[Selangorkini] Wakil rakyat harap belanjawan negeri tambah peruntukan kesihatan mental

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei ketika Sidang Media Kerjasama Kumpool dan DUN Kampung Tunku di Restoran Station 8, Petaling Jaya pada 9 Mei 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Petaling Jaya, 12 Okt: Belanjawan Selangor 2023 diharap dapat menambah peruntukan untuk kesihatan mental selain mengekalkan bantuan sedia ada, kata Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku.

Lim Yi Wei berkata isu kesihatan mental individu adalah antara yang perlu diberi perhatian dalam membantu masyarakat.

“Penjagaan kesihatan mental amat penting terutama ketika masyarakat kini berdepan dengan pasca pandemik Covid-19 yang bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

“Mungkin Kerajaan Negeri boleh menambah baik bantuan kesihatan mental dengan memberi subsidi pada sesi pertama bantuan pakar dan ubat-ubatan di klinik selcare,” katanya dalam sidang media Kejohanan Ragbi Wanita Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2022 (Piala ADN Kampung Tunku) hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan Kerajaan Negeri tidak mengabaikan masalah itu dengan menyediakan bantuan kaunselor secara percuma menerusi inisiatif talian Selangor Mental Sihat (Sehat).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan disediakan bagi memberi sokongan secara tidak langsung kerana isu kesihatan mental tidak wajar dipandang ringan.

Inisiatif Sehat dalam aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) merupakan usaha terbaru Kerajaan Negeri untuk membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.

Kaunselor Sehat boleh dihubungi di talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537, aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau layari http://www.drsitimariah.com/sehat.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/10/wakil-rakyat-harap-belanjawan-negeri-tambah-peruntukan-kesihatan-mental/

[Selangorkini] Ringan beban bakal pengantin, DUN Seri Setia anjur program kahwin perdana

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar berucap ketika program Mesra Rakyat DUN Seri Setia di Padang Bola SS5, Petaling Jaya pada 28 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Petaling Jaya, 28 Ogos:  Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia bercadang menganjurkan program kahwin perdana.

Ahli Dewan Negeri Halimey Abu Bakar berkata program yang  dirangka pada tahun ini bertujuan membantu golongan muda yang kurang berkemampuan mengadakan majlis perkahwinan.

“Kita akan cuba kumpulkan golongan ini pada satu majlis yang pastinya ia terbuka kepada mereka yang pertama kali berkahwin.

“Kita mahu membantu bakal-bakal pengantin di Seri Setia ini kerana ketika ini kos semakin mahal. Kita akan sediakan jurunikah, pelamin dan tempat makan. Butiran lanjut mengenainya akan dimaklumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Mesra Rakyat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) DUN Seri Setia di SS5 Kelana Jaya di sini, hari ini.

Halimey berkata selain itu program khatan perdana dan bantuan jom ke sekolah juga akan diadakan pada tahun ini.

“Kedua-dua program ini kita akan lakukan pada penghujung tahun ini di mana ia bertujuan membantu golongan yang tidak berkemampuan,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/ringan-beban-bakal-pengantin-dun-seri-setia-anjur-program-kahwin-perdana/

[Selangorkini] Hampir 700 penduduk DUN Batu Tiga terima bantuan bulanan RM300

Shah Alam, 21 Ogos: Seramai 670 penduduk Dewan Undangan Negeri Batu Tiga menerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) berjumlah RM3,600 setahun untuk setiap penerima.

Wakil rakyatnya Rodziah Ismail berkata semua penerima merupakan golongan berpendapatan rendah yang memiliki ramai tanggungan termasuk anak bersekolah.

“Kita sedang memohon, jika ada lebihan berikan kepada Batu Tiga memandangkan sosio ekonomi majoriti penduduk adalah kategori sederhana dan rendah.

“Mereka perlukan bantuan ini. Kita minta mereka yang sudah memohon supaya bersabar dan berharap jumlah penerima akan bertambah,” katanya ditemui di program Selangor Saring di Seksyen 24 di sini hari ini.

Bingkas dilancarkan pada akhir Jun menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.

