Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

201) AGAMA

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kita sering mengkritik tentang pelbagai dasar dan program yang kurang memuaskan dari segi prestasi, tetapi apakah program yang dilaksanakan di Masjid mencapai prestasi. Apakah KPI yang dilaksanakan untuk mengukur program Ð program di Masjid?

    Pelantikan Pegawai dan Jawatankuasa Masjid bagi sesi 2009 – 2012 telah menjalani satu perubahan dari segi struktur organisasi dan pendekatan pengurusan yang berkesan. Pelantikan pegawai dan jawatankuasa masjid dilaksanakan secara telus dengan mengambil kira kelayakan, keilmuan dan kemampuan untuk mentadbir masjid. Justeru, KPI telah dihasilkan dengan mengambil kira 14 objektif utama masjid seperti pembentukan sahsiah anak kariah, sistem pengajian, keceriaan, keprihatinan pegawai dan pengurusan pentadbiran. Seluruh masjid telah diberi penjelasan melalui taklimat oleh JAIS untuk melaksanakan KPI ini di masjid-masjid.

  2. Menurut Almarhum Prof. Ismail al-Faruqi, apabila masjid di bina, ia tidak lagi menjadi hak kepada orang atau golongan yang membinanya. Pemiliknya secara literal ialah Allah s.w.t. ini bererti secara literal juga tiada sesiapapun, sama ada individu atau kumpulan tertentu yang berhak untuk menguasai masjid sebagai Medan untuk menguasai masyarakat. Persoalannya, kenapa wujud penyalahgunaan kuasa, tiada ketelusan dalam pelantikan AJK masjid di sekitar Selangor sehingga ada laporan polis dibuat?

    Tidak berlaku penyalahgunaan kuasa di dalam pelantikan pegawai dan jawatankuasa masjid kerana semua proses dilaksanakan mengikut Tatacara Pencalonan. Dalam hal ini pencalonan yang dilaksanakan di peringkat masjid hendaklah berdasarkan kriteria kelayakan seperti dalam Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2001. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melantik pegawai dan jawatankuasa masjid berdasarkan kepada kriteria termasuk faktor umur yang tidak melebihi 60 tahun.

  3. Terdapat khatib yang membaca khutbah tidak berdasarkan teks yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kenapa perkara sebegini boleh wujud? Mohon penjelasan

    JAIS telah menyediakan teks khutbah untuk dibaca setiap hari Jumaat. Pada keseluruhannya teks tersebut telah dibaca oleh masjid-masjid kerana kandungannya bersifat semasa. Khutbah juga disediakan oleh JAIS dalam 3 versi iaitu jawi, rumi dan bahasa Inggeris di dalam laman web. Tindakan boleh diambil sekiranya terdapat khatib yang tidak membaca teks khutbah yang disediakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.