Pemakaian Kit Kendiri Covid-19, Antigen Rapid Test (Oral Fluid) setiap hari semasa persidangan Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 22 Ogos: Persidangan Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada kali ini telah membuat ketetapan agar semua yang menghadiri Persidangan Dewan Negeri Selangor bermula 24 Ogos 2021 sehingga Dewan ditangguhkan perlu membuat Ujian Saringan Covid-19 secara kendiri di tempat masing-masing sebelum menghadiri persidangan Dewan Negeri setiap hari.

Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak 2500 unit kit Covid-19, Antigen Rapid Test (Oral Fluid) kepada semua Ahli Dewan Negeri dan petugas yang akan hadir ke persidangan Dewan Negeri pada kali ini.

Langkah ini diambil memandangkan wujud kebimbangan akibat penularan kes Covid-19 yang masih tinggi di Negeri Selangor.

Ia adalah langkah tambahan bagi mencegah penularan Covid-19 di Dewan Negeri Selangor selain Ujian Saringan Secara Berpusat menggunakan kaedah PCR yang dijalankan pada 20 Ogos 2021 dengan Kerjasama Selgate Corporation dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Ujian Saringan secara berpusat di Dataran Dewan Negeri Selangor secara Drive-Thru pada 20 Ogos 2021 kepada 473 Ahli Dewan Negeri, Petugas dan Jabatan mendapati seramai 6 orang didapati positif Covid-19. Hanya yang disahkan negatif keputusan Ujian Saringan Covid-19 dibenarkan memasuki Dewan Persidangan pada kali ini.

Persidangan Dewan Negeri Selangor pada kali ini dijangka berlangsung pada 23 – 27 Ogos, 30 Ogos, 01 – 03 September dan 06 September 2021 dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang teramat Mulia Raja Muda Selangor bagi merasmikan Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2021.