Program yang merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang itu membolehkan penerima mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

_________________________

Keterangan Gambar: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Rodziah Ismail berucap ketika program Selangor Saring DUN Batu Tiga di Dewan Heritier, Shah Alam pada 21 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/hampir-700-penduduk-dun-batu-tiga-terima-bantuan-bulanan-rm300/

[Selangorkini] Lebih 500 hadir saringan kesihatan percuma DUN Kota Anggerik

Shah Alam, 14 Ogos: Lebih 500 individu hadir pemeriksaan kesihatan percuma pada program Selangor Saring di Dewan Rafflesia MBSA, Taman Bukit Subang, dekat sini hari ini.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi berkata sambutan memberangsangkan dan masyarakat juga sudah mula sedar untuk membuat pemeriksaan kesihatan mereka.

“Saya harap penduduk di negeri ini manfaatkan masa mereka hadir sekejap ke program Selangor Saring ini walau di mana sahaja.

“Program ini tanda keprihatinan negeri kepada rakyat kerana ia bukan sahaja percuma tetapi kita dapat mengesan awal penyakit dialami,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan program itu yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program hingga 4 September menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Program sama itu juga bakal diadakan di Kompleks 3K Subang Jaya (DUN Subang Jaya) pada 28 Ogos ini.

——————————————————–

Gambar Paparan: Orang ramai yang hadir pada program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Dewan Rafflesia MBSA, Taman Bukit Subang pada 14 Ogos 2022. Foto Halim Abdul Rahman/SelangorTV

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/lebih-500-hadir-saringan-kesihatan-percuma-dun-kota-anggerik/

[Selangorkini] MB tepis tanggapan raih undi PRU-15, RS-1 lanjutan inisiatif pemimpin terdahulu

Shah Alam, 6 Ogos: Dato’ Menteri Besar menepis tanggapan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dibentang minggu lalu bertujuan meraih undi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Sebaliknya Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pelan pembangunan lima tahun negeri itu sepatutnya dibentang akhir 2020, namun terpaksa ditunda ke tahun ini susulan situasi semasa pandemik Covid-19.

“Kita telah mulakan (rangka RS-1) pada 2020 tetapi pandemik dan kita terpaksa sesuaikan tindakan serta selesaikan kesan yang berlaku. Jadi sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi Julai masa terbaik untuk bentang kerana sudah agak lapang.

“Saya terserah kepada persepsi yang ingin dibina, kita bukan hanya berpandangan singkat untuk menuju PRU…memberi gambaran yang memetik dari langit, tetapi memberi petunjuk dengan angka dan trend selain menyambung gugusan diilhamkan sejak 2008,” katanya.

Bercakap dalam bicara Bernama TV malam tadi, beliau turut menjelaskan rancangan terbabit adalah kesinambungan daripada inisiatif dan program diilhamkan pemimpin negeri terdahulu.

“Saya sambung tugas Menteri Besar sebelum ini. Sebahagian projek seperti pembangunan semula Sungai Klang dan Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) selain memperluas program Selangor Negeri Pintar menjelang 2025.

“Ini (RS-1) bukan impian Amirudin Shari sahaja, tetapi rebakan serta sambungan daripada apa yang terlahir sebelum ini. Saya yakin ia satu dokumen jujur dan rakyat ketika ini tahu apa Kerajaan Negeri mahu buat dalam tempoh lima tahun lagi.

“Terpulang kepada siapa gantikan (Menteri Besar) selepas ini pada tahap tertentu, insya-Allah dengan mandat yang ada dan berakhir tahun depan, kita akan memulakan satu platform kukuh untuk pembangunan negeri secara menyeluruh,” katanya lagi.

RS-1 dibentangkan Amirudin pada 27 Julai membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM212.44 bilion, dengan RM92.44 bilion disalur kepada projek pembangunan termasuk pelaksanaan beberapa insentif bagi menjamin kebajikan rakyat.

Tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan serta memberi kesan kepada Selangor, pelan memacu pembangunan negeri mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Selangor dan persekutuan.

Selain itu, ia dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.

_____________________________________________________________

Gambar Paparan (atas): Wakil rakyat Kapayan Jannie Lasimbang (kanan) mengetuai Delegasi Latihan Kepimpinan Wanita Sabah anjuran PACOS Trust melihat pameran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) di luar Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

_____________________________________________________________

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/mb-tepis-tanggapan-raih-undi-pru-15-rs-1-lanjutan-inisiatif-pemimpin-terdahulu/

[Selangorkini] Sidang dewan negeri lancar, 28 wakil rakyat sertai perbahasan

Shah Alam, 3 Ogos: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang berlangsung dari 25 Julai hingga semalam berjalan lancar melalui penyertaan 28 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang dalam sesi perbahasan.

