Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

288) AEROANGKASA SUBANG

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan kerajaan dalam membangunkan tanah Lapangan Terbang Subang?

    Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang atau Subang Airport Regeneration Plan (SARP) merupakan satu pelan transformasi strategik yang dibangunkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (“MAHB”) dimana SARP bakal menaiktaraf dan membangunkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (“LTSAAS”) dan kawasan sekitar berkeluasan 477.33 hektar atau 1,179.5 ekar untuk memenuhi tiga penggunaan utama iaitu lapangan terbang bandar (city airport), perniagaan berteraskan perniagaan (business aviation) dan ekosistem aeroangkasa (aerospace clusters). SARP terbahagi kepada empat (4) zon seperti yang berikut:-

    Zon 1: Pengembangan terminal lapangan terbang bandar;

    Zon 2: Perniagaan berteraskan penerbangan ​(business aviation);

    Zon 3: Penambahbaikan dan/atau penciptaan hangar untuk kemudahan sektor penerbangan; dan

    Zon 4: Pembangunan kawasan yang akan memusatkan para pemain industri  aeroangkasa termasuk, dan tidak terhad kepada pengendali perkhidmatan berkaitan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuat peralatan aeroangkasa bernilai tinggi serta pembekal peralatan / perkhidmatan sampingan aeroangkasa.

    Untuk makluman, Kerajaan Negeri menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”) telah menandatangani memorandum persefahaman (“MOU”) dengan pihak MAHB pada 22 Julai 2024 yang lalu berhubung projek SARP, melibatkan kawasan seluas kira-kira 90 ekar yang terletak di Zon 3 dan Zon 4 di LTSAAS.

    Dalam pada itu, pihak MBI dan Kumpulan juga sedang bekerjasama bersama pihak Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd (“IVP”), sebuah syarikat milikan Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) dalam memastikan kerja-kerja menaiktaraf Kompleks A, LTSAAS yang melibatkan penaiktarafan tiga (3) hangar di atas tanah seluas kira-kira 100 ekar tanah di Subang (Projek Tersebut). Projek yang diterajui oleh pihak IVP ini merupakan projek berimpak tinggi di dalam sektor aeroangkasa di peringkat Persekutuan di mana matlamat utama Kerajaan Persekutuan adalah untuk menjadikan kawasan yang terlibat sebagai hub aerospace bertaraf dunia di Subang.

    Projek SARP serta projek yang diterajui oleh pihak IVP adalah seiring dengan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Negeri Selangor 2020-2030, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan juga Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030.

  2. Apakah model yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan tersebut serta bentuk jalinan kerjasama bersama pihak yang terlibat?

    Model kerjasama awam swasta (“Public Private Partnership”) melibatkan pihak MBI dan MAHB akan digunapakai bagi pelaksanaan projek SARP ini dan struktur kerjasama yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak adalah menerusi penubuhan sebuah Syarikat Tujuan Khas (Special Purpose Vehicle) (“SPV”) yang akan melibatkan pihak MBI dan MAHB.

  3. Apakah hasil pulangan kepada kerajaan Selangor daripada pembangunan ini?

    Merujuk kepada kajian impak ekonomi bebas yang diterbitkan oleh pihak perunding, SARP dijangka akan menyumbang kepada peningkatan terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (“KDNK”) tahunan Selangor pada kadar 1.0%, disamping mencipta kira-kira 8,000 peluang pekerjaan yang merangkumi pekerjaan berkemahiran tinggi, sederhana dan rendah. Peningkatan terhadap kadar nilaian hartanah di kawasan sekitar LTSAAS juga dijangka akan dikecapi melalui usaha yang dilaksanakan oleh pihak MBI, MAHB dan juga IVP.

    Di samping itu juga, terdapat dua (2) hasil utama yang dijangka akan dijana melalui usahasama ini iaitu melalui sewaan aset-aset seperti hangar dan premis untuk tujuan industri, kadar fi melalui cukai tanah dan cukai taksiran yang dikenakan oleh pihak berkuasa melulus (“PBM”).

    Sumber : Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI)

Lampiran

Tiada Lampiran.