Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
160) 20 METER PADU AIR PERCUMA DI SELANGOR
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapa ramai pengguna air di Selangor yang membuat permohonan untuk tidak menerima pemberian 20meter padu air percuma?
Mengikut rekod dari SYABAS, setakat ini SYABAS tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mana-mana individu untuk mengecualikan akaun/premis mereka daripada menerima pemberian 20 meter padu pertama air yang dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor.
-
Apakah usaha-usaha kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air mencukupi dan menolak dakwaan Selangor akan menghadapi masalah air tahun 2016?
Untuk tempoh 20 tahun akan datang, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil langkah positif untuk memastikan rakyat Selangor sentiasa mendapat bekalan air yang mencukupi.
Beberapa projek sumber air tambahan telah pun dilaksanakan bagi memastikan sumber bekalan air adalah mencukupi, antaranya adalah seperti berikut:-
- Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme
Projek ini dikendalikan oleh Pengurusan Aset Air Berhad. Kapasiti nominal Loji Rawatan Air adalah 105 Jlh.
- Membaik pulih Kapasiti Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) Kerja-kerja membaik pulih kapasiti pengeluaran Loji Rawatan Air Sg Selangor Fasa 1 (SSP1) dapat meningkatkan pengeluaran dari Loji SSP1 dari 760 Jlh sedia ada kepada 950 Jlh, iaitu peningkatan sebanyak 190 Jlh.
Pada ketika ini, semua data berkenaan dengan permintaan dan pembekalan air adalah dipegang oleh SYABAS. Dari data yang telah di analisa, didapati unjuran yang dibuat oleh SYABAS adalah agak tinggi. Rawatan air pula dikendalikan oleh operator yang berlainan. Namun demikian, sekiranya berlaku krisis bekalan air, dalam apa keadaan sekalipun, Kerajaan Negeri Selangor akan dipersalahkan.
Oleh itu, salah satu tujuan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan industri perkhidmatan air di Selangor dikendalikan secara holistik oleh satu operator bermula dari proses rawatan proses hinggalah pengagihan kepada pengguna. Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Kerajaan Negeri Selangor menyedari kepentingan pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air. Justeru itu, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pengambilan balik tanah bagi untuk pelaksanaan Projek ini dan bagi tanah-tanah kerajaan yang telah dirizabkan untuk tujuan tertentu, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pajakan selama 20 tahun.
Proses pengambilan balik tanah bagi Projek LRA 2 telah bermula semenjak tahun 2007 lagi. Keseluruhan tanah yang terlibat untuk Projek LRA 2 adalah sebanyak 462.776 hektar. Dari jumlah tersebut, 86.44 hektar adalah tanah kerajaan. Namun demikian, Kelulusan Pelan Pembangunan masih ditangguhkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sehingga persefahaman bersama dapat dicapai dengan Kerajaan Persekutuan mengenai penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air di Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor hendaklah dibincangkan bersekali supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persefahaman di dalam memuktamadkan dengan segera penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor berdasarkan kepada Model Holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mencapai kadar tarif yang munasabah yang tidak membebankan rakyat dan pada masa yang sama tidak membebankan operator air.
Kerajaan Negeri Selangor sedia untuk mempertimbangkan kelulusan kepada pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 tertakluk kepada:-
- Penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor dimuktamadkan;
- SPV milik Kerajaan Negeri Selangor dilantik sebagai operator bagi operasi dan penyelenggaraan Loji Rawatan Air Langat 2, Loji Rawatan Air Sungai Labu dan semua loji rawatan air baru di masa hadapan; dan
- Pelawaan kepada syarikat milik negeri untuk menawarkan pembinaan kemudahan perawatan air Langat 2.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa bekerjasama dengan operator loji pembersihan air seperti Splash, Abass dan Puncak Niaga serta agensi yang terlibat dan Suruhanjaya Air Negara (SPAN) langkah-langkah mitigasi telah dilakukan seperti berikut:
- Hanya melepaskan air dari empangan berdasarkan keperluan optimum loji sahaja.
- Menjalin persefahaman yang mantap bagi semua pihak berkepentingan dalam mengurus sumber air supaya bekalan air bersih tidak terganggu. Memantau paras air di muka sauk bagi memastikan kuantiti air yang dipam adalah mencukupi dan tidak memberi kesan ke atas operasi pam air mentah hingga mengakibatkan kegagalan.
- Sentiasa memantau dan bertindak sewajarnya sekiranya simpanan air mencapai tahap 50%.
- Masyarakat umumnya sentiasa diminta berjimat cermat terhadap penggunaan air sewaktu musim kemarau.
Selain itu, LUAS sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan air di Negeri Selangor turut mengambil kira beberapa langkah yang perlu di ambil sekiranya berlaku masalah air di Negeri Selangor. Salah satu penyelesaiannya adalah penggunaan sumber air alternatif iaitu menggunakan air permukaan seperti air tasik, lombong dan sebagainya untuk keperluan harian. Sumber air bumi juga merupakan penyelesaian terhadap kekurangan bekalan air di Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, sumber air bumi masih belum meluas penggunaannya dan perlu dikomersialkan.