Speaker berkata ramai Ahli Dewan Negeri (ADN) mengambil bahagian dalam perbahasan usul Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menekankan hala tuju negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ng Suee Lim memaklumkan tujuh EXCO termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat penggulungan RS-1 yang dibahas selama tiga hari sejak Khamis.

“Persidangan kali ini agak panjang berbanding sebelum ini memandangkan ada urusan penting iaitu pelan tersebut yang perlu dibentang. Biasanya sidang pertengahan penggal hanya mengambil masa empat hari.

“ADN juga sangat aktif kerana biasanya satu usul dibahas lima atau enam orang, tetapi disebabkan RS-1 tidak pernah dibentangkan maka mereka mahu jadi sebahagian daripada sejarah,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui timbul beberapa isu pada persidangan kali ini berikutan ada wakil rakyat yang gagal mematuhi peraturan tetap, namun berjaya dikawal serta tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Persidangan juga sedikit terganggu kerana lima individu positif Covid-19 membabitkan EXCO dan ADN. Di akhir dewan saya sempat menasihatkan ADN lain supaya menjaga diri memandangkan virus masih di sekeliling,” katanya.

Terdahulu, Suee Lim mengumumkan kelulusan usul RS-1 bagi tempoh lima tahun mulai 2021-2025 setelah mendapat persetujuan ADN.

Rancangan memacu negeri dibentang Amirudin mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan tanpa mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

———————————————————————————

Gambar Paparan: Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 25 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/sidang-dewan-negeri-lancar-28-wakil-rakyat-sertai-perbahasan/

[Selangorkini] Penjara, denda RM50,000 cemar alam sekitar dimuatkan dalam RS-1

Shah Alam, 3 Ogos: Denda antara RM10,000 hingga RM50,000 dan penjara tidak lebih setahun bakal dikuatkuasakan terhadap individu yang melakukan jenayah alam sekitar.

Menurut EXCO alam sekitar, pihak perundangan sedang meneliti draf enakmen itu secara terperinci dan dalam pertimbangan untuk membawa semula kepada peringkat persekutuan.

“Sekiranya rang undang-undang pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam diluluskan, pesalah boleh dihukum dengan perintah kerja pemulihan oleh mahkamah.

“Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan sentiasa menyemak undang-undang kecil bagi memastikan perundangan sentiasa relevan dari semasa ke semasa,” kata Hee Loy Sian ketika sesi penggulungan perbahasan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) pada sidang Dewan Negeri Selangor, Isnin lalu.

Kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sisa toksik di tempat kejadian pembuangan sisa toksik di lokasi tapak perlupusan sampah haram Kampung Semarang, Dengkil pada 5 Julai 2022. Foto BERNAMA

Beliau yang mewakili EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han turut menyentuh projek sisa kepada tenaga (WTE) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat yang bakal menjana pendapatan.

Beliau berkata pembangunan oleh anak syarikat negeri Worldwide Holdings Berhad memberi dampak minimum terhadap alam sekitar dengan kaedah tersebut turut digunakan negara lain secara meluas.

RS-1 yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar pada 27 Julai mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha negeri itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Jelasnya, RS-1 juga dirancang bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.

________________________________________________

Gambar utama (atas): EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 2 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

_________________________________________________

Sumber: https://selangorkini.my/2022/08/penjara-denda-rm50000-cemar-alam-sekitar-dimuatkan-dalam-rs-1/

[Berita Harian] DUN Selangor bertafakur pemergian Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim

Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bertafakur di atas pemergian bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meninggal dunia, malam tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berdiri dan bertafakur selama satu minit sebagai tanda penghormatan atas pemergian Allahyarham Abdul Khalid memegang jawatan menteri besar dari 2008 hingga 2014.

“Sebagai penghormatan, saya memohon Dewan ini berdiri dan bertafakur selama satu minit mengikut kepercayaan agama masing-masing. Ahli Yang Berhormat di pohon berdiri. Al Fatihah,” katanya.

Allahyarham Abdul Khalid pernah berkhidmat sebagai ADUN Ijok (2008-2013) dan Pelabuhan Klang (2013-2018).

Dalam pada itu, Amirudin turut memohon sidang DUN Selangor ditangguhkan sehingga 2.30 petang bagi memberi peluang kepada ADUN yang ingin melakukan ziarah penghormatan kepada Allahyarham Abdul Khalid.

