Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

VII - Peruntukan Tambahan

Bab

1 - Orang Tak Sempurna Akal

Seksyen

180

Tajuk

Tatacara jika tertuduh disyaki tak sempurna akal
180 [1]

Jika Hakim yang menjalankan suatu siasatan atau perbicaraan mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa orang tertuduh tak sempurna akal dan dengan demikian tak berupaya membuat pembelaannya, dia hendaklah terlebih dahulu menyiasat hakikat ketaksempurnaan akal itu.

180 [2]

Dalam penyiasatan itu orang tertuduh tidak perlu hadir dan
Hakim boleh menerima sebagai keterangan suatu perakuan bertulis yang ditandatangani oleh seorang Pegawai Perubatan Kerajaan yang bermaksud bahawa pada pendapatnya orang tertuduh itu tak sempurna akal atau seorang yang patut ditahan di hospital mental untuk pemerhatian atau jika difikirkannya patut Hakim itu boleh mengambil keterangan lisan daripada seorang Pegawai Perubatan Kerajaan tentang keadaan akal fikiran orang tertuduh itu.

180 [3]

Jika Hakim tidak berpuas hati bahawa orang itu berupaya
membuat pembelaannya, Hakim itu boleh menangguhkan siasatan atau perbicaraan itu dan hendaklah menahan orang itu selama suatu tempoh tidak melebihi sebulan di mana-mana hospital mental di Malaysia untuk pemerhatian.

180 [4]

Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam permerhatian sepanjang tempoh penahanannya itu dan, sebelum habis tempoh itu—

(a) dia hendaklah memperakukan di bawah tandatangannya pendapatnya tentang keadaan akal fikiran orang itu kepada Mahkamah; atau

(b) jika dia tidak dapat dalam tempoh itu membuat apa-apa kesimpulan yang pasti, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Mahkamah dan meminta supaya tempoh tahanan dilanjutkan sehingga suatu tempoh selama dua bulan.

180 [5]

Pendakwa Syarie boleh pada mana-mana peringkat apa-apa
prosiding sebelum perbicaraan dijalankan, memerintahkan supaya mana-mana orang tertuduh yang disyakinya tak sempurna akal dihantar ke hospital mental untuk pemerhatian selama suatu tempoh yang tidak melebihi sebulan; dan Penguasa Perubatan hospital mental itu hendaklah meletakkan orang itu dalam pemerhatian selama tempoh itu dan sebelum habis tempoh itu hendaklah memperakui di bawah tandatangannya pendapatnya tentang keadaan
akal fikiran orang itu kepada Pendakwa Syarie; dan jika Penguasa Perubatan itu tidak dapat dalam tempoh itu membuat apa-apa kesimpulan yang pasti, dia hendaklah memperakui sedemikian kepada Pendakwa Syarie dan Pendakwa Syarie bolehlah memerintahkan supaya orang itu ditahan di hospital mental itu selama suatu tempoh selanjutnya yang tidak melebihi dua bulan.

180 [6]

Penguasa perubatan sesuatu hospital mental boleh, walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Ordinan Penyakit Mental 1952 [Ord. 31/52], menahan mana-mana orang tertuduh
yang berkenaan dengannya suatu perintah telah dibuat di bawah subseksyen (5) selama suatu tempoh yang tidak melebihi tempoh yang dinyatakan dalam perintah itu.

180 [7]

Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh
sempurna akal dan berupaya membuat pembelaannya, Hakim
hendaklah meneruskan perbicaraan itu.

180 [8]

Jika Penguasa Perubatan memperakui bahawa orang tertuduh
tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaannya,
Mahkamah hendaklah, jika berpuas hati tentang hakikat itu, membuat dapatan yang sewajarnya dan sesudah itu perbicaraan hendaklah ditangguhkan.

180 [9]

Perakuan Penguasa Perubatan hendaklah diterima sebagai keterangan di bawah seksyen ini.

180 [10]

Jika orang tertuduh diperakui tak sempurna akal dan tak berupaya membuat pembelaannya, maka dia tidak perlu hadir di dalam Mahkamah semasa prosiding di bawah seksyen ini dan Mahkamah boleh memerintahkan pelepasan atau pembebasannya.

180 [11]

Dalam seksyen ini, perkataan “hospital mental” ertinya sesuatu hospital yang ditubuhkan atau disenggarakan di bawah Ordinan Penyakit Mental 1952 [Ord. 31/52].

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.