Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

78) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor ada melakukan apa-apa kajian, polisi atau inisiatif yang berkaitan dengan perubahan iklim (climate change)? Sekiranya ya, sila senaraikan.

    Perubahan iklim merujuk kepada perubahan-perubahan di dalam iklim dunia yang memberikan impak kepada manusia dan ekosistem sama ada secara langsung atau tidak langsung. Adalah dijangkakan, kesan negatif perubahan iklim tidak dapat dielakkan lagi sehingga beberapa dekad akan datang dan tindakan mitigasi yang diambil hanyalah bertujuan untuk mengurangkan impak fenomena tersebut. Bagaimanapun, sekiranya tiada langsung langkah mitigasi dilaksanakan, sistem semula jadi bumi tidak akan mampu untuk menyesuaikan dengan kesan perubahan iklim.

    Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri menitikberatkan dan memastikan pembangunan yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim bagi memenuhi aspirasi negeri dalam menerajui kelestarian. Antara langkah penting yang telah di ambil oleh Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim adalah membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Hijau di mana salah satu inisiatifnya adalah melaksanakan penggunaan Bas Smart Selangor bagi menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam di mana inisiatif itu sekaligus mengurangkan pembebasan karbon. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan perbandaran hijau di mana Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) digunapakai dalam perancangan dasar di peringkat semua PBT.

    Disamping itu, Kerajaan Negeri secara berterusan menyokong inisiatif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi Negeri untuk mempergiatkan lagi program-program yang dapat mengurangkan impak perubahan iklim untuk jangka panjang seperti Program Penghijauan Malaysia: Kempen Penanaman 100 juta pokok, mewujudkan dan melaksanakan Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) Negeri Selangor dan penyertaan dalam kempen “Earth Hour” yang mana Kerajaan Negeri akan menjadikan kempen ini sebagai program tahunan Negeri Selangor bagi menyokong usaha-usaha mengurangkan pembebasan karbon melalui tenaga elektrik.

    Seterusnya, pada bulan Januari 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Perubahan Iklim yang akan bertanggungjawab dalam mengkaji isu-isu perubahan iklim dan pemanasan global di negeri Selangor. Melalui Jawatankuasa ini, Kerajaan Negeri akan merangka halatuju dan langkah-langkah mitigasi serta adaptasi secara menyeluruh terhadap perubahan iklim seperti mewujudkan Jawatankuasa Tindakan Perubahan Iklim (Climate Change Action Council) Negeri Selangor yang terdiri daripada tokoh-tokoh akademik dan pakar dalam perubahan iklim. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab dalam meneliti inisiatif-inisiatif berkaitan perubahan iklim selari dengan dasar-dasar negara sedia ada dalam menangani isu perubahan iklim. Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut akan menggunapakai dasar-dasar tersebut dalam mencorakkan pembangunan yang seimbang.

Lampiran

Tiada Lampiran.