Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001
Bahagian
2 - Penubuhan Lembaga
Seksyen
6
Tajuk
Fungsi Lembaga adalah untuk menggalakkan dan melaksanakan pembangunan perumahan dan hartanah dan secara khusus untuk—
(a) memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan dasar-dasar, cara-cara dan langkah-langkah yang hendak diambil untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan perumahan dan hartanah;
(b) memudahkan pembangunan perumahan dan hartanah secara am dan secara khusus perumahan awam dan kos rendah;
(c) melaksanakan dan memberi kesan kepada apa-apa dasar, arahan atau perintah Pihak Berkuasa Negeri;
(d) membangun, menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, panduan-panduan, piawai-piawai, cara-cara dan langkah-langkah mengenai pembangunan, pengurusan dan peruntukan perumahan awam dan kos rendah;
(e) menjalankan peranan penyelarasan antara ejensi untuk membolehkan kemajuan dan pelaksanaan pembangunan perumahan dan hartanah secara pesat;
(f) merancang, membangun, melaksana dan menggalakkan pembangunan, pelaksanaan, pemasaran dan penjualan perumahan dan hartanah secara amnya dan secara khususnya bagi perumahan awam dan kos rendah;
(g) membolehkan penubuhan dan operasi tabung-tabung amanah dan untuk meletakhak harta, hak-hak dan liabiliti-liabiliti di tabung-tabung itu;
(h) mengurus dan menjalankan pengendalian dan penyelenggaraan kawasan-kawasan perumahan termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat-tempat dan alat-alat di kawasan-kawasan tersebut;
(i) menggalakkan, menyelaraskan dan melaksanakan kajian dan pembangunan di dalam semua aspek perumahan dan hartanah dan secara khusus mengenai perumahan awam dan kos rendah;
(j) mentadbir dan mengurus Kumpulan Wang;
(k) menjadi pusat sumber dan maklumat untuk industri perumahan dan hartanah; dan
(l) menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, pelan dan projek oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang diarah oleh Pihak Berkuasa Negeri.
Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi atau yang berkaitan untuk menjalankan fungsi-fungsinya dan khusus bagi—
(a) mengendalikan, tinjauan, membuat kajian dan mengumpul maklumat untuk penyediaan pelan-pelan pembangunan dan pengurusan bagi perumahan dan hartanah;
(b) mengadakan suatu daftar mana-mana orang yang menjalankan pembangunan perumahan dan hartanah;
(c) memutuskan, menerima pakai dan melaksanakan piawai-piawai, panduan-panduan dan tindakan-tindakan lain untuk memastikan mutu pembangunan perumahan dan hartanah;
(d) merancang dan melaksanakan pembangunan perumahan dan hartanah dan sebarang kerja yang berhubungan dengannya;
(e) tertakluk kepada mana-mana undang bertulis, merumus dan melaksanakan caj-caj dan fi penyelenggaraan dan lain yang berkaitan untuk perumahan dan hartanah dan penggunaan kemudahan-kemudahan disitu;
(f) merumus dan melaksanakan tindakan-tindakan untuk memastikan bahawa pengurusan dan penyelengaraan sebarang bangunan atau kerja di dalam mana-mana pembangunan perumahan atau hartanah adalah dilaksanakan mengikut apa-apa undang-undang bertulis;
(g) menetapkan dan mengenakan fi, bayaran, faedah dan caj-caj lain yang berhubungan dengan pelaksanaan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa di bawah Enakmen ini;
(h) membina, menyelenggara, membaiki, memulih,mendiami semula dan menggunakan sebarang struktur, bangunan atau kerja-kerja di dalam mana-mana rancangan perumahan atau hartanah;
(i) melantik atau menggaji ejen-ejen, penasihat teknikal, konsultan, kontraktor atau orang lain untuk mengendalikan apa-apa perniagaan atau mengadakan perjanjian untuk menjalankan mana-mana fungsi atau tanggungjawabnya atau untuk perkongsian keuntungan atau usahasama dengan
mana-mana orang atau kumpulan orang;
(j) menjalankan dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan kajian dan latihan untuk pembangunan perumahan dan hartanah termasuk melantik mana-mana orang atau badan untuk menjalankan kajian atau latihan tersebut;
(k) tertakluk kepada Akta Pemaju Perumahan (Pengawalan dan Pelesenan) 1966, salvaj, memperolehi, menyelamat, menyerah hak semula atau menghendaki mana-mana pemaju perumahan atau hartanah atau ejensi awam untuk salvaj,
menyelamat atau menyerah hak semula sebarang pembangunan perumahan atau hartanah yang terbengkalai atau yang terlalu lewat;
(l) menetapkan dasar-dasar dan panduan-panduan bagi memperuntukkan rumah-rumah di sebarang pembangunan perumahan kepada pembeli-pembeli dan melaksanakan dasar-dasar dan panduan-panduan itu;
(m) memperolehi melalui pembelian, hadiah, suratikatan, amanah atau sebaliknya dan melupuskan atau berurusan dengan harta alih dan harta tak alih dan sebarang kepentingan di dalamnya, atas terma-terma dan syarat-syarat
yang dianggap wajar oleh Lembaga;
(n) membuat atau melaksanakan sebarang perbuatan yang dianggap oleh Lembaga sebagai perlu, bermanfaat atau suai manfaat untuk dilakukan atau dibuat di dalam pelaksanaan tugas-tugasnya atau untuk melaksanakan secara lebih berkesan tujuan-tujuan Enakmen ini; dan
(o) melaksanakan semua fungsi dan kuasa dan menjalankan semua tugas yang diberikan atau diwakilkan kepadanya di bawah atau berkenaan mana-mana undang-undang bertulis yang lain.
Disclaimer (Penafian):
Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.
Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.