Shah Alam: Selangor berhasrat mengusulkan penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor berikutan jumlah pengundi di beberapa Dun negeri itu yang kini mencecahkan lebih 100,000 orang.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penambahan kerusi Dun itu akan diusulkan dalam sesi Persidangan Dun Selangor akan datang.
“Setakat ini (kawasan) yang ada lebih 75,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabungkan atau jadikan dua atau tiga (kerusi). Ada (kawasan) yang jejak lebih 100,000 dengan paling banyak Dun Kinrara.
“Setakat ini (Dun) ada lebih 70,000 pengundi akan menjadi tumpuan dan mungkin kita gabung, jadikan dua atau tiga (kerusi)..ada Dun yang mencecah lebih 100,000 pengundi, paling ramai (Dun) Kinrara iaitu 118,000 pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan Persidangan Dun Selangor oleh Speaker Dun Selangor Ng Suee Lim di lobi Dewan Annex SUK sini, hari ini.
Justeru itu, Amirudin berkata, satu taklimat berhubung perkara itu bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Mac ini yang turut membabitkan semua Adun di Selangor.
“Daripada taklimat itu, kita akan dapat maklumat yang lebih lanjut dari SPR.
Satu jawatankuasa bersama SPR dan kerajaan negeri akan lihat cadangan kedua-dua pihak (kerajaan negeri dan SPR).
“Apabila selesai dan dimuktamadkan, kita akan bawa ke sidang DUN Selangor. Kita perlukan dua per tiga majoriti, selepas lulus baru bawa ke Dewan Rakyat (Parlimen),” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan usul pertambahan kerusi Dun itu sebagai persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) namun bergantung pada tempoh masa yang diambil bagi proses itu.
“(Tambah kerusi) kena ada persefahaman sebab bukan mudah-mudah boleh tambah kerusi. Proses ini akan mengambil masa sedikit tetapi harapan kita ia dapat dilaksanakan.
“Semua bergantung kepada perbincangan dengan SPR sebab kita hendak meletakkan satu tahap jumlah kerusi yang boleh diterima, mungkin 40,000 hingga 50,000 pengundi (setiap Dun).
“Bukan mudah melakukan perkara itu kerana kita kena juga lihat kesan gaji Adun, elaun, pencen..ini semua akan mendapat pertimbangan sebab itu secara realistik kita boleh buat sekitar dalam tempoh tiga bulan paling awal,” katanya.
Terdahulu, ketika ucapan penangguhan Amirudin menyenaraikan Dun Selangor yang dijangka mengalami perubahan antaranya Batang Kali; Gombak Setia; Teratai; Semenyih; Kajang; Balakong; Sungai Ramal; Seri Serdang; Kinrara, Subang Jaya; Seri Setia; Bukit Lanjan; Kota Damansara; Kota Anggerik; Bandar Baru Klang; Pandamaran; Sentosa; Sungai Kandis; Kota Kemuning; serta Dengkil.
“Seramai 3.66 juta pengundi berdaftar di Selangor pada hari ini dan melihat pertambahan pengundi pada tiga bulan dengan perkadaran pendaftaran automatik seramai lebih 89,000.
“Ini bermakna dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, jumlah pengundi di Selangor akan mencecah kira-kira 4.6 juta ataupun ke 5 juta,” katanya.
Sidang Dun Selangor ditangguhkan ke satu masa yang akan dimaklumkan kelak.
[Selangorkini] Sidang dewan negeri lancar, berjaya rungkai pelbagai isu
Shah Alam, 21 Mac: Pelbagai isu berjaya dirungkai sepanjang seminggu persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 sejak 14 Mac lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut memuji ahli EXCO yang berjaya menjawab pertanyaan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dengan berkesan.
“Alhamdulillah, sesi dewan berlangsung dengan baik. Kita dapat berbahas dan banyak isu dapat dijelaskan antaranya banjir, pembinaan rumah, isu sosial seperti pengangguran serta pekerjaan,” katanya.
Persidangan DNS yang disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Bangunan Annex, tamat empat hari lebih awal berbanding dua minggu yang dijadualkan.
