[Selangorkini] Sempena Tahun Baharu Cina, DUN Batu Tiga agih 400 baucar beli-belah

EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Batu Tiga di Laman Tijarah, Klang pada 1 Oktober 2022. FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Shah Alam, 7 Jan: Seramai 400 penganut Tionghoa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga layak menerima baucar Jom Shopping sempena Tahun Baharu Cina.

Wakil rakyatnya berkata permohonan baucar beli- belah itu dibuka pada 1 Disember hingga 31 Disember tahun lalu dengan kuota 400 baucar.

“Seperti kebiasaan sebelum ini, permohonan dan sambutan agak tinggi jika dibuka di DUN Batu Tiga.

“Program Jom Shopping Tahun Baharu Cina untuk DUN Batu Tiga akan diadakan pada 14 Januari ini,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/sempena-tahun-baharu-cina-dun-batu-tiga-agih-400-baucar-beli-belah/

[Selangorkini] Keluarga kurang berkemampuan DUN Hulu Kelang terima bantuan wang tunai, barang keperluan

Shah Alam, 5 Jan: Enam keluarga kurang berkemampuan di Pangsapuri Ukay Indah menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian yang disampaikan wakil rakyat Hulu Kelang.

Menurut Saari Sungib, kunjungan Selasa lalu itu diadakan bagi menyantuni pengundi Hulu Kelang di kawasan Bukit Antarabangsa.

“Kita ingin santuni pengundi kawasan Hulu Kelang yang tinggal di kawasan DUN Bukit Antarabangsa,” katanya yang menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas kepada keluarga itu yang kebanyakannya menghadapi penyakit kronik.

Salah seorang penerima Noor Hafieq Shamsudin, 38, berterima kasih atas lawatan wakil rakyat dan sumbangan yang diterima.

“Saya sangat bersyukur, selain bantuan daripada agensi zakat (Lembaga Zakat Selangor), wakil rakyat juga sudi menjenguk keadaan kami,” katanya.

Bagi Mohamad Zul Mohd Subramanian, 40, dia terharu dengan kedatangan wakil rakyat itu yang turut menghulurkan bantuan khususnya perbelanjaan sekolah anak serta makanan.

“Saya baru selesai rawatan di hospital dan beras juga sudah habis, dengan sumbangan ini saya dapat beli makanan dan perbelanjaan sekolah anak,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Ukay Indah (PPTUI), Norliza Bohari berkata persatuan turut mengadakan tabung sumbangan bagi keluarga yang memerlukan selain beberapa siri lawatan juga telah diadakan sebelum ini.

“Sebelum ini, memang ada datang (melawat) dan ada buat tabung untuk sumbangan daripada pihak luar seperti persatuan kebajikan dan orang persendirian,” katanya.

Oleh: Shamz Johan

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/keluarga-kurang-berkemampuan-dun-hulu-kelang-terima-bantuan-wang-tunai-barang-keperluan/

[Selangorkini] DUN Bandar Baru Klang sedia 600 baucar beli-belah Tahun Baharu Cina

Shah Alam, 5 Jan: Sebanyak 600 baucar beli-belah diperuntuk kepada penganut Tionghoa sekitar Bandar Baru Klang sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata kuota lebih banyak berbanding Dewan Undangan Negeri (DUN) lain kerana jumlah pengundi di kawasan terbabit melebihi 80,000.

Jelas Dato’ Teng Chang Khim, pemohon yang layak akan memperoleh baucar Jom Shopping bernilai RM200 dalam tempoh terdekat.

“Permohonan yang diterima memang ramai, biasanya melebihi kuota yang kita ada tetapi keseluruhannya lebih 90 peratus (pemohon) akan dapat.

“Buat masa ini kita belum agih lagi, tetapi pemohon yang berjaya sudah dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berharap perayaan kali ini diraikan dalam suasana harmoni dengan keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

“Tahun yang penuh cabaran ini diharap kita dapat mengekalkan perpaduan selain terus berusaha gigih untuk memajukan ekonomi,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang akan memanfaatkan 82,400 penerima.

