[Utusan Malaysia] Pertanian Selangor naik 3 peratus sejak 2015 walaupun ketika pandemik

Shah Alam: Industri pertanian di negeri ini meningkat pada kadar tiga peratus setahun bagi tempoh 2015 hingga 2020, malah marginal pada 2020 dilapor berlaku peningkatan kepada RM4.72 bilion berbanding RM4.71 bilion pada 2019 walaupun negara dihambat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan tersebut didukung komitmen kerajaan negeri selepas memberikan peruntukan khusus sejak Belanjawan Selangor 2021 termasuk inisiatif tanaman nilai tinggi dan penggunaan Internet Kebendaan (IoT).

“Komitmen tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM24.6 juta.

“Kerajaan negeri juga akan melancarkan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) yang bertindak sebagai koridor pembangunan ekonomi dengan meliputi kawasan seluas 27,960 hektar di sekitar Sungai Klang berserta anggaran pelaburan sebanyak RM2.2 bilion,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Selangor Pertama (RS1) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu, menerusi RS1 kerajaan negeri mengenal pasti sembilan sektor tumpuan berdasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berpotensi melonjakkan kedudukan ekonomi Selangor sebagai ‘economic powerhouse‘ di samping menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Jelas Amirudin, usaha itu secara tidak langsung dapat memperkukuh status Selangor sebagai pusat pembangunan ekonomi dan destinasi utama untuk pelaburan strategik di negara ini dan di rantau Asia.

“RS-1 mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah yang merupakan tambahan kepada sembilan sektor tumpuan tersebut.

“Pelan Pembangunan Wilayah ini termasuk Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG),” jelasnya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/pertanian-selangor-naik-3-peratus-sejak-2015-walaupun-ketika-pandemik/

[Bernama] Pesakit kanser di Selangor boleh mohon pembiayaan sehingga RM5,000

 
Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan hari ini bahawa pesakit kanser di negeri itu boleh mendapatkan bantuan pembiayaan rawatan sehingga RM5,000 menerusi program Bantuan Sihat Selangor (BSS).
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembiayaan itu juga termasuk pembedahan dengan had jumlah pembiayaan RM5,000 bagi setiap kali permohonan.
“Inisiatif adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan rawatan perubatan yang cepat dan berkualiti. Individu yang memenuhi syarat kelayakan boleh mengemukakan permohonan dengan melayari laman sesawang http://bantuansihat.selangor.gov.my,” katanya ketika menjawab pertanyaan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) berhubung bantuan kewangan bagi pesakit kanser, di Persidangan DUN Selangor hari ini.
 
Mohd Zawawi menjawab soalan itu sebagai mewakili Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud.
 
Antara syarat kelayakan bagi mendapatkan bantuan pembiayaan BSS adalah pemohon lahir di negeri ini atau bermastautin melebihi 10 tahun; pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000; perlu mengemukakan salinan surat kelulusan Bantuan Sara Hidup (BSH) dari Kementerian Kewangan Malaysia. -Bernama
 
 

[Bernama] PJD Link: Laporan pemaju akan diteliti sebelum kelulusan tanah diberikan – MB Selangor

 
Shah Alam, 27 Julai (Bernama): Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan hari ini bahawa laporan pemaju akan diteliti secara menyeluruh sebelum kelulusan tanah diberikan bagi pembinaan projek Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway (PJD Link) dilaksanakan.
 
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sekiranya penilaian meliputi pelbagai aspek itu telah dilaksanakan, pihak pemaju sekali lagi perlu membuat pendengaran awam sebelum kelulusan tanah diberikan.
Beliau berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan yang menjadi syarat kepada pihak pemaju seperti dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani pada 5 April lepas.
 
“Mereka (pemaju projek PJD Link) janji untuk mengatasi kesemua komen serta bantahan penduduk ketika projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) ditawarkan. KIDEX kita dah tolak, jadi mereka kata PJD Link akan memperbaiki semua (segala isu berbangkit berhubung KIDEX).
 
“Sebagai kerajaan yang adil, kita dengar. Setakat ini pihak kerajaan tidak dengar lagi apakah pembaikan itu. Kalau pemaju tak dapat perbaiki semua, penjelasan tidak memuaskan hati, kerajaan negeri tidak ada masalah untuk tidak benarkan (projek PJD Link) dibangunkan semula,” katanya.
 
Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ronnie Liu Tian Khiew (PH-Sungai Pelek) yang ingin tahu pendirian kerajaan negeri berhubung projek PJD Link.
 
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim memaklumkan perjanjian konsesi yang telah ditandatangani antara pihak PJD Link dengan kerajaan Persekutuan pada 5 April lepas telahmeletakkan syarat duluan.
 
Katanya syarat tersebut ialah pihak syarikat perlu melaksanakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) terlebih dahulu sebelumperjanjian ini menjadi efektif dan projek tersebut dimulakan.
 
Menurutnya cadangan PJD Link ini masih belum boleh dimuktamadkan di peringkat negeri kerana sehingga kini masih tiada kajian EIA, SIA dan TIA dilaksanakan oleh PJD Link, dan ia perludibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) serta disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) termasuk penyelesaian perihal tanah. – BERNAMA
 

[Selangorkini] Siaran langsung pelan majukan ekonomi di SelangorTV petang ini

Shah Alam, 27 Julai: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bagi memperkasa ekonomi yang dibentang jam 3.30 petang ini boleh ditonton secara langsung menerusi SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Dipancarkan dari sidang Dewan Negeri Selangor, pembentangan pelan lima tahun dari 2021-2025 turut dilaporkan portal Selangor Journal dan Selangorkini termasuk edisi Mandarin dan Tamil.

Pembentangan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga disiarkan di Facebook rasminya selain butiran penting itu diterbitkan dalam akhbar mingguan Selangorkini edisi 28 Julai-3 Ogos.

Sebelumnya, Amirudin menjelaskan RS-1 berfungsi membina daya tahan kukuh bagi mendepani cabaran masa depan dalam persekitaran yang kian kompleks.

Kerangka pembentukan Rancangan Selangor Satu meliputi pertumbuhan ekonomi yang menyelaras strategi pelaburan dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

Rancangan itu melalui empat fasa utama melibatkan penjajaran visi, kerangka dan sasaran (pertama) sementara fasa dua merangkumi perincian diagnosis dan pembangunan kandungan.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan perincian dan penentuan keutamaan program sementara fasa empat pula merangkumi sesi validasi dan pemuktamadan laporan.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/07/siaran-langsung-pelan-majukan-ekonomi-di-selangortv-petang-ini/

[Harian Metro] Caj, denda jika pemaju gagal bina Rumah SelangorKu

Shah Alam: Caj bayaran baharu atau denda perlu dikenakan terhadap pemaju yang gagal membina Rumah SelangorKu walaupun projek berkenaan sudah mendapat kelulusan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata terdapat keperluan menguatkuasakan undang-undang berkenaan demi membantu penduduk negeri ini memiliki kediaman masing-masing.

“Ada pemaju dapat kelulusan tapi masih tak bina. Ini memberi kesan kepada bekalan rumah, jadi mungkin kita perlu kenakan caj baharu kepada mereka.

“Saya rasa sudah sampai masa untuk kerajaan negeri meletakkan syarat baharu kerana ada projek rumah yang sudah dapat kelulusan tetapi 10, 20 tahun masih tidak bina. Justeru perlu dikenakan caj untuk mempercepatkan pelaksanaan (pembinaan),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) mengenai rumah mampu milik.

Dalam pada itu, Rodziah memaklumkan bagi tahun ini (sehingga 1 Julai), kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan 4,818 unit rumah mampu milik dari 10 projek.

Katanya, kesemua unit berkenaan membabitkan tiga skim bantuan perumahan kerajaan negeri iaitu Rumah Selangorku, Rumah Harapan serta Rumah Idaman.

“Kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan meluluskan beberapa permohonan pihak pemaju (bagi pembinaan perumahan) setiap tiga bulan dan beberapa perkara diteliti sebelum kelulusan diberikan termasuk pembinaan rumah mampu milik.

“Kelulusan ada dua peringkat iaitu di peringkat jawatankuasa yang mana sudah banyak kita luluskan tapi masih perlu diangkat ke peringkat MMKN untuk kelulusan selepas dilihat dalam konteks teknikal,” katanya.

