Enakmen Pembekalan Air 1997

Bahagian

X - Pelbagai

Seksyen

54

Tajuk

Kuasa Am Untuk Membuat Peraturan
54

Pihak Berkuasa Negeri boleh dari masa ke semasa melalui pemberitahuan di dalam Warta membuat apa-apa kaedah atau peraturan yang pada pendapatnya adalah wajar atau perlu bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Enakmen ini bagi mana-mana tujuan yang berikut –

(a) menetapkan fungsi-fungsi dan tugas-tugas Pengarah atau mana-mana pegawai yang dilantik di bawah seksyen 3;

(b) mengawalselia pembekalan air di mana-mana jalan utama;

(c) mengawalselia pembekalan dan pengawalan air dari mana-mana sistem sebahagian daripadanya;

(d) mengawalselia pembekalan air untuk tujuan domestik, tred dan lain-lain;

(e) menetapkan caj-caj yang dikenakan untuk pembekalan air kepada pengguna;

(f) menetapkan apa-apa fee lain yang perlu dibayar di bawah Enakmen ini;

(g) menetapkan keperluan-keperluan tertentumengenai bahan-bahan yang perlu ada atau tiada pada air dan lain-lain ciri air supaya air yang dibekalkan ke mana-mana premis adalah selamat dan sesuai untuk kegunaan manusia atau sesuai untuk tujuan ia dibekalkan;

(h) memastikan pelengkapan air yang dipasang dan digunakan oleh orang-orang yang mana air yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh pemegang lesen adalah selamat dan tidak menyebabkan atau menyumbangkan kepada pengukuran yang salah mana-mana air atau talunan mana-mana paip dan membuat peruntukan berhubung dengan pelengkapan air itu sepertimana dinyatakan—

(i) untuk melarang pemasangan, penyam-penyambungan atau penggunaan pelengkapan air jika ianya tidak diluluskan di bawah peraturan-peraturan atau jika ia melanggar peruntukan-peruntukan;

(ii) untuk menghendaki saiz, sifat, kekuatan atau kemahiran kerja pelengkapan air dibuat daripada apa-apa bahan atau melalui apa-apa cara atau untuk mengikut apa-apa piawaian sebagaimana ditetapkan; dan

(iii) untuk mengenakan apa-apa keperluan lain sebagaimana boleh ditetapkan berhubung dengan pemasangan, penyusunan, penyambungan, pengujian, pemberhentian, pemindaan dan pembaikan pelengkapan air dan berkaitan dengan bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatannya;

(i) menetapkan masa dan tempat untuk pembayaran wang yang kena dibayar bagi air yang dibekalkan atau denda bagi mana-mana kesalahan yang dikompaunkan di bawah Enakmen ini dan kaedah pengutipan dan penyelesaiannya;

(j) menetapkan terma-terma dan syarat-syarat untuk membekalkan air kepada pembangunan-pembangunan hartanah atau taman-taman perumahan yang baru dan untuk menetapkan amaun kos sumbangan daripada pemaju-pemaju;

(k) memperuntukkan ruang, waktu-waktu dan cara di mana-mana sistem bekalan air diperiksa, notis (jika ada) yang perlu diberi berhubung dengan pemeriksaan-pemeriksaan dan persediaan-persediaan yang perlu dibuat oleh pemegang lesen        atau mana-mana pengurus, untuk pemeriksaan;

(l) menetapkan piawaian-piawaian dan spesifikasi-spesifikasi minima yang mana hendaklah digunakan di dalam reka bentuk, pembinaan, perlindungan, operasi dan penyenggaraan mana-mana sistem bekalan air;

(m) menetapkan cara di mana pelan-pelan dan spesifikasi-spesifikasi berhubung dengan mana-mana sistem bekalan air yang dicadangkan boleh dikemukakan di bawah Enakmen ini;

(n) menetapkan bentuk dan kandungan lesen-lesen yang dikeluarkan di bawah Bahagian III, pengecualian-pengecualian, syarat-syarat yang ditetapkan, syarat-syarat untuk pembatalan dan pembaharuan lesen-lesen dan fee-fee yang kena dibayar untuk lesen-lesen itu;

(o) menetapkan kelayakan-kelayakan minima yang perlu dimiliki oleh orang-orang sebelum mereka boleh dibenarkan untuk diberi kepercayaan dengan menjalankan, menyenggarakan atau menguruskan mana-mana sistem bekalan air atau sebahagian daripadanya;

(p) mengawalselia pengeluaran, penggantungan atau pembatalan perakuan-perakuan kelayakan kepada orang-orang yang memiliki kelayakan-kelayakan yang ditetapkan di bawah perenggan (o) dan seksyen 18 dan menetapkan fee-fee yang kena dibayar untuk perakuan-perakuan tersebut;

(q) menetapkan borang-borang yang perlu digunakan, cara dan prosedur untuk mengkompaun sesuatu kesalahan;

(r) menetapkan pengemukaan penyata-penyata kewangan dan laporan-laporan telah diauditkan oleh pemegang lesen;

(s) menetapkan cara yang perlu diambil, samada melalui larangan atau sebaliknya, bagi menghalang atau mengurangkan apa-apa kacauganggu yang mungkin berbangkit atau berbangkit  dari  perjalanan  mana-mana sistem bekalan air;

(t) menetapkan prosedur untuk menyelesaikan pertikaian-pertikaian dan rayuan-rayuan di bawah Enakmen ini;

(u) mengawalselia perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan oleh pemegang lesen dan hubungan dengan pengguna seperti peruntukan-peruntukan untuk mendapatkan balik bayaran-bayaran untuk air yang dibekalkan penyambungan, pemberhentian atau pemulihan bekalan oleh pemegang lesen, kemasukan ke dalam mana-mana premis oleh pemegang lesen atau pegawai-pegawai yang telah diberikuasa olehnya bagi tujuan-tujuan yang berkaitan dengan bekalan, penyambungan, pemberhentian atau pemulihan bekalan, kemasukan bagi tujuan-tujuan menggantikan, memperbaiki atau meminda mana-mana paip atau loji atau peralatan dan bentuk  notis yang diperlukan;

(v) menetapkan segala amnya perkara-perkara yang bagi menguatkuasakan peruntukan-peruntukan Enakmen ini; dan

(w) menetapkan kesalahan yang boleh dikompaunkan dan prosedur bagi mengkompaun kesalahan itu.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.