Isu lain yang dibahaskan termasuk belanjawan negeri dan persediaan menghadapi fasa endemik.
Pada 18 Mac, DNS meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tambahan 2022 selepas bacaan kali ketiga setelah mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri.
Sumber: https://selangorkini.my/2022/03/sidang-dewan-negeri-lancar-berjaya-rungkai-pelbagai-isu/
[astroawani] DUN Selangor lulus peruntukan tambahan RM160 juta

[Selangorkini] MB: Tidak bubar DUN dalam masa terdekat, Selangor terus bertekad penuhi mandat

Shah Alam, 16 Mac: Selangor tidak bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika pilihan raya umum (PRU) diadakan mengejut dalam masa terdekat.
Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu dicapai bersama menteri besar dan ketua menteri tiga negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sepakat membubarkan DUN apabila akhir penggal.
“Kita sepakat adalah lebih baik dan berkesan jika pentadbiran ini (Selangor) diselesaikan sampai penggal terakhir, maknanya April atau Mei tahun depan.
“(Pembubaran DUN) itu bukannya pengumuman daripada saya sahaja, (tetapi) juga perlu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
“Usaha untuk tidak membubarkan (DUN) adalah atas cadangan (beberapa) menteri besar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di luar persidangan DUN ini.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis pelancaran Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
Selain memenuhi mandat dan khidmat kepada rakyat, Amirudin berkata PRU tidak wajar diadakan dalam masa terdekat kerana pelbagai perancangan Kerajaan Negeri masih dalam proses pelaksanaan.
“Kita yakin dalam tempoh dua tahun bertarung dengan Covid-19, pertarungan itu menyebabkan beberapa agenda atau usaha bantu rakyat contohnya Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM) yang diumumkan menjadi tergendala.
“Malah, program Bingkas (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor) juga baru mahu dilancarkan. Jadi, hal ini tidak wajar untuk buat sekarang, mungkin ada pihak tidak sabar untuk PRU dan dapat kuasa,” katanya.
[astroawani] Banjir Lembah Klang: Sultan Selangor zahir ucapan terima kasih
Shah Alam, 14 Mac: DYMM Sultan Selangor zahir ucapan terima kasih kepada 20,000 petugas yang membantu sepanjang operasi banjir.
[Selangorkini] Sultan titah perkasa latihan teknikal, negeri peneraju lahir pekerja mahir

Shah Alam, 14 Mac: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan dengan langkah menjadikan sektor pendidikan sebagai satu daripada agenda utama negeri.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah inisiatif perlu dilaksanakan secara kerjasama merentas fahaman politik, agama dan bangsa.
“Bantuan pendidikan, biasiswa dan pinjaman sedia ada khususnya untuk anak Selangor wajar diteruskan dan diperkasa melibatkan penglibatan jabatan, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri.
“Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) juga perlu diperluaskan supaya Selangor menjadi negeri peneraju melahirkan pekerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri berteknologi,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di sini hari ini.
Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM78 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menjayakan program pendidikan demi hala tuju masa depan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.
Selain itu Kerajaan Negeri turut memperuntuk sebanyak RM9 juta menerusi pinjaman boleh ubah yang dikhaskan kepada anak Selangor melanjutkan pelajaran tahun ini.
[Selangorkini] DNS: Dua ADN antara positif Covid-19, bergejala tidak digalak hadir
Shah Alam, 14 Mac: Dua Ahli Dewan Negeri (ADN) antara 11 individu dijangkiti Covid-19 sekali gus tidak dapat menyertai persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Speaker Ng Suee Lim berkata ADN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan ADN Gombak Setia Hilman Idham dikesan positif wabak selepas menjalani saringan Sabtu lalu.
“Mereka kini menjalani kuarantin di rumah,” katanya menambah ujian melibatkan 248 individu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Ditemui pada istiadat pembukaan sidang Dewan hari ini, beliau berkata individu bergejala tidak digalakkan hadir dan perlu membuat ujian pantas antigen (RTK-Ag) di rumah.
Sementara itu, Suee Lim berkata perasmian persidangan hari ini berjalan lancar dan berlangsung ringkas susulan kebimbangan penularan Omicron.