Beliau berkata, tiga program rumah mampu milik itu dilaksanakan Dengkil; Klang; Gombak; Sepang dan Hulu Langat.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/07/865224/caj-denda-jika-pemaju-gagal-bina-rumah-selangorku

[Utusan Malaysia] Sidang DUN Selangor: Sekuriti makanan Selangor masih rendah

Shah Alam: Sekuriti makanan di negeri ini berada pada tahap rendah, dilihat menerusi pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran dan daging yang masih lagi di bawah 10 peratus.

Perkara itu diakui kerajaan negeri apabila pengeluaran bahan makanan seperti daging lembu dan kambing serta sayur-sayuran seperti halia dan cili masing-masing berada pada tahap 3.8 hingga 9.1 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pihaknya akan melakukan kajian bagi mengurangkan kos pengeluaran seperti kos makanan untuk meningkatkan pengeluaran dan dalam masa sama membolehkan penternak peroleh keuntungan tinggi.

“Melalui indikator ini, kadar sara diri negeri ini masih rendah. Justeru, beberapa langkah sedang diambil. Kita juga akan meningkatkan pengeluaran biji benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berhubung langkah kerajaan negeri dalam memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Izham menambah, kerajaan negeri mengaplikasikan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) merangkumi lima dasar utama, antaranya pengenalan Smart Selangor Agro Park (SSAP) dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF).

Dalam pada itu beliau yang juga ADUN Pandan Indah memaklumkan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal membangunkan projek ternakan ayam daging di Ulu Bernam, Hulu Selangor dalam masa terdekat.

Menurutnya, pembinaan projek itu dapat meningkatkan pengeluaran ayam sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran.

“Satu kitaran tuaian adalah selama 35 hari dan dalam setahun, projek ini mampu menuai ayam sebanyak enam kali pusingan. (Sekiranya dibangunkan), jumlah pengeluaran ayam oleh PKPS dapat meningkat sebanyak 800,000 ekor, berbanding 500,000 ekor sebelum ini pada setiap kitaran,” katanya. – UTUSAN

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/sidang-dun-sekuriti-makanan-selangor-masih-rendah/

[Sinar Harian] Bentang RUU benar prosiding Mahkamah Syariah menerusi jarak jauh

Shah Alam – Kerajaan negeri membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang membentangkan enakmen itu berkata, pindaan tersebut dibuat bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh.

Menurutnya, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) ketika ini menghadapi kekangan prosiding mahkamah secara fizikal disebabkan penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kes tertangguh.

“Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dan Tatacara Mal tidak memperuntukkan secara khusus berhubung kuasa Mahkamah Syariah untuk jalankan prosiding termasuk perbicaraan, sebutan, pengurusan kes, majlis sulh, pentadbiran, wakalah dan afidavit teknologi jarak jauh.

“Oleh demikian, pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi dalam persidangan DUN Selangor berkata, pindaan RUU itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bersidang pada 25 Januari lalu untuk dipersembah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambahnya, RUU dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April selaras dengan Subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Baginda bersetuju dan berkenan RUU itu dibentang dalam sidang DUN Selangor pada kali ini.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/213020/EDISI/Bentang-RUU-benar-prosiding-Mahkamah-Syariah-menerusi-jarak-jauh

[Bernama] DUN Selangor lulus RUU prosiding Mahkamah Syariah diadakan dalam talian

 
Shah Alam: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan dua pindaan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan pentadbiran agama Islam bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes secara teknologi komunikasi jarak jauh.
 
RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor)(Pindaan) 2022 dan RUU Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022, dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Mohd Zawawi pada sidang media berkata dengan kelulusan tersebut kes-kes terdahulu yang dilakukan secara dalam talian di Mahkamah Syariah di Selangor adalah diperakui sah.
 
“Kalau dilihat jumlah kes yang dibicarakan mahkamah di semua daerah secara dalam talian dari 2020 hingga Julai 2022 berjumlah 1,740 kes manakala wakalah dalam talian (1,184 kes); pentadbiran afidavit dalam talian (659 kes) dan kes sulh dalam talian (150 kes).
 
“Alhamdulillah, hari ini dewan telah mendapat kelulusan untuk pindaan ini dan kalau sekiranya tidak diluluskan kesemua kes ini akan terbatal dan terpaksa diulang semula, hari ini kedua-dua pindaan ini telah diluluskan untuk diwartakan dalam Undang-undang Enakmen Negeri Selangor, ” katanya sambil menambah pindaan tersebut berkuat kuasa pada 17 April 2020.
 
Beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang meluluskan pewartaan bagi RUU berkenaan.
Terdahulu, Mohd Zawawi ketika membentangkan enakmen itu memaklumkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) menghadapi kekangan dalam menjalankan prosiding mahkamah secarafizikal ekoran wabak pandemik COVID-19 sejak 2020.
 
“Penularan wabak pandemik COVID-19 ini juga menyebabkan prosiding kes di JAKESS tertangguh yang secara tidak langsung menyebabkan kes tertunggak di Mahkamah Syariah. Pihak JAKESS telah mengambil inisiatif menjalankan prosiding secara dalam talian pada 17 April 2020 bagi mengatasi isu penangguhan kes terutamanya semasa penularan wabak pandemik COVID-19.
 
“Bagaimanapun, terdapat lakuna di dalam peruntukan undang-undang sedia ada berhubung dengan kuasa Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding melalui teknologi jarak jauh,” katanya.
 
Oleh yang demikian, katanya JAKESS mencadangkan pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes secara teknologi komunikasi jarak jauh. – BERNAMA
 

[Selangorkini] Rancangan Selangor Satu dibentang Isnin, rakyat diajak ikuti penerangan MB

Petaling Jaya, 20 Julai: Rakyat diseru mengikuti penerangan Dato’ Menteri Besar berkenaan Rancangan Selangor Satu (RS-1) pada Isnin ini bagi mengetahui agenda kebajikan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pembentangan pada hari pertama Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) merupakan tindakan pembangunan Kerajaan Selangor selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

“Sudah pelbagai progran dan insentif dirancang, jadi sekarang tibalah masa untuk tindakan dibuat. Kita kena mulakan apa yang dirancang termasuk mengambil kira pandangan rakyat.

“RS-1 merupakan tindakan yang baik, jadi rakyat kena dengar semua penerangan pada Isnin ini,” katanya selepas meninjau projek penggantian pembentung di Bandar Puchong Jaya, di sini, semalam.

Pelan bersandarkan keperluan sosiekonomi rakyat sebagai agenda penting, Kerajaan Negeri mengambil kira aspek pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

“Pembangunan dokumen RS-1 dibuat secara komprehensif dan terangkum, bersifat ‘living document’ yang mampu menangani cabaran baharu,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Julai.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

Liputan berita pembentangan pelan tersebut boleh dibaca melalui akhbar dan portal Selangorkini serta tiga edisi lain, termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Ia juga bakal disiarkan secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/07/rancangan-selangor-satu-dibentang-isnin-rakyat-diajak-ikuti-penerangan-mb/

[Selangorkini] Hala tuju lima tahun negeri dibentang, pembangunan lebih rancak, teratur

Klang, 1 Julai: Perancangan negeri bagi tempoh lima tahun bakal dibentangkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung pada hujung bulan ini.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Kim berkata persidangan kali ini penting kerana melibatkan perancangan pembangunan yang memberi impak kepada semua khususnya rakyat Selangor.

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentangkan perancangan negeri membabitkan pembangunan yang lebih rancak dan teratur.

“Kandungannya amat menarik yang mana beliau akan membentangkan kawasan pembangunan baharu termasuk projek-projek bertaraf antarabangsa,” katanya pada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas ditemui mengedar kupon haiwan korban kepada  21 surau yang terlibat bagi ibadah korban di Madrasah Darissalmiah di sini, hari ini.

Mesyuarat kedua penggal kelima DNS yang ke-14 tahun 2022 dijangka berlangsung pada 25 Julai hingga 5 Ogos 2022.

Pada 8 Mei, Amirudin berkata Rancangan Selangor Satu dirangka bagi menjayakan agenda sosioekonomi rakyat berasaskan kerajaan penyayang yang berkesan dan berwibawa.

Beliau menjelaskan pelan komprehensif lima tahun itu penting berdasarkan pengalaman Kerajaan Negeri menangani pandemik yang menjejaskan pelbagai sektor.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/07/hala-tuju-lima-tahun-negeri-dibentang-pembangunan-lebih-rancak-teratur/