Allahyarham Abdul Khalid meninggal dunia di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur, jam 11.08 malam tadi.

Jenazah Allahyarham kini dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5 di sini bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah.

Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, jenazah Allahyarham akan disemadikan di Makam Diraja Shah Alam, Seksyen 5 di sini.

Allahyarham Abdul Khalid, 76 tahun meninggalkan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat anak serta dua cucu.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/08/982946/dun-selangor-bertafakur-pemergian-allahyarham-tan-sri-khalid-ibrahim

[Selangorkini] Pelan ekonomi negeri tangani cabaran besar dunia, tidak ketepi RMK-12

Shah Alam, 27 Julai: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu tidak mengetepikan pelan lima tahun Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang masih berjalan dan memberi kesan kepada Selangor.

Beliau menjelaskan RS-1 juga bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini antaranya Perang Rusia-Ukraine selain Perang Dingin antara China dan Amerika Syarikat.

“Tatkala kerajaan persekutuan masih dilanda pelbagai fenomena – sekejap taufan, sekejap badai, sekejap hujan renyai-renyai – ketika negara ini diselubungi ketidaktentuan, saya selaku menteri besar tidak boleh duduk diam dan pasrah tanpa berikhtiar.

“Kita mempunyai kesedaran wajib berusaha, berdoa dan bertawakal. Makanya ini adalah usaha serta ikhtiar kita bersama insya-Allah,” katanya ketika membentangkan pelan itu dalam sidang Dewan Negeri hari ini.

Menurut Amirudin, RS-1 secara dasarnya melonjak ekonomi negeri, menjamin kebajikan dan kesentosaan rakyat, meraih aliran pendapatan baharu selain menangani perubahan dan inovasi teknologi semasa.

Rancangan tersebut menggariskan 14 petunjuk makro bagi mencapai keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kualiti kehidupan rakyat.

Sasaran itu meliputi usaha mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.5 hingga 7.0 peratus setahun dan pelaburan sehingga RM35 bilion setahun.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/07/pelan-ekonomi-negeri-tangani-cabaran-besar-dunia-tidak-ketepi-rmk-12/

[Sinar Harian] Selangor perkenal SSOC hantar amaran awal bencana

 
Shah Alam: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) memperkenalkan Smart Selangor Operation Centre (SSOC) yang berupaya menghantar amaran awal bencana menjelang tahun 2025.
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kejadian banjir dan tanah runtuh di negeri ini sering berlaku disebabkan oleh pembangunan dan keadaan cuaca yang ekstrem.
 
Justeru, katanya, penambahbaikan SSOC itu diharap dapat mengurangkan risiko bencana pada masa depan.
 
“Selain penambahbaikan SSOC ini, RS-1 turut memberi tumpuan kepada pembangunan pelan tindakan pengurusan bencana yang menggariskan persediaan terhadap pengurusan bencana, tindak balas dan pemulihan dengan tumpuan kepada tadbir urus serta komunikasi efektif.
 
“Pelan penambahbaikan itu merangkumi pelaksanaan projek infrastruktur mitigasi banjir telah dikenalpasti termasuk pendalaman sungai, pembinaan dan penaiktarafan tampungan sungai dan kolam,” katanya semasa pembentangan RS-1 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Rabu.
 
Jelas beliau, perubahan iklim juga meningkatkan risiko berlakunya bencana dan ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap rantaian bekalan yang berpotensi menjejaskan ekonomi Selangor amnya.
 
Tambahnya, RS-1 juga mengambil beberapa pendekatan strategik untuk memajukan kelestarian di negeri Selangor.
“Peralihan kepada pendekatan yang lebih lestari diperlukan pada setiap masa dalam membuat keputusan bagi meningkatkan keutamaan alam sekitar yang lestari dan berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Amalan Tadbir Urus (ESG),” ujarnya.
 
Amirudin memberitahu, lima sektor tumpuan akan menyokong pembangunan kelestarian negeri telah dipilih berdasarkan keadaan alam sekitar negeri dan global, status terkini dan penyelidikan mengenai penambahbaikan yang diperlukan untuk menyelaraskan objektif tersebut dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
 
“Lima sektor tumpuan itu merangkumi daya tahan dan pengurusan bencana, pengurusan air, negeri rendah karbon, pengurusan sisa dan biodiversiti dan sumber asli,” katanya. –Sinar Harian