Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
110) AIR BAWAH TANAH
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kekurangan air melalui penggunaan air bawah tanah?
Antara usaha-usaha kerajaan dalam menyelesaikan masalah kekurangan air dengan
melalui penggunaan air bawah tanah ialah:
i) Penubuhan Pasukan Petugas Sumber Air Alternatif Bagi Tujuan Bekalan Air di
Negeri Selangor yang mana ia dipengerusikan oleh pihak LUAS dan dianggotai
oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk JPS, JMG, pihak konsesi, Pejabat
Tanah & Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan berkaitan serta pihak
berkepentingan lain. Penggunaan air bawah tanah telah dikenalpasti sebagai
salah satu sumber air alternatif di Negeri Selangor di samping kolam, tasik dan
bekas lombong yang sesuai untuk digunakan dan telah dicadangkan untuk
diwartakan sebagai ‘zon perlindungan’ selaras dengan seksyen 48, Enakmen
LUAS 1999;
ii) Menjalankan pelesenan abstraksi sumber air yang melibatkan sumber air
permukaan (air sungai, tasik, bekas lombong) dan juga air bumi selari dengan
seksyen 41(2) dan seksyen 44(1), Enakmen LUAS 1999. Kadar caj yang
ditetapkan di dalam Warta ‘Pemberitahuan Caj Bagi Abstraksi Air Daripada
Mana-mana Sumber Air’ yang telah mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2005 bagi
tujuan komersil ialah RM 0.05/m3
dan bagi bekalan air ialah RM 0.01/m3
.
Berdasarkan rekod pihak LUAS daripada Julai 2005 hingga Disember 2009,
terdapat 229 premis yang telah dilesenkan iaitu 133 premis yang mengabstrak
air bumi dan 96 premis bagi air permukaan. Kebanyakkan premis yang
mengabstrak air bumi ialah sektor industri dan perkilangan. Bagi pengurusan
sumber air bumi yang mampan, Jawatankuasa Pengurusan Air Bumi telah
ditubuhkan dan ia dipengerusikan oleh Pengarah LUAS, JMG sebagai penasihat
teknikal dan dianggotai oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor(JAS),
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Pejabat Tanah & Daerah dan Pihak
Berkuasa Tempatan berkaitan;
iii) Menjalankan kajian bagi mengenalpasti potensi dan kapasiti air bumi di Negeri
Selangor. Kini, pihak Jabatan Mineral Geosains Selangor & Wilayah
Persekutuan (JMG) sedang giat menjalankan kajian bagi mengenalpasti kapasiti
akuifer di lembangan sungai di Negeri Selangor terutamanya Lembangan Sungai
Langat dan Lembangan Sungai Selangor. Berdasarkan kajian oleh Sime Darby
dengan kaedah ‘airborne geophysic’ di beberapa kawasan di Lembangan Sungai
Selangor dan Sungai Langat, keputusan menunjukkan terdapat kehadiran alur
sungai paleo (paleo channel) di bahagian tengah Lembangan Sungai Langat
yang berpotensi terdapat air bumi segar/tawar. Kajian pihak JMG juga
menunjukkan kehadiran akuifer pada kedalaman 150 meter. Sehubungan itu,
pihak JMG menjalinkan kerjasama dengan pihak Sime Darby di dalam eksplorasi
akuifer dalam (deep akuifer) diantara 100-200 meter; dan
iv) Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah mencapai persetujuan bersama
dengan pengguna terbesar air bumi di Lembangan Sungai Langat iaitu
‘Megasteel/Amsteel – The Lion Group’ untuk menggunakan 20% daripada jumlah
kuantiti air bumi yang telah diluluskan untuk kegunaan awam jika berlakunya
kemarau. -
Apakah rancangan-rancangan yang ada pada kerajaan untuk mempopularkan penggunaan air bawah tanah?
Pembangunan sumber air bawah tanah/air bumi untuk bekalan domestik masih
diperingkat kajian oleh Kerajaan Negeri Selangor dan jika ia dilaksanakan pelbagai
rancangan akan dijalankan oleh pihak kerajaan untuk mempopularkan penggunaan air
bawah tanah seperti:
i) Mendidik para pengguna melalui program kesedaran awam seperti kempen dan
‘road show’ akan penggunaan air bawah tanah yang boleh digunapakai sebagai
sumber bekalan air alternatif jika berlakunya kemarau atau krisis air. Ini adalah
bagi mengelakkan tanggapan negatif dan juga kesan buruk terhadap alam
sekitar jika mengabstrak air bawah tanah tanpa kawalan;
ii) Menggalakkan pihak swasta dan agensi kerajaan menjalankan eksplorasi bagi
membangunkan air bumi di Negeri Selangor. Kebanyakkan sektor industri
menggunakan air bawah tanah bagi tujuan operasi industri dan perkilangan
seperti untuk sistem penyejukan kerana kualiti air yang baik dan juga kadar
bayaran caj yang rendah dikenakan oleh pihak LUAS berbanding kadar tarif air
SYABAS. Kaedah ini akan turut meningkatkan hasil negeri berasaskan sumber
air dan pihak LUAS mensasarkan penggunaan air bawah tanah mencapai 30%
bagi kegunaan domestik pada tahun 2030;
iii) Mencadangkan supaya air bawah tanah dijadikan sebagai ‘conjunctive use’
dalam bekalan air domestik bagi mengelakkan kebergantungan terhadap sumber
air permukaan (sungai) yang sering mengalami kemerosotan kualiti air dan
kuantiti terutama jika berlakunya kemarau;
iv) Menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Sumber Air Bumi Negeri Selangor
dengan kerjasama LUAS dan JMG iaitu merangkumi aspek pemantapan
perundangan, penilaian dan pembangunan sumber, pemantauan air bawah
tanah, pembangunan modal insan dan kepakaran dalam bidang hidrogeologi
serta pelan promosi dan kesedaran. Ini adalan lanjutan daripada penyediaan
Pelan Strategik Pengurusan Air Bumi Negara di peringkat kebangsaan yang
telah dibentangkan dalam Majlis Sumber Air Negara (MSAN); dan
v) Mencadangkan pewartaan Medan Telaga Air Bumi sebagai ‘zon perlindungan’
selaras dengan seksyen 48(1), Enakmen LUAS 1999 dengan kerjasama JMG.