Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
270) AGENDA NEGERI RENDAH KARBON
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status pelaksanaan Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) terkini? Berapa PBT yang telah mulakan dasar dan pelaksanaan?
Isu perubahan iklim telah menjadi agenda utama perbincangan
di peringkat global berikutan penemuan saintifik mengenai fenomena pemanasan global yang diakibatkan oleh pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases – GHG) ke atmosfera bumi. Malaysia telah mengumumkan komitmen untuk mengurangkan pelepasan karbon negara sehingga 45% menjelang tahun 2030 dan seterusnya mencapai sifar karbon seawal tahun 2050. Justeru itu, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah melancarkan sebuah Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon iaitu Low Carbon Cities Framework and Assessment System (LCCF) bagi merealisasikan komitmen tersebut.Berikutan pelancaraan LCCF, Kerajaan Negeri telah menetapkan supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggunakan LCCF sebagai rujukan dalam perancangan dasar bandar di semua peringkat PBT untuk menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon. LCCF adalah satu initiatif yang boleh digunakan bagi mencapai pembangunan mampan secara holistik serta menyumbang kepada pengeluaran karbon yang rendah. Ianya berfungsi sebagai panduan yang mendorong pihak berkepentingan untuk menilai semula aspek-aspek utama bagi merancang dan membangunkan projek baharu serta projek yang sedia ada untuk mengurangkan tahap perlepasan karbon.
LCCF ini telah digunapakai oleh 12 PBT di Negeri Selangor yang meliputi aspek pengurusan tenaga, mobiliti, pengurusan sisa, persekitaran hijau dan pengurusan air. Ianya juga memperkasakan pelaksanaan program dan inisiatif bandar rendah karbon yang dilaksanakan oleh PBT di samping meningkatkan penjanaan ekonomi setempat, mengurangkan impak kepada alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat. Antara strategi yang disarankan ialah penerapan elemen-elemen pembangunan hijau dalam dokumen perancangan dengan memastikan semua rancangan pemajuan mengambil kira elemen pembangunan bandar hijau dan rendah karbon secara menyeluruh. Pengukuran pencapaian dan KPI LCCF diukur berdasarkan peningkatan jumlah PBT yang menggunapakai rangka kerja dan penilaian prestasi tindakan bagi setiap perbandaran serta kadar pengurangan pelepasan karbon.
Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) secara aktifnya menyertai dan melaksanakan program rendah karbon. Usaha ini telah diiktiraf menerusi LCCF Challenge yang mana MBSA telah menerima sebanyak 25 anugerah untuk tahun 2022 sebagai mengiktiraf usaha mereka untuk mengurangkan jumlah pelepasan karbon daripada bandar di seluruh negara. Pengiktirafan ini juga merupakan salah satu bentuk penilaian agar PBT lebih konsisten dan bersungguh-sungguh dalam melestarikan alam sekitar.
Dalam memastikan pelaksanaan LCCF yang lebih sistematik, Jawatankuasa Kerja diwujudkan di setiap PBT bagi memantau dan memastikan pelan tindakan yang telah ditetapkan dilaksanakan sebagai usaha untuk pengurangan karbon di bandar. Selain itu, Jawatankuasa ini juga berperanan untuk menangani isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan alam sekitar dan rendah karbon.
Pelaksanaan projek bandar rendah karbon di bandar-bandar
di Selangor telah membuktikan bahawa elemen pengukuran dan kaedah penilaian LCCF yang diperkenalkan oleh NRECC bagi mencapai sasaran pengurangan karbon bandar adalah realistik dan mampu dicapai. Ia juga membuktikan bahawa usaha yang telah dilaksanakan oleh NRECC dan MGTC untuk mempergiatkan perbandaran rendah karbon di Malaysia adalah berkesan melalui penglibatan semua pihak berkepentingan. Fakta ini dibuktikan dengan kejayaan projek-projek oleh MBSA, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kajang dan lain -lain yang mampu menurunkan pelepasan karbon bandar dalam tempoh yang ditetapkan. -
Nyatakan KPI LCCF dan status pencapaian/ prestasi terkini.
