Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

6) AGENDA KESAN PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menangani kesan perubahan iklim?

    Isu perubahan iklim perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) ekoran aktiviti manusia. Ia akan memberi kesan kepada sistem iklim global yang seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrem. Selain itu, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.

    Berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 4/2022 bertarikh 26 Januari 2022 dan disahkan oleh MMKN Bil. 5/2022 pada 9 Februari 2022, telah bersetuju supaya Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar Negeri Selangor dijenamakan semula sebagai Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkuatkuasa pada 1 Februari 2022. Tujuan Jawatankuasa Tetap ini adalah bagi membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan kajian secara menyeluruh isu perubahan iklim dan pemanasan global yang akan memberi kesan kepada alam sekitar, mengakibatkan bencana alam seterusnya menjejaskan kehidupan seharian rakyat Negeri Selangor khususnya.

    Susulan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ini sedang meneliti dan merangka dasar/strategi berkaitan perubahan iklim selari dengan dasar-dasar negara sedia ada. Dasar ini akan berperanan sebagai rangka kerja untuk menggerakkan serta memberikan panduan kepada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemain industri, komuniti serta pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara holistik. Kerajaan Negeri akan meneliti dan membuat semakan secara sistematik berkaitan dasar dan perancangan sedia ada, dengan mengambil kira cadangan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi secara seimbang bagi sektor-sektor seperti pertanian dan jaminan makanan, sumber asli dan alam sekitar, kesihatan awam, pengangkutan, perindustrian, gunatanah dan perubahan gunatanah, pengurusan sisa dan pengurangan risiko bencana. Selain itu, tindakan-tindakan strategik adalah diperlukan untuk mengukuhkan daya tahan negeri terhadap impak perubahan iklim. Ini termasuk mengarusperdanakan perubahan iklim, mengintegrasikan respons adaptasi dan mitigasi secara seimbang dan meningkatkan keupayaan institusi dan pelaksanaan melalui penyelarasan tindakan-tindakan dasar yang bersepadu.

    Bagi membantu Kerajaan Negeri merangka dasar-dasar berkaitan, Jawatankuasa ini akan bekerjasama dengan pakar-pakar perubahan iklim termasuk Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) dan tokoh-tokoh akademik bagi mendapatkan pandangan dan cadangan langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, khusus untuk Negeri Selangor. Jawatankuasa ini akan memastikan segala inisiatif/kerangka ini menitikberatkan pengukuhan keupayaan negeri agar impak perubahan iklim dapat dikurangkan. Oleh demikian, pengukuhan keupayaan institusi pelaksana perlu dipertingkatkan secara berkesan melalui jalinan antara sains dan pengetahuan tempatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.