Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

169) AHLI MAJLIS PBT

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah prestasi Ahli Majlis PBT memenuhi kehendak rakyat?

    Keseluruhan prestasi Ahli-ahli Majlis PBT sehingga penggal ini adalah amat memuaskan kerana Ahli-ahli Majlis telah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berkesan. Inisiatif melalui pembahagian zon serta mewujudkan pejabat Ahli Majlis juga memudahkan penduduk mengenali dan menyampaikan aduan terus kepada Ahli Majlis yang dilantik di sesebuah zon. Berdasarkan pemantauan secara rawak, penduduk-penduduk setempat semakin aktif dalam menggerakkan persatuan masing-masing dengan adanya bantuan dan galakkan daripada Ahli Majlis. Ini telah menunjukkan bahawa rakyat menyenangi dengan kehadiran Ahli-ahli Majlis sebagai mengantara di antara penduduk dan PBT sekali gus memperlihatkan peningkatan prestasi Ahli Majlis di mata rakyat.

    Walau bagaimanapun, hanya terdapat segelintir Ahli Majlis sahaja yang kurang aktif dalam penyampaian perkhidmatannya yang mungkin perlu diberi lebih pendedahan mengenai peranan sebenar sebagai Ahli Majlis.

  2. Bagi mereka yang kurang berprestasi, apakah tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan negeri?

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri telah bersetuju agar setiap Parti Politik hendaklah bertanggungjawab untuk memberi nasihat ke atas mana-mana Ahli Majlis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan namun dikekalkan jawatannya sebagai Ahli Majlis PBT. Tujuan keputusan ini dibuat adalah bagi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Majlis berkenaan membuat penambahbaikan ke atas prestasinya dari segi perkhidmatan dan juga penyampaian terhadap Kerajaan Negeri, PBT dan penduduk setempat.

    Walau bagaimanapun, sekiranya peluang yang diberikan oleh Kerajaan Negeri gagal untuk mempertingkatkan prestasi, tempoh perkhidmatan Ahli Majlis berkenaan tidak akan disambung semula seperti mana yang telah dilaksanakan sebelum ini.

  3. Berapakah peruntukan Ahli Majlis PBT dan perbelanjaan bulanan pejabat Zon PBT?

    Jumlah peruntukan yang diberikan kepada Ahli-ahli Majlis pada setiap tahun adalah bergantung kepada kemampuan PBT masing-masing samada terdapat keperluan atau kemudahan lain yang disediakan. Buat masa ini, peruntukan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri kepada PBT adalah peruntukan bagi bayaran Elaun Tetap dan Elaun Mesyuarat Ahli Majlis yang menelan belanja sejumlah RM4,185,920.00 dan RM4,278,890.00 pada tahun 2009 dan 2010 bagi seluruh PBT Selangor.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan kepada semua PBT untuk mewujudkan pejabat zon kepada setiap Ahli Majlis dan dihadkan perbelanjaan pejabat sejumlah RM2,500.00 sebulan. Kebanyakan PBT telah menggunakan bangunan kerajaan untuk dijadikan pejabat Ahli Majlis bagi menjimatkan kos sewaan.

    Berikut adalah jumlah peruntukan lain yang disediakan kepada 24 orang Ahli Majlis mengikut kemampuan PBT di mana merangkumi program mesra rakyat /kerja-kerja pembangunan Ahli Majlis.

    Bil. PBT Jumlah Peruntukan (RM) (Setahun)
    1. Majlis Bandaraya Shah Alam 1,080,000.00
    2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya 2,400,000.00
    3. Majlis Perbandaran Klang 480,000.00
    4. Majlis Perbandaran Ampang Jaya 1,200,000.00
    5. Majlis Perbandaran Subang Jaya 2,568,000.00
    6. Majlis Perbandaran Selayang 480,000.00
    7. Majlis Perbandaran Kajang 480,000.00
    8. Majlis Perbandaran Sepang 720,000.00
    9. Majlis Daerah Kuala Langat 336,000.00
    10. Majlis Daerah Kuala Selangor 500,000.00
    11. Majlis Daerah Hulu Selangor 480,000.00
    12. Majlis Daerah Sabak Bernam 240,000.00
    Jumlah Keseluruhan 10,964,000.00

     

Lampiran

Tiada Lampiran.