Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

397) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pelaksanaan penubuhan Pusat Perubahan Iklim Selangor (IKLIM) sekarang?

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor sedang memuktamadkan konsep dan struktur penubuhan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim dan kertas cadangan tersebut dijangka akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada bulan Julai 2024.

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau telah menjalankan semakan dan penelitian pelbagai aspek berkaitan peranan dan fungsi Pusat yang akan diwujudkan agar tidak bertindih dengan organisasi-organisasi sedia ada di peringkat Negeri. Antara perkara-perkara dalam pertimbangan adalah seperti berikut:

    • Mengenal pasti fungsi Jabatan/Agensi Negeri untuk menggunapakai sumber tenaga kerja dan kepakaran sedia ada dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan tindakan pencegahan dan pemuliharaan;
    • Menambahbaik rangka kerja institusi/organisasi dan dasar sedia ada melalui semakan semula fungsi organisasi dan melaksanakan penjajaran tugas berkaitan tindakan/respon secara menyeluruh;
    • Meneliti dan memperhalusi kos-kos berkaitan penubuhan dan operasi Pusat bagi memastikan penubuhan ini tidak memberi impak yang besar kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri; dan
    • Menyelaras perkara-perkara yang digariskan dalam dokumen utama berkaitan perubahan iklim iaitu Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor untuk tindakan dan respon melibatkan Jabatan dan Agensi Negeri.

    Selain itu, bagi memastikan tindakan dan respon terhadap isu perubahan iklim di Negeri Selangor lebih sistematik dan strategik serta mengambil kira perkembangan terkini perubahan iklim di peringkat global dan nasional, Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang telah dibangunkan akan menjadi dokumen utama bagi penyelarasan tindakan mitigasi dan adaptasi yang akan dilaksanakan dan dipantau oleh Pusat Adaptasi Perubahan Iklim. Berdasarkan kepada dasar tersebut, Pusat ini dijangka akan menyediakan pelbagai inisiatif sokongan dalam mencapai sasaran status negeri rendah karbon menjelang tahun 2030.

Lampiran

Tiada Lampiran.