Program itu merupakan bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Aidilfitri dan Deepavali bagi meringankan beban keluarga kurang mampu untuk membeli barangan keperluan.

Nilai baucar juga dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 berikutan situasi ekonomi dan keperluan rakyat.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/dun-bandar-baru-klang-sedia-600-baucar-beli-belah-tahun-baharu-cina/

[Selangorkini] Anjur joging sambil kutip sampah, wakil rakyat adaptasi budaya sihat negara maju

Shah Alam, 4 Jan: Wakil rakyat Subang Jaya berhasrat menganjurkan riadah berjoging sambil mengutip sampah (plogging) bersama komuniti setempat.

Michelle Ng Mei Sze berkata kegiatan berkenaan popular di beberapa negara maju seperti Sweden, Sepanyol, Australia dan Jepun yang yang terkenal dengan amalan menjaga kebersihan tempat awam.

“Di negara barat, kegiatan ini (plogging) sangat popular. Kegiatan ini bagus kerana selain dapat menyihatkan badan, kita juga dapat manfaatkan untuk kebersihan setempat,” katanya di Facebook.

Semalam, Michelle bersama lebih 50 warga komuniti senaman Luk Tung Kuen menjalankan gotong-royong di Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di USJ 1, Subang Jaya.

“Ini merupakan inisiatif penduduk yang mengambil berat aspek kebersihan setempat dan kemudahan awam. Ada perancangan supaya aktiviti ini dibuat setiap minggu.

“Saya akan berbincang dengan pihak majlis untuk membantu menyediakan stor bagi menyimpan peralatan pembersihan,” katanya lagi.

Oleh: Shamz J0han

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/anjur-joging-sambil-kutip-sampah-wakil-rakyat-adaptasi-budaya-sihat-negara-maju/

[Selangorkini] Wakil rakyat gesa bina sistem perparitan di pangsapuri elak tanah runtuh

Shah Alam, 2 Jan: Pihak pengurusan Pangsapuri Lily & Rose diminta membina sistem perparitan dan longkang yang berkesan untuk mengelak kejadian tanah runtuh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata pembinaan itu perlu supaya kawasan perumahan di Taman Mayang Jaya, Petaling Jaya itu tidak mengalami insiden sama yang pernah berlaku sebelum ini.

“Pihak pengurusan pangsapuri bertanggungjawab untuk memastikan sistem perparitan dan longkang mempunyai saliran keluar yang berkesan. Ini bagi mengelak berlakunya kejadian tanah runtuh,” katanya menerusi Facebook.

Jumaat lalu, Jamaliah bersama Ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Sakinah Bibi Nagoor, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pengurusan pangsapuri mengadakan lawatan bagi meninjau pagar belakang pangsapuri berkenaan yang runtuh akibat hujan lebat, baru-baru ini.

Menurutnya, semua pemegang taruh telah dimaklumkan bagi penyelarasan komunikasi dan tanggungjawab kerja agar masalah berkenaan dapat diselesaikan.

“Saya telah memanggil semua pihak terlibat untuk mengadakan mesyuarat bersepadu. Selain itu, saya juga akan memastikan projek JPS akan dijalankan seawal mungkin untuk membaik pulih kawasan tersebut,” katanya.

Oleh: Shamz Johan

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/wakil-rakyat-gesa-bina-sistem-perparitan-di-pangsapuri-elak-tanah-runtuh/

[Selangorkini] ADN minta buat aduan jika penjual makanan tidak pakai pelitup muka

Shah Alam, 2 Jan: Orang ramai diminta membuat aduan kepada pihak berkuasa atau wakil rakyat setempat sekiranya mengesan penjual makanan melanggar arahan pemakaian pelitup muka.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia Halimey Abu Bakar berkata masyarakat harus peka soal itu kerana penjaja dan pengusaha restoran sering terdedah kepada penyakit berjangkit.