Dalam konteks pelaksanaan bandar rendah karbon di Malaysia, LCCF dibentuk sebagai instrumen pengukuran pelepasan karbon berdasarkan prestasi (Carbon Emissions Performance Based Assessment Tool). Ia juga memberi panduan pelaksanaan projek dengan mengambilkira perancangan strategik dan polisi pembangunan mampan negeri secara menyeluruh. LCCF memfokus kepada penjejakan dan pengukuran pelepasan karbon bandar di samping membantu dalam mengemaskini data pelepasan karbon tempatan. LCCF juga berperanan membantu pihak berkepentingan termasuk PBT dan pemaju bagi mengenalpasti keutamaan dan strategi untuk mengurangkan pelepasan karbon bandar.
LCCF menggunapakai pendekatan 3M iaitu Measurement, Management and Mitigation untuk rujukan dan membimbing bandar dalam meletakkan bandar sebagai pemain utama dalam mitigasi perubahan iklim, serta menjadi contoh untuk pembangunan strategi pengurangan pelepasan di peringkat tempatan. Di samping itu, LCCF turut memberi penekanan kepada performance based system dalam pembangunan perbandaran rendah karbon yang merangkumi empat (4) elemen utama iaitu Urban Environment, Urban Transportation, Urban Infrastructure dan Building. Kesemua elemen utama ini dikategorikan kepada 13 kriteria prestasi (performance criteria) dan 35 sub kriteria yang membolehkan pengukuran pembebasan karbon melalui strategi dan dasar, penambahbaikan pengurusan proses dan produk, pembangunan teknologi, transformasi sistem perolehan dan amalan kepenggunaan.
Pengukuran pencapaian dan KPI LCCF diukur berdasarkan peningkatan jumlah PBT yang menggunapakai rangka kerja dan penilaian prestasi tindakan bagi setiap perbandaran serta kadar pengurangan pelepasan karbon. Sebanyak 12 PBT Negeri Selangor telah mempraktikkan LCCF dalam perancangan dasar bandar untuk menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon.
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan kawasan baru membantu mencapai sasaran LCCF?
Umum mengetahui bahawa, pembangunan bandar atau urbanisasi merupakan antara punca utama pelepasan GHG yang menyumbang kepada masalah perubahan iklim global kesan daripada aktiviti seperti pengangkutan, perindustrian dan pembuatan. Menurut laporan UN Habitat, kawasan bandar walaupun hanya meliputi 1 peratus dari muka bumi menghasilkan lebih daripada 70 peratus pelepasan gas rumah kaca dan mewakili 78 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga dunia.
Seiring dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam mencapai sasaran 35% pengurangan intensiti karbon menjelang tahun 2025, galakan pelaksanaan LCCF dalam setiap elemen pembangunan negeri sentiasa diutamakan untuk mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan pembangunan lestari di Negeri Selangor.
Justeru, perancangan dan pembangunan bandar yang mampan dan transformasi bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon adalah amat penting di samping dapat membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik pelaburan domestik dan antarabangsa. Tambahan pula, ia amat bertepatan dan selaras dengan tonggak pertama dalam konsep ‘Malaysia Madani’ iaitu Kemampanan dan merupakan salah satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon di seluruh negara menjelang 2030.
Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan telah melaksanakan perkara-perkara berikut bagi memastikan inisiatif rendah karbon dilaksanakan di setiap pembangunan baharu:
- PBT meletakkan syarat kepada pemaju dan spesifikasi untuk melaksanakan elemen bandar rendah karbon di dalam syarat kelulusan Kebenaran Merancang seperti contoh syarat mendapatkan pengiktirafan Green Building Index, penyediaan sistem solar, sistem SPAH dan penggunaan pencahayaan LED;
- Mewajibkan penyediaan laluan pejalan kaki, basikal, Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH), pemasangan lampu LED, penanaman pokok-pokok, penyediaan tong kitar semula dan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV);
- Menambahbaik Garis Panduan Kawalan Perancangan dan Kelulusan Pelan Bangunan;
- Penyediaan insentif kepada syarikat pemaju yang melaksanakan penyediaan elemen-elemen rendah karbon dan penjimatan tenaga; dan
- Menetapkan spesifikasi dalam permohonan Pembangunan seperti mewajibkan penyediaan kawasan lanskap sebanyak 10-15% dari jumlah keseluruhan bangunan.