Dewan Negeri Selangor menerima lawatan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan

Shah Alam, 22 Julai. Dewan Negeri Selangor telah menerima 44 pelawat yang terdiri daripada 40 pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan, bersama empat (4) orang guru. Lawatan tersebut diatur oleh Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, YB EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan, YB Dato’ Ng Suee Lim.

Ketibaan rombongan pada jam 2.00 petang di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor disambut mesra oleh Pejabat YB EXCO dan Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor.

Lawatan tersebut telah dimulai dengan sesi khas bersama YB EXCO Kerajaan Tempatan & Pelancongan, YB Dato’ Ng Suee Lim sebelum diteruskan dengan sesi taklimat bertajuk Pengenalan dan Reformasi Dewan Negeri Selangor yang disampaikan oleh YB Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor beserta sesi soal jawab.

Sepanjang sesi taklimat dan sesi soal jawab berlangsung, para pelajar telah bertanya pelbagai soalan berkaitan pelaksanaan Program ADN muda yang merupakan sebahagian daripada usaha Reformasi Dewan Negeri Selangor.

Program diakhiri dengan sesi lawatan ke Bangunan Dewan Negeri Selangor yang terdiri daripada Galeri dan Chamber di mana Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor bersidang.