Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
253) ADUAN KDEBWM DI KUALA LANGAT
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa banyak aduan terhadap kualiti perkhidmatan KDEBWM yang diterima di Daerah Kuala Langat sejak pengambil-alihan tugas ini daripada kontraktor bebas sejak pertengahan tahun 2018? Sila beri analisa dan kesimpulan terhadap trend ini.
KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) telah mengambil alih pengurusan pembersihan awam di daerah Kuala Langat bermula pada 1 Mac 2018 dan diikuti dengan pengurusan sisa pepejal domestik bermula pada 1 Julai 2018.
Berdasarkan statistik aduan sebenar yang direkodkan oleh dua saluran aduan rasmi iaitu Centralized Command Center (CCC) KDEBWM dan juga Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA), daerah Kuala Langat merupakan daerah yang paling rendah jumlah aduannya berbanding daerah-daerah lain yang diuruskan oleh KDEBWM. Aduan-aduan ini adalah aduan sebenar yang telah disahkan dan tidak termasuk aduan palsu. Kesemua statistik aduan ini dipantau oleh Kerajaan Negeri pada setiap bulan melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).
Bagi skop pembersihan awam, jumlah aduan sebenar yang direkodkan bermula pada tarikh pegambilalihan iaitu pada 1 Mac 2018 sehingga 31 Disember 2018 adalah sebanyak 86 aduan dengan purata aduan sehari sebanyak 10 aduan. Aduan tertinggi yang direkodkan adalah pada bulan Julai 2018 iaitu sebanyak 20 aduan manakala aduan terendah yang direkodkan adalah pada bulan Disember 2018 iaitu sebanyak tiga (3) aduan sahaja. Bagi tahun 2019, aduan yang direkodkan untuk bulan Januari adalah sebanyak tiga (3) aduan manakala pada bulan Februari pula adalah sebanyak lima (5) aduan sahaja.
Untuk skop kutipan sisa pepejal domestik pula yang telah diambil alih bermula pada 1 Julai 2018, jumlah aduan yang direkodkan sehingga 31 Disember 2018 adalah sebanyak 41 aduan sahaja dengan purata sebanyak tujuh (7) aduan
sehari. Jumlah aduan tertinggi dicatatkan pada bulan Julai 2018 iaitu sebanyak 16 aduan manakala aduan terendah yang dicatatkan adalah pada bulan Ogos dan September 2018 dengan masing-masing mencatat sebanyak empat (4) aduan sahaja. Bagi tahun 2019, jumlah aduan yang direkodkan bagi bulan Januari adalah sebanyak dua (2) aduan sahaja manakala bagi bulan Februari, jumlah yang direkodkan adalah sebanyak tiga (3) aduan sahaja.
Kesemua aduan yang diterima ini telah diambil tindakan dalam tempoh 24 jam sebagaimana SOP KDEBWM. Berdasarkan trend aduan yang diterima, secara keseluruhannya boleh disimpulkan bahawa operasi kerja-kerja pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di kawasan Kuala Langat adalah stabil dan terkawal.
KDEBWM memberi jaminan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik di Kuala Langat dan akan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bagi memastikan daerah Kuala Langat menjadi sebuah daerah yang sentiasa bersih, maju,dinamik dan lestari.