Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

19) AIR BUMI

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan program Kerajaan Negeri terhadap sumber air bumi?

    Kerajaan Negeri telah mengambil pendirian bahawa penggunaan sumber air bumi hendaklah diuruskan dengan cara yang terbaik dan tidak digunakan dengan keterlaluan melainkan sebagai langkah kontijensi bagi mengatasi waktu kekurangan bekalan air.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor telah melaksanakan Skim

    Caj dan Pelesenan Abstraksi Sumber Air bagi air bumi melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 di mana, mulai 1 Julai 2005, semua pengabstrak sumber air bumi diwajibkan mendapatkan Lesen Abstraksi Sumber Air Bumi dengan caj sebanyak RM0.01/m3 bagi tujuan utiliti awam dan RM0.05/m3 bagi tujuan komersial. Langkah pelesenan ini penting bagi memudahkan penyeliaan dan pemantauan bagi memastikan sumber air bumi diabstrak secara mampan dan tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar. Dengan skim ini LUAS mempromosikan penggunaan air terus dari sumber air terutama pihak industri yang tidak terlalu bergantung kepada bekalan air terawat dengan kos yang lebih rendah.

    Pembangunan sumber air bumi untuk menyokong industri perkhidmatan dan pembekalan air pula sedang dalam kajian dan pertimbangan serius oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor bersama-sama dengan satu jawatankuasa khas yang turut disertai oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)

  2. Apakah langkah-langkah persediaan di segi perundangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri sekiranya potensi sumber air bumi ini dibangunkan?

    Terdapat beberapa peruntukan yang jelas di dalam Enakmen LUAS 1999 yang berkaitan dengan pengurusan dan pembangunan sumber air bumi seperti kuasa perundangan untuk:

    1. Melesenkan aktiviti mengabstraksi sumber air bumi;
    2. Menentukan jumlah/kuantiti sumber air bumi yang boleh/dibenarkan diabstrak pada satu-satu masa;
    3. Mengarahkan pemasangan meter supaya kuantiti air bumi yang diabstrak tidak melebihi had yang dibenarkan;
    4. Penyediaan dan pewartaan zon perlindungan dan kawasan yang ditetapkan (sekiranya perlu untuk memastikan pengurusan air bumi dilaksanakan secara mampan);
    5. Menguatkuasakan semua perkara berkaitan pengurusan air bumi; dan vi. Mengenakan caj ke atas abstraksi sumber air bumi;

    Terdapat beberapa peruntukan yang jelas di dalam Enakmen LUAS 1999 yang berkaitan dengan kuasa penguatkuasaan bagi pengurusan dan pembangunan sumber air bumi seperti pengeluaran notis, kompaun, pendakwaan di mahkamah dan membuat pemotongan bekalan bagi perkara berkaitan penggunaan sumber air bumi.

    LUAS telah menyediakan Peraturan-Peraturan Abstraksi Sumber Air Negeri Selangor yang sedang disemak di Kamar Undang-Undang Negeri Selangor.

    Jawatankuasa Pengurusan  Air Bumi Negeri Selangor telah ditubuhkan sejak tahun 2005 dimana antara skop dan fungsi jawatankuasa ini adalah memastikan pembangunan sumber air bumi dilaksanakan secara mampan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh LUAS dan dianggotai oleh semua agensi teknikal yang berkaitan dengan pengurusan sumber air bumi seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah.

    LUAS telah mengarahkan semua pengabstrak sumber air bumi sedia ada untuk memasang meter bagi memastikan sumber air bumi yang diabstrak adalah tidak melebihi kuantiti yang telah diluluskan dan ianya dilaksanakan secara mampan.

    Kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment Study) berdasarkan peruntukan di dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 perlu dilaksanakan sekiranya abstraksi sumber air bumi yang dicadangkan adalah melebihi 4,500m3/hari. Perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor.

    Sebarang pembangunan sumber air bumi perlu mengikut garis panduan teknikal seperti yang telah ditetapkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains seperti ujian pengepaman, ujian analisis kualiti air bumi dan sebagainya.

    LUAS, JMG dan semua agensi teknikal yang berkaitan dengan pengurusan sumber air bumi sentiasa membuat pemantauan yang berterusan bagi memastikan air bumi dibangunkan secara mampan

  3. Apakah Kerajaan Negeri sudah mempunyai rancangan untuk mewujudkan Òpilot projectÓ bagi membangunkan loji sumber air bumi di Selangor?

    Projek perintis bagi pembangunan sumber air bumi untuk menyokong industri perkhidmatan dan pembekalan air pula sedang dalam kajian dan pertimbangan serius oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor bersama-sama dengan satu jawatankuasa khas yang turut disertai oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

    Bagi fasa pertama ini, kaedah “river bank filtration” sedang dikaji dengan beberapa cadangan lokasi telaga air bumi sedang dipertimbangkan untuk dimuktamadkan, antaranya di Jenderam Hilir, Kampung Sungai Serai dan Bukit Badong.

    Namun, pandangan teknikal berkenaan lokasi, kebolehlaksanaan projek, kos dan sebagainya sedang dalam penelitian dan perincian lanjut jawatankuasa khas tersebut.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.