PERTANDINGAN AKHIR DEBAT DARUL EHSAN PIALA TUAN SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR

KENYATAAN MEDIA

Pertandingan Debat Darul Ehsan Piala Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor telah diadakan buat julung kalinya pada 22 hingga 25 Julai 2024.

Pertandingan ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Dewan Negeri Selangor (DNS) dan telah menerima pelbagai bentuk sokongan dari Politeknik Banting Selangor (PBS), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat (PPD Kuala Langat) selaku PPD tuan rumah pertandingan debat ini.

Pertandingan ini telah berlangsung selama empat (4) hari di PBS manakala Peringkat Akhir diadakan di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz melibatkan 36 buah sekolah-sekolah menengah di Negeri Selangor. Satu piala pusingan khas telah disediakan untuk memastikan kesinambungan pertandingan Debat Darul Ehsan ini dan pemenang pertama bagi piala ini telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) sebagai Johan dan diikuti oleh Naib Johan yang dimenangi oleh Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS).

Salah seorang pembahas dari SMAP Kajang, iaitu Ameen Luqman Bin Norhanizan telah memenangi Anugerah Pembahas Terbaik Peringkat Akhir dan terdapat satu Anugerah Khas telah dimenangi oleh Sridaatri A/P Saravanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah di mana seorang pembahas  dalam kalangan bukan melayu akan dipilih untuk memenangi anugerah tersebut. Anugerah yang khas dari YB Tuan Speaker adalah bagi menggalakkan penyertaan bukan melayu dalam Pertandingan Debat Bahasa Melayu sebagai salah satu cara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Pertandingan Debat Darul Ehsan ini merupakan Pertandingan Debat Ala Parlimen di mana peserta-peserta ini berdebat seperti di Parlimen atau di Peringkat Negeri, dikenali sebagai Dewan Negeri Selangor. Terdapat wakil kerajaan dan pembangkang serta ‘Yang Dipertua Dewan’ atau dipanggil ‘Speaker Dewan’ di peringat Dewan Negeri Selangor. Justeru itu, peserta-peserta ini sebenarnya merasai pengalaman Ahli-ahli Dewan Negeri yang berdebat atau berbahas berkenaan sesuatu perkara di dalam Dewan dan merupakan salah satu proses penting dalam sistem kerajaan berparlimen yang diamalkan di Malaysia dan juga di Selangor.

Selaku Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, saya berasa terdapat keperluan untuk Dewan Negeri Selangor terlibat dalam penganjuran pertandingan Debat ini sebagai salah satu program untuk memberi pendedahan politik kepada anak-anak muda terutama memupuk minat mereka untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang yang merupakan fungsi utama Parlimen dan Dewan Negeri Selangor. Seiring dengan pindaan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun pada tahun 2019, makanya terdapat keperluan agar murid-murid  Sekolah Menengah yang berumur 16 dan 17 tahun ini perlu diberi pendedahan politik awal dan salah satu medium adalah melalui penganjuran Pertandingan Debat ini.

Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada YB Seri Kembangan, YB Puan Wong Siew, YB Batu Tiga, YB Tuan Danial Al-Rashid Bin Haron Aminar Rashid dan YB Lembah Jaya, Y.B. Tuan Syed Ahmad Bin Abdul Rahman Alhadad (YB Altimet) dan YB Kota Damansara, Y.B. Tuan Muhammad Izuan Bin Ahmad Kasim  kerana sudi menghadiri sesi khas bersama ADN dengan peserta-peserta pada 22 Julai yang lalu di PBS. Dengan adanya sesi perkongsian tersebut, semoga  dapat merapatkan jurang komunikasi  antara anak-anak muda dan YB ADN. Semasa sesi khas tersebut, wakil PBS turut memaklumkan bahawa politeknik tersebut merupakan satu-satunya politeknik yang menawarkan kursus penyenggaraan pesawat.

Sekian, terima kasih.