Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003

Bahagian

I - Permulaan

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2 [1]

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“aduan’ ertinya pengataan yang dibuat secara lisan atau bertulis kepada Hakim bahawa seseorang sama ada diketahui atau tak diketahui telah melakukan atau bersalah atas suatu kesalahan, dengan tujuan supaya tindakan diambil oleh Hakim itu di bawah Enakmen ini;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Negeri Selangor) 2003;

“Hakim” ertinya seseorang Hakim yang dilantik di bawah subseksyen 58(1)atau 59(1) Enakmen Pentadbiran;

“kesalahan” ertinya apa-apa perbuatan atau peninggalan yang dijadikan boleh dihukum oleh mana-mana undang-undang bertulis yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam dan yang atasnya Mahkamah mempunyai bidang kuasa;

“kesalahan boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;

“kesalahan tak boleh tangkap” ertinya sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguatkuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran;

“Ketua Hakim Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama” dan “Pegawai Penguatkuasa Agama” mempunyai erti masing-masing yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Ketua Pendakwa Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Mahkamah” atau “Mahkamah Syariah” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Mufti” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Pegawai Masjid” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Peguam Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, atau Penolong-Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dilantik di bawah Enakmen Pentadbiran;

“Pendakwa” ertinya Ketua Pendakwa Syarie atau Pendakwa Syarie;

“Pendakwa Syarie” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Pengerusi” mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Enakmen Pentadbiran;

“Pesalah muda” ertinya seseorang pesalah yang berumur lebih daripada sepuluh tahun dan kurang daripada enam belas tahun;

“saksi” tidak termasuk seseorang tertuduh.

2 [2]

Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan tidak ditakrifkan dalam Enakmen ini tetapi ditakrifkan dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya setakat yang pengertian itu tidak bercanggah dengan Hukum Syarak.

2 [3]

Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukkan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.