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS); dan

     

    1. Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor, yang dipengerusikan oleh YB EXCO Alam Sekitar.

     

    Selanjutnya, Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS juga telah lebih awal meminda undang-undang bagi mengenakan tindakan atau hukuman berat kepada pesalah jenayah alam sekitar seperti pencemaran sumber air dengan meminda Enakmen LUAS 1999 pada tahun 2020 seperti berikut:

     

    • menetapkan hukuman yang lebih berat iaitu :

     

    1. menjadikan hukuman penjara sebagai hukuman mandatori;

     

    1. menaikkan hukuman denda daripada maksimum satu ratus ribu ringgit kepada denda minimum dua ratus ribu ringgit dan maksimum sehingga satu juta ringgit bagi kesalahan mencemarkan sumber air tanpa lesen di bawah seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999;

     

    • memasukkan hukuman tambahan di bawah subseksyen 79(5) iaitu mana-mana orang yang disabitkan dengan kesalahan hendaklah membayar semua perbelanjaan yang dilakukan oleh LUAS untuk membaiki atau memulihkan apa-apa pencemaran yang disebabkan oleh kesalahan di bawah seksyen 79 tersebut; dan

     

    • Memasukkan pencemaran bau sebagai salah satu elemen pencemaran di bawah seksyen 79(1)(a), Enakmen LUAS 1999.
  2. Apakah inisiatif untuk melindungi sumber air daripada pencemaran?

    Salah satu inisiatif dan langkah jangka masa panjang untuk melindungi sumber air daripada pencemaran adalah pengawalan pencemaran daripada punca (control at source) iaitu kawalan pelepasan efluen daripada aktiviti premis. Kerajaan Negeri Selangor melalui LUAS akan melaksanakan Polisi Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy-ZDP) dan (Polluters Pay Principle-PPP) melalui pengenalan peraturan baharu Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian, dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2024 (Peraturan ZDP) yang dijangka akan berkuat kuasa pada suku kedua tahun 2024. Polisi ini adalah pendekatan untuk meningkatkan kebertanggungjawaban sektor pembangunan dan ekonomi terhadap sumber air dan alam sekitar. Pelaksanaan kedua-dua polisi ini dilihat mampu untuk meningkatkan kualiti air sungai dan ekosistem persekitarannya  dan seterusnya mengurangkan impak negatif daripada sektor ekonomi dan menggalakkan amalan pengurusan terbaik (Best Management Practices, BMPs) atau teknologi hijau/green technology seperti kitar semula pelepasan efluen oleh sektor ekonomi.

     

    Peraturan ZDP ini adalah penambahbaikan kepada peraturan sedia ada iaitu penambahan aktiviti yang memasukkan bahan buangan dan bahan pencemar di samping penambahan elemen baharu iaitu pelesenan dan pengenaan caj pembuangan air kembalian. Di samping itu pengenaan deposit dan sekuriti sehingga RM 100,000 bagi pematuhan kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan di dalam Peraturan ZDP menjadikan pemegang-pemegang lesen mematuhi syarat-syarat dan sekatan-sekatan lesen supaya deposit dan sekuriti yang dikenakan tidak dilucuthakkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.