Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

267) AEROANGKASA SUBANG DAN SEPANG

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini kerjasama pihak MAHB dan MBI terhadap pembangunan industri aeroangkasa di Subang dan Sepang?

    Bagi cadangan pembangunan Subang Airport Regeneration Plan (“SARP”) di atas tanah seluas kira-kira 90 ekar yang terletak di Zon 3 dan Zon 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, proses ketekunan wajar dari aspek kewangan / komersil, undang-undang dan juga kajian pasaran bagi sektor yang berkaitan sedang giat dilaksanakan oleh pihak MBI dan MAHB dalam menentukan kedudukan aset semasa, perjanjian atau kontrak-kontrak yang masih aktif, cadangan pembangunan yang meliputi aspek kos, unjuran kewangan dan seterusnya penentuan jumlah suntikan ke dalam syarikat tujuan khas (“SPV”) yang diperlukan bagi kedua-dua pihak. Proses ketekunan wajar ini dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku pertama 2025 atau pertengahan suku kedua 2025.

    Seterusnya, terdapat sedikit perubahan ke atas cadangan tapak lokasi bagi tujuan pembangunan projek Selangor Aero Park (“SAP”), yang mana dahulunya projek SAP dirancang untuk dibangunkan di atas tanah yang terletak bersempadan dengan kawasan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. Namun kini, lanjutan daripada beberapa sesi perbincangan, pihak MAHB telah bersetuju berhubung cadangan pembangunan SAP di dalam perimeter 10km x 10km Aeropolis secara usahasama antara pihak MBI dan MAHB. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memuktamadkan cadangan terma dan syarat berhubung cadangan tersebut menjelang suku pertama atau pertengahan suku kedua 2025.

  2. Apakah matlamat pembangunan ini dan bagaimana ia akan direalisasikan?

    Sektor aeroangkasa adalah sektor yang telah dikenalpasti yang berpotensi untuk berkembang di Selangor dan ianya merupakan salah satu daripada kluster industri yang diberikan tumpuan oleh pihak Kerajaan Negeri. Lebih daripada 67% pemain industri dalam sektor aeroangkasa berpusat di Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk memajukan lagi sektor ini. Menjadikan Selangor sebagai hab utama bagi aktiviti perindustrian, khususnya aeroangkasa di serantau Asia Tenggara kini telah menjadi visi Kerajaan Negeri Selangor dan prinsip panduan dan strategi pembangunan industri aeroangkasa ini adalah berpaksikan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Negeri Selangor 2020-2030 dan juga Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Sementara itu, fokus turut diberikan kepada pembangunan modal insan serta bakat melalui program latihan khusus. Selangor Skills Framework Platform (“SSFP”) dan Selangor Aerospace Apperentice Program (“SAAP”) dengan kerjasama GE Malaysia merupakan dua inisiatif berteraskan pembangunan modal insan telah mula dilaksanakan bermula pasca Covid-19 di mana sehingga kini, sebanyak 62 perantis telah dilahirkan.

    Pelaksanaan Projek SAP di Subang dan KLIA akan direalisasikan melalui jalinan kerjasama strategik bersama pihak MAHB serta pemain industri utama dan ianya akan turut melibatkan badan-badan yang berkaitan seperti National Aerospace Industry Development Corporation (“NAICO”) dan juga Malaysia Aerospace Industry Association (“MAIA”).

Lampiran

Tiada Lampiran.