Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

71) ADUN ANGKAT SUKAN SUKMA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Menurut jawapan soalan bertulis lepas, Kerajaan Negeri telah mewujudkan program Bapa Angkat SUKMA 2020 yang berkemungkinan berlangsung pada tahun 2022. Apakah Kerajaan Negeri akan mempunyai apa-apa inisiatif dan program supaya pihak ADUN dapat mengenali para atlet untuk sukan yang di angkat?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Sukan Negeri Selangor akan mewujudkan Program Bapa Angkat Pasukan SUKMA Selangor yang melibatkan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN).

     

    Antara objektif dan peranan program ini adalah :-

     

    1. Mewujudkan kesedaran bahawa pembangunan sukan dan pencapaian atlet di negeri Selangor adalah tanggungjawab bersama.
    2. Memberi peluang dan ruang kepada YB ADUN untuk turut sama dalam menggalas tanggungjawab dan cabaran bagi membangunkan atlet sukan berprestasi tinggi.
    3. Berkongsi dalam memberi idea dan pendapat kepada pasukan untuk terus mempertingkatkan kegemilangan sukan di negeri Selangor.
    4. Sebagai pendorong semangat dan motivasi kepada atlet yang akan bertanding kerana ia menunjukkan kerajaan juga mengambil berat tentang pasukan tersebut.

     

    Walau bagaimanapun Program tersebut terpaksa ditangguhkan disebabkan Temasya SUKMA Johor 2020 telah ditunda pada tahun 2022 ekoran masalah penularan Pandemik Covid-19 yang melanda di Malaysia.

     

    Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang telah bermesyuarat pada 28 Oktober telah memutuskan pelaksanaan Temasya SUKMA 2022 akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara Malaysia (MSNM). Manakala venue pertandingan kebanyakanya akan dilangsungkan di sekitar Kompleks Sukan Bukit Jalil Kuala Lumpur. Namun begitu, pengesahan bagi jenis sukan yang akan dipertandingkan masih belum diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA sehingga ke hari ini. Pihak Majlis akan memaklumkan kepada semua YB ADUN yang terlibat sejurus menerima sepenuhnya maklumat berkaitan Temasya SUKMA ini.

     

    Secara tradisinya, pihak MSN Selangor akan menganjurkan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen kepada semua pasukan yang akan terlibat di Temasya SUKMA tersebut dimana dengan adanya penganjuran Majlis tersebut ianya dilihat akan menjadi langkah awal bagi mengenalkan YB-YB ADUN dengan pasukan dan atlet sebelum program-program khas lain dirangka oleh pengurusan pasukan masing-masing antaranya lawatan ramah mesra semasa sesi latihan pusat ataupun pemantauan di penyertaan kejohanan sebelum SUKMA berlangsung.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.