Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
Bahagian
V - Prosiding dalam Pendakwaan
Bab
4 - Darihal Perbicaraan
Seksyen
97
Tajuk
Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen 96, Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa yang terkandung dalam seksyen ini.
Apabila mana-mana orang dipertuduh di hadapan Mahkamah atas suatu kesalahan yang boleh dihukum oleh Mahkamah itu, dan Mahkamah mendapati bahawa pertuduhan itu telah dibuktikan, tetapi berpendapat bahawa dengan mengambil kira watak, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan mental orang yang dipertuduh itu, atau kepada hakikat ringannya jenis kesalahan itu, atau kepada hal keadaan peringan yang dalamnya kesalahan itu telah dilakukan, adalah tak suaimanfaat untuk mengenakan apa-apa hukuman selain daripada suatu hukuman nominal atau bahawa adalah suaimanfaat melepaskan pesalah itu dalam cubaan akhlak, Mahkamah boleh, tanpa merekodkan suatu sabitan, membuat perintah—
(a) membuang pertuduhan atau aduan itu selepas apa-apa teguran atau amaran kepada pesalah itu sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah;
(b) memerintahkan pesalah itu ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama apa-apa tempoh yang tidak melebihi enam bulan sebagaimana yang difikirkan patut oleh Mahkamah; atau
(c) melepaskan pesalah itu dengan syarat dia mengikat bon, dengan penjamin-penjamin, untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh, yang tidak melebihi tiga tahun, sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah itu, dan hadir supaya direkodkan sabitan dan dijatuhkan hukuman apabila dipanggil pada bila-bila masa dalam tempoh itu.
Mahkamah boleh, sebagai tambahan kepada mana-mana perintah itu, memerintahkan pesalah itu membayar apa-apa pampasan bagi kecederaan atau bagi kerugian, yang tidak melebihi jumlah wang satu ribu ringgit, atau membayar apa-apa kos prosiding itu sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah atau membayar pampasan dan kos itu kedua-duanya.
Jika Mahkamah berpuas hati melalui maklumat yang diberikan dengan sumpah bahawa pesalah itu tidak mematuhi mana-mana syarat bonnya, ia boleh mengeluarkan waran bagi pemberkasan pesalah itu.
Mana-mana pesalah apabila diberkas dengan mana-mana waran sedemikian hendaklah, jika tidak dibawa dengan serta-merta ke hadapan Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menghukumnya, dibawa ke hadapan seorang Hakim yang boleh—
(a) sama ada menahannya melalui waran sehingga masa dia dikehendaki oleh bonnya untuk hadir bagi penghakiman atau sehingga bersidangnya Mahkamah yang mempunyai kuasa untuk menguruskan kesalahan asalnya, mengikut mana-mana yang berlaku dahulu; atau
(b) membenarkan dia diikat jamin dengan penjamin yang mencukupi dengan syarat dia hadir bagi penghakiman.
Pesalah itu, apabila ditahan sedemikian, boleh dipenjarakan dan waran tahanannya hendaklah memerintahkan bahawa dia hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah yang di hadapannya dia terikat untuk hadir bagi penghakiman atau untuk memberikan jawapan tentang kelakuannya sejak dia dilepaskan.
Disclaimer (Penafian):
Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.
Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.