Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
262) AEROANGKASA DAN PELABURAN
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perkembangan terkini MoU antara Kerajaan Negeri melalui MBI dengan MAHB untuk pembangunan Aeroangkasa di Sepang dan Subang?
Bagi cadangan pembangunan Subang Airport Regeneration Plan (“SARP”) di atas tanah seluas kira-kira 90 ekar yang terletak di Zon 3 dan Zon 4 di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, proses ketekunan wajar dari aspek kewangan / komersil, undang-undang dan juga kajian pasaran bagi sektor yang berkaitan sedang giat dilaksanakan oleh pihak MBI dan MAHB dalam menentukan kedudukan aset semasa, perjanjian atau kontrak-kontrak yang masih aktif, cadangan pembangunan yang meliputi aspek kos, unjuran kewangan dan seterusnya penentuan jumlah suntikan ke dalam syarikat tujuan khas (“SPV”) yang diperlukan bagi kedua-dua pihak. Proses ketekunan wajar ini dijangka akan dimuktamadkan menjelang suku pertama 2025 atau pertengahan suku kedua 2025.
Seterusnya, terdapat sedikit perubahan ke atas cadangan tapak lokasi bagi tujuan pembangunan projek Selangor Aero Park (“SAP”), yang mana dahulunya projek SAP dirancang untuk dibangunkan di atas tanah yang terletak bersempadan dengan kawasan Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan. Namun kini, lanjutan daripada beberapa sesi perbincangan, pihak MAHB telah bersetuju berhubung cadangan pembangunan SAP di dalam perimeter 10km x 10km Aeropolis secara usahasama antara pihak MBI dan MAHB. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk memuktamadkan cadangan terma dan syarat berhubung cadangan tersebut menjelang suku pertama atau pertengahan suku kedua 2025.