“Peniaga terutama tukang masak atau penyedia makanan, mereka terdedah dengan pelbagai perkara yang menyebabkan penyakit berjangkit. Saya lihat ada (tukang masak) yang hisap rokok tetapi tidak basuh tangan kemudian memasak.

“Jadi aduan masyarakat penting selain pemantauan pihak berkuasa tempatan (PBT). Mereka kena ambil berat dan segera buat aduan melalui saluran yang betul supaya tindakan boleh diambil,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau juga mengesyorkan PBT memberi amaran terlebih dahulu kepada peniaga yang gagal mematuhi arahan terbabit sebelum mengenakan tindakan lebih tegas.

“Pada peringkat awal seelok-eloknya kita beri amaran dahulu dan memasuki bulan kedua pelaksanaan, tindakan harus diambil supaya mereka patuh arahan dikeluarkan Kerajaan Selangor.

“Penguatkuasaan wajar dibuat sebab saya lihat bukan sahaja peniaga tepi jalan tetapi pengusaha restoran pun tidak jaga kebersihan,” katanya yang mencadangkan kewajipan pemakaian apron.

Pada 29 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar berkata penggunaan pelitup muka yang diwajibkan kepada penjaja dan pengusaha restoran negeri ini mulai 1 Januari bagi meningkatkan tahap kebersihan dalam pengendalian makanan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu juga dapat menambah keyakinan pelanggan selain mengelakkan penularan Covid-19 dan isu keracunan makanan.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/adn-minta-buat-aduan-jika-penjual-makanan-tidak-pakai-pelitup-muka/

[Selangorkini] Pasang 13 lampu solar, pastikan pengguna jalan raya di DUN Bukit Melawati selamat

Shah Alam, 21 Dis: Sebanyak 13 lampu solar dipasang di tiga kawasan dalam Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati bagi meningkat keselamatan pengguna jalan raya di waktu malam.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata kerja pemasangan di Jalan Raja Abdullah, Kampung Tanjung Keramat dan Kampung Sepakat sejak 10 Disember lalu siap empat hari kemudian.

“Ketiga-tiga kawasan ini tiada lampu dan kerap berlaku kemalangan selain sering menjadi laluan haiwan liar seperti babi hutan.

“Penduduk sering mengadu dan mahu lampu dipasang di situ kemudian saya memohon daripada Kerajaan Negeri melalui EXCO infrastruktur, Alhamdulillah ia diluluskan,” katanya ketika dihubungi.

 

Juwairiya berharap pengguna jalan raya dan penduduk kampung berasa lebih selamat dan selesa menggunakan jalan raya pada waktu malam berbanding sebelum ini.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/12/pasang-13-lampu-solar-pastikan-pengguna-jalan-raya-di-dun-bukit-melawati-selamat/

[Selangorkini] ADN Seri Kembangan: Hampir RM7,000 diperuntuk bantu 23 mangsa bah

Shah Alam, 19 Dis : Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memperuntukkan sejumlah RM6,900 bagi membantu mangsa banjir kilat di Pangsapuri Taman Harmoni Bukit Belimbing, Balakong.

Wakil rakyat Ean Yong Hian Wah berkata seramai 23 keluarga yang terjejas dalam kejadian bah pada November lalu menerima sumbangan sebanyak RM300.

“Banjir kilat kerap berlaku di situ dan baru-baru ini berlaku lagi pada pertengahan November lalu dan semalam kita turun padang untuk menghulurkan sumbangan.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga bekerjasama untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan itu bagi mengelak kejadian banjir kilat berlaku.

