Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
102) AGENDA PEMBERDAYAAN WANITA
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan perlaksanaan dasar dan pelan tindakan Pembangunan Wanita Selangor sejak 2020?
Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan Tahun 2017-2020 yang telah dilancarkan pada 4 Oktober 2017 merupakan dasar yang dibangunkan bagi melengkapkan visi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi sebuah negeri berkebajikan yang aman, progresif dan makmur. Dasar Wanita Selangor 2017-2020 mengangkat agenda untuk memberdaya dan memperkasa wanita di semua peringkat melalui latihan, pembangunan kapasiti dan peningkatan kemahiran serta skil.
Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan Tahun 2017-2020 telah menggariskan visinya untuk meningkatkan keupayaan dan sumbangan wanita bagi merealisasikan hasrat Selangor menjadi negeri yang inklusif, mampan, adil dan makmur. Sementara itu, dasar ini juga telah menetapkan ke arah pencapaian tiga (3) misi yang utama iaitu; (i) Memaksimumkan potensi dan mempelbagaikan kapasiti wanita melalui pemberdayaan individu dan secara kolektif dalam mencapai kemajuan sosial dan ekonomi, (ii) Meningkatkan status sosio-ekonomi, kehidupan, kesihatan dan keselamatan wanita, serta (iii) Menaiktaraf dan mempercepatkan keupayaan kepimpinan wanita di peringkat pembuatan dasar.
Sehingga Tahun 2020 melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang bertindak sebagai agensi pelaksana di bawah Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, WBS telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pemberdayaan, pembangunan kepimpinan wanita dan pengarusperdanaan gender. Di antara program-program utama yang dijalankan adalah Program Kemahiran dan Pembinaan Kapasiti Pusat Wanita Berdaya di 56 DUN, Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), Projek Rintis Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming – GM), Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) dan Tanjung Suri, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa, Talian SELamat (Hotline Khusus bagi Keganasan Rumahtangga), Geran Rumah Perlindungan, Program Pembelajaran Sepanjang Hayat dan mengadakan Kajian Penyelidikan dan Dasar berkenaan wanita.
Pada tahun 2022, Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah menjalankan Penilaian Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan Tahun 2017-2020. Hasil dapatan kajian penilaian ini menyatakan bahawa setelah lebih 5 tahun pelaksanaannya hanya 56% kejayaan dicapai. Justeru, kajian penilaian ini telah merumuskan dan mengesyorkan agar dasar-dasar yang termaktub di dalam Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 diteruskan dengan membangunkan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2024-2026 yang mengandungi beberapa kemaskini serta penambahbaikan sejajar dengan keperluan semasa wanita dan pasca era Pandemik COVID-19 yang diselaraskan dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
-
Berkenaan akademi kepimpinan wanita, apakah nilai tambah dan perancangan masa depan peserta AKW?
Antara nilai tambah dan perancangan masa depan bagi Akademik Kepimpinan Wanita (AKW) adalah seperti berikut:
- Mempelbagaikan lantikan mentor dalam kalangan pemimpin dan tokoh yang berjaya dalam pelbagai latar belakang kerjaya, seperti politik, korporat, pemimpin masyarakat, pemimpin NGO dan sebagainya;
- Penstrukturan semula kerangka pengajian mengikut format Malaysia Qualifications Framework (MQF) seperti yang digariskan oleh Malaysian Qualification Agendy (MQA);
- Penstrukturan semula silibus setiap kursus yang ditawarkan mengikut format MQA;
- Penstrukturan semula format penilaian setiap kursus;
- Dokumenkan modul dengan format lebih berpiawai serta bercirikan elemen korporat;
- Mengadakan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Negeri Selangor sebagai program bersama (joint venture) untuk pensijilan penuh atau micro-credential;
- Mengadakan memorendum persefahaman (MOU) bersama agensi-agensi yang signifikan dibawah Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan peluang pekerjaan kepada graduan AKW; dan
- Memperkasakan peranan alumni AKW untuk memastikan graduan kembali memberikan sumbangan kepada masyarakat melalui pelbagai peranan.
-
Apakah perancangan meningkatkan maruah dan ekonomi ibu tunggal?
Wanita Berdaya Selangor (WBS) memainkan peranan yang sangat penting dalam memartabatkan maruah wanita tanpa mengira status atau kedudukan dalam sebuah perkahwinan. Sebagai jentera penggerak pada peningkatan kualiti kehidupan wanita di Negeri Selangor, WBS memberi perhatian kepada golongan ibu tunggal dan menyusun program-program selari dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Perancangan mempertingkatkan sosioekonomi ibu tunggal ini mula dijalankan pada tahun 2022, iaitu dengan pemberian geran berjumlah RM5,000 kepada Persatuan Ibu Tunggal di negeri Selangor. Pemberian geran melalui persatuan yang berdaftar adalah bagi tujuan menyuntik dana kepada persatuan untuk bergiat lebih aktif ke arah memberdaya ibu tunggal.
Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri berhasrat sasaran peserta diperluaskan dengan melibatkan golongan ibu tinggal yang mana kebajikannya diabai oleh pasangan. Mengambil pengalaman dan memahami akan situasi sosioekonomi mereka, program ini akan dijalankan secara mentor-mentee agar melalui bimbingan dan sokongan, kejayaan program ini menjadi satu realiti. Di akhir program ini, kejayaan mereka akan diabadikan melalui siri dokumentasi Success Story untuk dijadikan pembakar semangat untuk ibu tunggal dan ibu tinggal di luar sana.
Program ini akan dilaksanakan di 56 DUN yang berada di dalam sembilan (9) daerah, iaitu Sabak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang, Gombak, Petaling dan Sepang. Geran akan diberikan kepada pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membawa matlamat, naratif atau perspektif yang sama agar pelaksanaan program dapat dijalankan secara kolektif.
Insentif Pembangunan Ekonomi ibu tunggal akan diberikan melalui 5 teras iaitu Ekonomi Penjagaan (Care Economy), Ekonomi Kreatif, Ekonomi Pertanian, Ekonomi Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dan Ekonomi Digital.
Wanita Berdaya Selangor sentiasa mengambil bahagian dalam mempromosikan dan menyokong kesaksamaan gender dalam aspek sosio-ekonomi. Ini dilakukan agar dengan usaha yang berterusan usaha dapat mengurangkan jurang gender dalam hasil ekonomi yang dizahirkan melalui nilai sumbangan sosial dan ekonomi penjagaan dengan betul; dan mengintegrasikan penjagaan ke dalam pembuatan dasar makro-ekonomi. Oleh itu, Ekonomi Penjagaan akan menjadi salah satu teras dalam pemberian insentif agar NGO yang terlibat secara tidak langsung menjadi agen penerangan bagi satu lagi usaha sudut pandang ekonomi yang mampu melestarikan pelbagai peranan wanita mengikut keperluan masing-masing. Dalam era perubahan demografi ini, perubahan ekonomi dan kurang pelaburan kronik dalam penyediaan penjagaan memerlukan penyelesaian dasar yang lebih kreatif dan inovatif. Pembangunan mampan dan inklusif memerlukan alat dasar sensitif gender yang mengintegrasikan pemahaman baru tentang kerja penjagaan dan hubungannya dengan bekalan pasaran buruh dan hasil ekonomi dan kebajikan.
Bagi daerah yang mempunyai kelebihan geografi untuk melaksanakan ekonomi berteraskan pertanian seperti penanaman padi, kelapa dan kelapa sawit akan dikategorikan di dalam Teras Ekonomi Pertanian. Pembangunan dan pelaksanaan program harus melibatkan potensi wanita dan tidak tertumpu kepada pertanian secara tradisional tetapi juga agro-pelancongan. Sebagai contoh daerah Sabak yang telah dilancarkan SABDA iaitu Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) yang melibatkan seluas 1,317 hektar di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menyasarkan bagi meningkatkan keusahawanan dan inovasi dalam kalangan perniagaan dan komuniti tempatan serta menarik peluang baharu.
Teras Ekonomi Kreatif pula disandarkan kepada langkah merancakkan industri pelancongan Negeri Selangor iaitu kempen Kerajaan Negeri Selangor pada Jun 2020 iaitu ‘Nak Bercuti! Pusing Selangor Dulu!’ Di mana Selangor memperkukuhkan status sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia dengan seleksi produk pelancongan baharu. Sebagai contoh kolaborasi pelaksanaan program bersama pengusaha-pengusaha homestay dan resort di Hulu Langat, Banting yang melibatkan Daerah Hulu Langat dan Kuala Langat. Dengan merancakkan industri pelancongan dapat meningkatkan pendapatan ibu tunggal yang berkecimpung dalam perusahaan seni kraftangan
Bagi memperkasakan golongan usahawan wanita terutamanya golongan ibu tunggal dari Kumpulan B40, meneroka peluang dalam ekonomi digital dengan latihan kemahiran yang relevan seperti Pemasaran Digital, Analisis Data, Keselamatan Siber dan lain-lain bidang berkaitan teknologi digital adalah suatu keperluan. Sehubungan itu, Teras Ekonomi Digital adalah salah satu inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk mendigitalkan perniagaan golongan wanita agar mereka kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia digital masa kini.
Teras terakhir yang melibatkan sektor ekonomi asas yang sekian lama telah menjadi ‘makanan’ buat golongan wanita iaitu perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Daerah seperti Klang, Kuala Langat perlu mengambil pendekatan teras ini dan di dalam masa yang sama menerapkan elemen teknologi agar duplikasi sesebuah perniagaan dapat dilakukan secara kolektif supaya golongan Pengusaha IKS dapat memasuki pasaran antarabangsa.
Adalah diharapkan kejayaan program ini berteraskan RS-1 dapat meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Selangor khususnya ibu tunggal dan ibu tinggal melalui peningkatan pendapatan sekaligus memperbaiki taraf hidup mereka.