Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
Bahagian
VI - Darihal Rayuan dan Penyemakan
Bab
1 - Darihal Rayuan Kepada Makhamah Tinggi Syariah
Seksyen
138
Tajuk
Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih-lebihan atau dikatakan tak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu suatu notis rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
Tiap-tiap notis rayuan hendaklah mengandungi suatu alamat di mana apa-apa notis atau dokumen berkaitan dengan rayuan itu boleh disampaikan kepada perayu atau kepada Peguam Syarienya.
Apabila sesuatu notis rayuan telah dimasukkan, Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat hendaklah membuat suatu salinan bertandatangan bagi alasan keputusan dalam kes itu dan menyebabkan alasan keputusan itu disampaikan kepada perayu atau Peguam Syarienya dengan meninggalkan salinan itu di alamat yang disebut dalam notis rayuan itu atau dengan menghantarnya melalui pos berdaftar yang dialamatkan kepada perayu di alamat itu.
Dalam masa sepuluh hari selepas salinan alasan keputusan itu disampaikan menurut subseksyen (3), perayu hendaklah mengemukakan kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan, suatu petisyen rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
Jika perayu dalam masa yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) bagi pengemukaan notis rayuannya telah memohon suatu salinan nota-nota keterangan yang direkodkan oleh Hakim semasa perbicaraannya, dia hendaklah mengemukakan petisyen rayuannya sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (4)—
(a) dalam masa yang diperuntukkan oleh subseksyen itu; atau
(b) dalam masa sepuluh hari dari tarikh notis ditinggalkan di alamatnya bagi penyampaian yang dinyatakan dalam subseksyen (2) bahawa suatu salinan nota-nota keterangan boleh didapati dengan percuma, mengikut mana-mana tempoh yang lebih panjang.
Tiap-tiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi penghakiman yang terhadapnya rayuan dibuat, dan hendaklah mengandungi butir-butir yang tentu mengenai perkara-perkara undang-undang atau mengenai fakta yang berkenaan dengannya Mahkamah yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat dikatakan telah silap.
Jika perayu berada di dalam penjara, dia hendaklah disifatkan telah mematuhi kehendak seksyen ini jika dia memberi pegawai yang menjaga penjara itu notis rayuan sama ada secara lisan atau bertulis dan butir-butir yang dikehendaki dimasukkan dalam petisyen rayuan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini dan membayar fi rayuan yang ditetapkan.
Pegawai yang menjaga penjara itu hendaklah dengan segera menghantar notis dan petisyen itu atau yang berupa sebagai notis dan petisyen itu kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah di mana perbicaraan itu telah diadakan.
Jika sesuatu petisyen rayuan tidak dikemukakan dalam masa yang ditetapkan oleh seksyen ini, rayuan itu hendaklah disifatkan telah ditarik balik dan Mahkamah perbicaraan hendaklah menguatkuasakan hukuman atau perintahnya jika apa-apa penggantungan pelaksanaan telah dibenarkan, tetapi tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyekat kuasa yang diberikan kepada Hakim oleh seksyen 140.
Disclaimer (Penafian):
Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.
Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.