“Saya harap penduduk bersabar kerana kita dalam proses untuk membaik pulih sistem saliran di kawasan terbabit, semoga bencana ini tidak berlaku lagi pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, kawasan sekitar Taman Harmoni Bukit Belimbing sering dilanda banjir kilat hampir saban tahun setiap kali berlakunya hujan lebat.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/12/adn-seri-kembangan-hampir-rm7000-diperuntuk-bantu-23-mangsa-bah/

[Selangorkini] Belanjawan Selangor 2023 berdaya rakyat, depani krisis ekonomi

Shah Alam, 5 Disember: Belanjawan untuk tahun ini juga mengukuhkan agenda kesihatan awam Selangor di bawah kerangka baharu kesemua 44 program pemberdayaan rakyat iaitu Iltizam Selangor Penyayang.

Tahun ini juga, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang membentangkan suatu rancangan jangka sederhana bagi tempoh lima tahun untuk merancang dan mengkoordinasi pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi iaitu Rancangan Selangor Pertama. Dokumen itu diluluskan sebulat suara di dalam dewan yang mulia ini.

Dan pada detik saya berdiri di sini petang yang amat mulia ini, negeri kita baru melalui proses pilihan raya umum yang melihat pertembungan antara tiga gabungan untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Sejurus pilihan raya umum ke-15 selesai, negara kita berada pada titik persimpangan antara dua persimpangan yang amat berbeza.

Di satu persimpangan, pilihan yang mampu mengubah fabrik sosial masyarakat kita dengan memanipulasi paranoia dan kebencian.

Yang kedua pula, pimpinan negara boleh memilih untuk membawa Malaysia ke hadapan dengan fokus kepada kekuatan masing-masing serta mencari titik persamaan yang mampu memulakan proses memulihkan negara kita, memulakan proses rekonsiliasi nasional.

Ini mengingatkan saya kepada cabaran yang merungsingkan Robert Frost apabila dia menukilkan sajaknya, “The Road Not Taken” pada tahun 1915 sewaktu Perang Dunia pertama.

Dengan menggunakan contoh seorang pengembara yang berada di persimpangan, Frost menulis “Two roads diverged in a wood, and I— I took the one less traveled by, And that has made all the difference.”

Sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin negara, kita berada di persimpangan jalan hampir serupa, dan pilihan yang hanya mampu diambil oleh negarawan.

Alhamdulillah, tuan speaker, saya bersyukur, dan saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia yang
bersyukur bahawa pilihan kedua ini menjadi jalan yang mengeluarkan negara ini daripada ketegangan dan jalan buntu yang telah kita lihat.

Pendekatan yang memberi fokus kepada pentadbiran secara kolektif adalah yang diingini oleh seluruh warga Malaysia pada ketika ini.

Negara kita bakal menghadapi cabaran besar pada tahun hadapan. Badan-badan antarabangsa menjangka kemelesetan bakal tiba serta inflasi yang semakin mencabar.

Dunia kini sedang bergelut dengan tiga krisis yang bersaling kait; jangkaan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, kesan geopolitik peperangan di Ukraine yang masih berterusan, serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh dasar menangani pandemik di negara China.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun hadapan dianggar akan mencatat pengurangan berbanding tahun ini iaitu daripada 3.2 peratus pada tahun ini kepada 2.7 peratus pada tahun 2023.

Satu pertiga daripada ekonomi dunia dijangka akan mengalami pertumbuhan negatif pada dua suku pertama tahun depan. Situasi ini bermaksud akan berlakunya kemelesetan terutamanya di negara-negara yang terlalu bergantung kepada sumber makanan bijirin di Ukraine serta bahanbahan pembuatan di China.

Situasi pertumbuhan ekonomi ini adalah pertumbuhan yang paling lemah sejak tahun 2001, pasca Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

Ekonomi Malaysia telah terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan yang dikenakan bagi menghentikan penularan wabak Covid-19. Hampir semua sektor ekonomi Malaysia dan pelaburan asing menerima kesannya yang menyaksikan sebilangan rakyat Malaysia mengalami
pengurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

Selain itu, Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak langsung dari krisis-krisis global ketika ini. Isu ini merupakan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua mata wang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding Dollar AS. Sifat pasaran mata wang sememangnya sangat meruap dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti kadar faedah di AS yang dijangka naik.