“Persidangan esok bermula jam 10 pagi dan perbahasan titah Sultan Selangor diadakan selama dua hari dan dijangka penggulungan pihak kerajaan pada Khamis,” katanya.
Pagi tadi, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan istiadat pembukaan diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Sumber: https://selangorkini.my/2022/03/dns-dua-adn-antara-positif-covid-19-bergejala-tidak-digalak-hadir/
[Selangorkini] Speaker: Junjung titah sultan fokus isu rakyat, kurangkan politik

Shah Alam, 14 Mac: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat menumpukan isu di kawasan masing-masing serta mengurangkan bicara politik selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.
Ng Suee Lim berkata beliau memandang serius titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan wakil rakyat supaya menumpukan usaha dan tanggungjawab dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Sebagai speaker, saya mengingatkan wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang menjunjung kasih titah tuanku dengan memfokus kawasan masing-masing dalam memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat terpelihara.
“Sekiranya terlalu berpolitik dan bercakap isu parti, akhirnya kepentingan rakyat diabaikan. Rakyat ketika ini mengharap bantuan dan keprihatinan wakil rakyat kerana berada dalam keadaan ekonomi mencabar,” katanya.
Beliau ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima DNS ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.
Terdahulu, baginda bertitah dalam istiadat pembukaan DNS mengingatkan wakil rakyat menumpukan usaha dan tanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing seterusnya dapat membangunkan ekonomi serta memakmurkan negeri.
Tuanku mengingatkan wakil rakyat tidak menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat.
Sultan Selangor turut bertitah wakil rakyat dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat.
Sumber: https://selangorkini.my/2022/03/speaker-junjung-titah-sultan-fokus-isu-rakyat-kurangkan-politik/
[Selangorkini] Wakil rakyat Permatang agih alat tulis untuk 387 calon SPM
Shah Alam, 25 Feb: Sebanyak 387 set alat tulis diserahkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang hari ini.
Wakil rakyatnya berkata pemberian melibatkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, SMK Agama Kuala Selangor dan SMK Pengkalan Permatang.
“Sumbangan diberi kepada pengetua serta wakil tanpa bertemu dengan calon SPM bagi menjaga tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini.
“Saya doakan semua calon dapat menjawab dengan lancar, jelas, betul serta tepat,” kata Rozana Zainal Abidin menerusi Facebook hari ini.
Peperiksaan SPM 2021 dijadualkan bermula 2 Mac ini dan berakhir pada 29 Mac.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata susulan jangkitan Covid-19 yang tinggi ketika ini peperiksaan akan berjalan dengan pematuhan SOP.
Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/wakil-rakyat-permatang-agih-alat-tulis-untuk-387-calon-spm/
[Selangorkini] Warga emas rosak saraf kaki, tidur luar kedai dobi dibantu ADN Kampung Tunku
Shah Alam, 24 Feb: Nasib seorang warga emas yang hidup dalam kedaifan hingga terpaksa tidur di luar kedai dobi di SS2 Petaling Jaya mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku.
Menurut Lim Yi Wei, gelandangan berusia 62 tahun itu dibawa ke Rumah Orang-Orang Tua Seri Setia di Kampung Baru Sungai Way kelmarin supaya mendapat penjagaan rapi.
Beliau berkata warga emas itu turut dibawa membuat saringan ujian pantas antigen (RTK) dan polimerase masa nyata (PCR) sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami juga mendapati beliau mengalami kerosakan saraf pada kaki menyebabkan pergerakannya tersentak-sentak dan tidak stabil. Kami menyewa sebuah bilik di hotel bajet untuknya.
“Selepas disahkan negatif Covid-19, kami membawanya pula untuk menjalani ujian darah dan air kencing,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Yi Wei menambah lelaki terbabit kemudian dibawa ke pusat pemberian vaksin di Paradigm Mall bagi mendapatkan suntikan dos penggalak.
“Semasa memapah pakcik ke klinik dan lokasi-lokasi lain, saya terkenang mendiang datuk dan nenek saya. Semoga pakcik hidup lebih baik bawah penjagaan warga Sungai Way,” katanya.