Lawatan Gerak Remaja 4B dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan

Shah Alam, 1 Ogos. Dewan Negeri Selangor telah menerima 45 pelawat daripada Gerak Remaja 4B dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan. Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada 30 pelajar dari pelbagai sekolah dan universiti yang merupakan ahli Sahabat KafeTEEN, LPPKN.

Ketibaan rombongan pada jam 11.00 pagi di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor disambut mesra oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor sebelum ahli rombongan dibawa ke Tingkat 2, Bilik Gerakan.

Lawatan tersebut telah dimulai dengan sesi ucapan dan taklimat bertajuk Pengenalan dan Reformasi Dewan Negeri Selangor yang disampaikan oleh YB Tuan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor, YB Tuan Kamri bin Kamaruddin beserta sesi soal jawab.

Sepanjang sesi taklimat dan sesi soal jawab berlangsung, para pelajar telah bertanya pelbagai soalan berkaitan peranan Speaker dan Ahli Dewan Negeri beserta perkara berkaitan perjalanan Dewan Negeri Selangor.

Program diakhiri dengan sesi lawatan ke Bangunan Dewan Negeri Selangor termasuk Galeri dan Chamber di mana Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor bersidang.