Kelemahan ringgit kepada dolar Amerika sebahagiannya disebabkan oleh pelabur mengambil kira kenaikan kadar yang lebih besar oleh Rizab Persekutuan AS, lebih-lebih lagi dengan inflasi di AS mencecah setinggi 8.5 peratus baru-baru ini. Kadar faedah yang lebih tinggi akan mengurangkan jumlah wang dalam edaran dan meningkatkan inflasi. Mata wang Malaysia yang lemah akan mengakibatkan harga import yang lebih tinggi, membebankan keduadua pengguna dan pengimport.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras suku kedua 2022 dilaporkan meningkat, masing-masing sebanyak 2.8 dan 2.5 peratus. Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, bagi 2022, inflasi keseluruhan dan teras juga dijangka mencatatkan purata lebih tinggi, hampir kepada julat antara 2.0 hingga 3.0 peratus.

Sebahagian besar daripada kadar tersebut disumbangkan oleh indeks makanan yang meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022.

Atasi pertumbuhan nasional Selain itu juga, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan namun, kadar inflasi di negara ini masih terendah di Asia Tenggara.

Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2021 dengan sumbangan sebanyak 24.8 peratus.

Kestabilan melalui pengukuhan aspek tadbir urus menghasilkan perkhidmatan yang efisien dan polisi yang efektif dapat dibuktikan menerusi pencapaian yang diperoleh sehingga kini.

Selangor antara negeri yang kekal mendahului negeri lain di Malaysia dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion pada 2021 berbanding RM327.1 bilion pada tahun 2020. Nilai tersebut meningkat ke 5.0 peratus pada 2021 berbanding -5.2 peratus pada 2020 sekali gus telah melepasi paras pertumbuhan nasional yang mencatat sebanyak 3.1 peratus.

Sumbangan utama diterajui oleh sektor perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 59.5 peratus, diikuti oleh sektor pembuatan yang menyumbang sebanyak 31.4 peratus dan sektor pembinaan sebanyak 5.1 peratus. Sementara itu, sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing menyumbang 1.5 peratus dan 0.2 peratus.

Dengan adanya usaha seperti Rancangan Selangor Pertama tahun ini, keupayaan tadbir urus mampu memberi keyakinan kepada pelabur supaya dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dengan gaji yang setimpal khususnya bagi warga Selangor.

Sedutan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan
Selangor 2023 pada 25 November.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/12/belanjawan-selangor-2023-berdaya-rakyat-depani-krisis-ekonomi/

[Harian Metro] Selangor teliti semula polisi caj kutipan beg plastik

Shah Alam: Kerajaan Selangor bakal meneliti semula polisi caj kutipan beg plastik sama ada akan ditingkatkan harganya serta pelaksanaan hari tanpa plastik pada tahun hadapan ekoran berlakunya peningkatan penggunaan beg plastik di Selangor, walaupun kempen kutipan caj beg plastik telah dilaksanakan sejak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian mengakui terdapat masalah di peringkat penguatkuasaan ketika pandemik Covid-19 ekoran pihaknya banyak memberi kelonggaran kepada peniaga menggunakan beg plastik khususnya ketika membungkus makanan.

“Kami akan meningkatkan penguatkuasaan yang sangat ketat. Kali ini kami berkemungkinan akan tarik balik lesen premis mereka yang tidak mematuhi cara kutipan caj beg plastik yang digunakan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan) mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan beg plastik yang dilihat semakin meningkat walaupun wujudnya kempen kutipan caj beg plastik.

Menurutnya, setakat 30 Jun lalu kutipan beg plastik di Selangor adalah sebanyak RM4.8 juta dan dijangka akan mencecah lebih RM9 juta untuk tahun ini berbanding tahun lepas sebanyak RM8.5 juta dan 2020 sebanyak RM6.6 juta.