Lawatan peserta-peserta CPA Advanced Parliamentary Development Residency Programme

26 September 2024, Dewan Negeri Selangor telah menerima lawatan daripada peserta-peserta CPA Advanced Parliamentary Development Residency Programme yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen negara-negara anggota Komanwel yang telah berlangsung selama satu minggu di Kuala Lumpur.

Jumlah pelawat adalah seramai 44 orang termasuk pegawai dan staf daripada CPA Headquarters dan Parlimen Malaysia.

Kehadiran mereka pada jam 2:30 petang telah disambut oleh Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Lau Weng San dan Penolong Setiausaha Dewan, Encik Ahmad Fuad Hilmi bersama staf Pejabat Dewan Negeri Selangor sebelum mereka dibawa ke Bilik Gerakan untuk sesi taklimat dan perkongsian berkaitan dengan isu-isu yang perlu dibawa ke peringkat Parlimen untuk perhatian pihak kerajaaan seperti isu sosial iaitu isu masyarakat menua, kadar kelahiran yang rendah, kadar perceraian yang tinggi serta isu berkaitan kes jenayah terhadap golongan wanita.

YB Lau Weng San juga memberi penerangan yang mendalam terhadap sejarah Dewan Negeri Selangor dan perjalanan Dewan yang terkini serta agenda-agenda pembaharuan yang mempunyai banyak persamaan dengan ciri-ciri Dewan Perundangan dan Parlimen di negara-negara Komanwel yang lain.

Kemudian mereka dibawa melawat ke Chamber Dewan negeri Selangor selepas sesi pertukaran cenderamata dan sesi bergambar.

Kesemua peserta program terpersona dan kagum dengan pencapaian dan kemajuan Dewan Negeri Selangor dan mereka akan meneruskan hubungan kerjasama yang lebih erat dengan Dewan Negeri Selangor pada masa yang akan datang.