Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022
143) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM
Tahun: 2022
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah kesan utama akibat perubahan iklim kepada Negeri Selangor?
Isu perubahan iklim telah menjadi agenda utama perbincangan di peringkat global sejak tahun 1990an berikutan penemuan saintifik mengenai fenomena pemanasan global yang diakibatkan oleh pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases – GHG) hasil aktiviti pembakaran bahan api fosil ke atmosfera bumi. Ianya perlu ditangani segera kerana ia mampu memberi kesan kepada sistem iklim global dan seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrem. Selain itu, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.
Perubahan iklim merupakan ancaman yang serius kepada sistem manusia dan ekosistem semula jadi di negeri Selangor terutamanya di zon pesisir pantai. Seperti yang semua sedia maklum, kesan perubahan iklim yang dihadapi di Negeri Selangor boleh dilihat melalui perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti peningkatan aras laut, hujan lebat dan ribut kencang yang telah mengakibatkan banjir yang teruk di Negeri Selangor pada Disember 2021. Kekerapan hujan yang turun pada masa sekarang tidak lagi mengikut musim monsun. Selain daripada itu, kesan perubahan iklim juga telah menyebabkan bencana alam yang lain seperti musim kemarau, taufan dan kebakaran hutan yang dijangka akan kerap berlaku.
Berdasarkan kajian oleh Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM), tiga aspek impak disebabkan oleh perubahan iklim di negeri Selangor iaitu suhu permukaan, jumlah taburan hujan, dan kenaikan paras air laut. Kajian tersebut mendapati senario akan datang menunjukkan kenaikan suhu permukaan sebanyak 1.6 – 2.3 darjah Celsius dan kejadian hujan ekstrem akan berlaku di negeri Selangor. Kenaikan paras laut untuk tahun 2100 dijangka sebanyak 0.5 meter. Peningkatan suhu permukaan dijangka akan menjejaskan pengeluaran hasil pertanian seperti padi dan kelapa sawit. Hampir 91% daripada komponen yang terdedah dengan ancaman perubahan iklim adalah kawasan pertanian dan hutan manakala selebihnya daripada kawasan pengangkutan, kediaman, infrastruktur dan perniagaan.
Selain itu, hasil kajian turut mendapati, jumlah hujan maksimum yang lebih tinggi serta jumlah hujan minimum yang lebih rendah menandakan keadaan iklim dan hidrologi yang ekstrem pada masa hadapan. Kekurangan sumber air akan menjejaskan kawasan-kawasan di negeri Selangor terutamanya kawasan pertanian utama. Pengeluaran hasil pertanian diunjurkan menyusut. Pertambahan dan penyusutan jumlah hujan boleh mengakibatkan banjir dan kemarau yang kedua-duanya boleh menjejaskan sektor-sektor utama di Negeri Selangor.
Kenaikan paras air laut akan meningkatkan kerentanan pembanjiran pantai di kawasan rendah dan seterusnya menjejaskan guna tanah yang sedia ada. Kajian impak perubahan iklim terhadap kenaikan paras air laut di Malaysia telah menghasilkan unjuran kenaikan paras air laut pada masa hadapan dengan menggunakan pendekatan asimilasi model iklim. Antara kesan kenaikan paras air laut di Selangor boleh diperhatikan melalui kejadian air pasang-surut sehingga melimpah ke daratan di beberapa kawasan seperti di Jeram dan Ijok, Kuala Selangor.
Kenaikan paras air laut akan menyebabkan kawasan hutan tanah paya bakau di Selangor akan mengalami pembanjiran. Pembanjiran hutan paya bakau dijangka boleh mengganggu habitat hidupan kelip-kelip seterusya menjejaskan sektor pelancongan di Kuala Selangor. Kehilangan sebahagian tanah paya bakau yang berfungsi sebagai struktur penahan ombak dan penahan hakisan pantai akan menyebabkan kawasan zon pesisir pantai mengalami impak kenaikan paras air laut yang lebih kritikal pada masa hadapan. Selain itu, potensi perejahan air masin ke dalam akuifer pantai air bawah tanah semakin meningkat seiring dengan peningkatan paras air laut dan ini membawa implikasi terhadap sumber air bawah tanah yang bersih.
-
Apakah tindakan dan persiapan yang sudah dan akan dilakukan oleh kerajaan?
Kerajaan Negeri komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani dan mengurangkan impak perubahan iklim kepada bentuk muka bumi negeri Selangor khususnya. Dengan kerjasama PBT dan Jabatan/Agensi negeri, program dan inisiatif akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global adalah:
- PBT telah melaksanakan perbandaran hijau di Negeri Selangor, di mana Kerangka Bandar Rendah Karbon atau Low Carbon Cities Framework and Assessment System (LCCF) telah diguna pakai dalam perancangan dasar dan di peringkat keputusan di semua PBT di Negeri Selangor;
- Menyediakan dana peruntukan sebanyak RM2.7 juta dan RM2.25 juta untuk mempergiatkan lagi program menghijaukan persekitaran yang disalurkan kepada PBT, Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan/Agensi Negeri setiap tahun untuk melaksanakan program/projek ke arah melestarikan alam sekitar dan memanfaatkan teknologi hijau dalam pembangunan negeri;
- Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor meletakkan komitmen utama pada ketika ini adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan keluasan HSK tidak kurang 30% daripada keluasan tanah negeri selaras dengan keputusan;
- Instrumen ekonomi seperti carbon pricing dan cukai karbon akan diperkenalkan setelah mekanismenya dimuktamadkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Selain itu, elemen pengurangan karbon juga merupakan salah satu punca berlakunya perubahan iklim yang tidak menentu ini. Dari aspek ini, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada program-program Teknologi Hijau yang mampu untuk menyumbang kepada pengurangan karbon di negeri Selangor, selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau sedang merangka Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030 melibatkan pengumpulan maklumat saintifik, kajian perintis di tiga (3) kawasan berlainan geografi, penilaian risiko, pemilihan langkah adaptasi yang sesuai, perancangan, pelaksanaan dan pemantauan. Pembangunan kajian ini akan bertumpukan kepada tindakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan negeri sehingga tahun 2030 dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim khususnya berkaitan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim bagi memaksimumkan keberhasilan sosio-ekonomi yang saksama dan kelestarian ekosistem. Rangka kerja bersepadu ini dijangkakan dapat membantu dalam proses beradaptasi terhadap impak perubahan iklim dengan lebih berkesan memandangkan konsepnya yang lebih menyeluruh dan melibatkan proses yang berterusan.