[Selangorkini] Belanjawan Selangor 2024 dibentang 10 November

Shah Alam, 18 Okt: Belanjawan Selangor 2024 diadakan pada 10 November depan, kata Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurut Lau Weng San, pembentangan jangkaan kos perbelanjaan tahunan itu bersekali dengan sidang DNS yang berlangsung selama dua minggu.

“Belanjawan tahun depan yang bakal dibentang Dato’ Menteri Besar menjamin kehidupan dan keperluan rakyat. Kita fokus untuk meluluskan belanjawan terbabit.

“Sepanjang persidangan, berkemungkinan rang undang-undang perbekalan tambahan tahun ini juga diluluskan selain setiap EXCO menghujah portfolio masing-masing,” katanya kepada Selangorkini.

Awal bulan lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan belanjawan tahun depan dijadual dibentang pada pertengahan November dan sedang menunggu perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Bagi belanjawan negeri tahun ini, sejumlah RM2.45 bilion diluluskan melibatkan perbelanjaan pengurusan berjumlah RM1.25 bilion manakala pembangunan pula sebanyak RM1.2 bilion.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/10/belanjawan-selangor-2024-dibentang-10-november/

 

[Berita Harian] Bekas ADUN Banting, Lau Weng San dilantik Speaker DUN Selangor

Shah Alam: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu bagi penggal pertama Mesyuarat DUN ke-15.

Nama Weng San dicadangkan oleh ADUN Sekinchan yang juga bekas Speaker DUN, Ng Suee Lim dan disokong oleh ADUN Banting, V Papparaidu.

Pada mesyuarat berkenaan, ADUN Sijangkang, Datuk Dr Yunus Hairi turut mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh sebagai Speaker dari Perikatan Nasional (PN) dan disokong oleh ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Setiausaha Dewan Negeri Selangor, J Gayathri kemudian memaklumkan undi sulit dilakukan berikutan terdapat dua nama calon Speaker yang dikemukakan.

Menerusi proses undi sulit itu, Weng San mendapat 34 undian manakala Dr Mohd Fuad memperoleh 22 undi.

Bagi Timbalan Speaker, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mencadangkan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin sebagai Timbalan Speaker dan disokong ADUN Teratai, Yew Jia Haur.

PN menerusi ADUN Sabak, Sallehein Mukhyi pula mencadangkan ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah dan disokong oleh ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Selepas selesai proses undi sulit, Mohd Kamri memperolehi 34 undi manakala Mohd Shafie Ngah mendapat 22 undi.

Pada mesyuarat itu, seramai 56 ADUN termasuk 22 ADUN daripada PN mengangkat sumpah.

Majlis angkat sumpah dimulakan dengan Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.

Ia disusuli 10 EXCO kerajaan Selangor iaitu ADUN Kinrara, Ng Sze Han; Izham Hashim (Pandan Indah); Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat); Ng Suee Lim (Sekinchan); Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar); Najwan Halimi (Kota Anggerik); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama); V Papparaidu (Banting); Dr Fahmi Ngah (Seri Setia) dan Anfal Saari (Taman Templer).

Pada 12 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN manakala PN menang 22 kerusi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1154555/bekas-adun-banting-lau-weng-san-dilantik-speaker-dun-selangor#:~:text=SHAH%20ALAM%3A%20Bekas%20Ahli%20Dewan,pertama%20Mesyuarat%20DUN%20ke%2D15.

[Astro Awani] Azmin dilantik Ketua Pembangkang DUN Selangor

 
Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
 
Pengumuman itu dibuat Speaker DUN Selangor, Lau Weng San pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama DUN Selangor ke-15.
 
Menurut Weng San, pihaknya menerima surat daripada Perikatan Nasional (PN) Selangor pada 15 September lalu untuk mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Ketua Pembangkang.
 
“Diharapkan Ketua Pembangkang telah dilantik dan dipersetujui ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya, tahniah diucapkan,” katanya.
 
Jawatan Ketua Pembangkang pada penggal lalu milik ADUN Sungai Air Tawar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Rizam Ismail, bagaimanapun Pakatan Harapan (PH) dan BN bergabung pada pilihan raya negeri (PRN).
 
Gabungan PH dan BN kemudiannya memenangi PRN pada 12 Ogos lalu selepas menguasai 34 daripada 56 DUN, sekali gus membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
 
Pada 21 Ogos, seramai 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah. –Sinar Harian
 
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pembangkang-tubuh-jawatankuasa-portfolio-semak-imbang-peranan-exco-selangor-438049
 

[Astro Awani] Bekas ADUN Banting, Lau Weng San dilantik Speaker DUN Selangor

SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi penggal ke-15 pada Selasa.
 
Weng San yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu memperolehi 34 undi berbanding Timbalan Pesuruhjaya Pas III, Prof Madya Mohd Fuad Mohd Salleh yang hanya memperolehi 22 undi.
 
Sementara itu, ADUN Bukit Antarabangsa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Kamri Kamaruddin dilantik sebagai Timbalan Speaker pada mesyuarat pertama DUN itu.
 
Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan upacara angkat sumpah dan menandatangani surat sumpah setia kesemua 56 ADUN, dimulai dengan ADUN Sungai Tua yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
 
Ia kemudiannya disusuli 11 Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor, antaranya ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi, ADUN Seri Setia, Dr Mohammad Fahmi Ngah, ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.
 
ADUN Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail, ADUN Banting V Papparaidu, ADUN Taman Templer, ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Pandan Indah, Izham Hashim.
 
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi 34 kerusi DUN membolehkan pembentukan kerajaan negeri berbanding Perikatan Nasional (PN) yang hanya meraih 22 kerusi DUN.
 
Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/bekas-adun-banting-lau-weng-san-dilantik-speaker-dun-selangor-438021

[Astro Awani] 10 Exco Selangor angkat sumpah, tampil tujuh muka baharu

Klang: 10 Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (Exco) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Isnin.
 
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.

Daripada 10 Exco Kerajaan Negeri di bawah gabungan perpaduan itu, tiga Exco lama dikekalkan iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han (DAP), Datuk Izham Hashim (Amanah-Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (Keadilan-Tanjong Sepat).

Manakala tujuh muka baharu ialah bekas Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Datuk Rizam Ismail (BN-Sungai Air Tawar), Mohd Najwan Halimi (Keadilan-Kota Anggerik).
 
Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama), V Papparaidu (DAP-Banting), Dr Mohammad Fahmi Ngah (Keadilan-Seri Setia) dan Anfaal Saari (Amanah-Taman Templer).
 
Istiadat angkat sumpah itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan pembesar-pembesar negeri.
 
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
 
Terdahulu, pelantikan Exco Kerajaan Negeri termaktub di bawah perenggan (b) Fasal (2) Perkara L111, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
 
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lepas.
 

[Astro Awani] Menteri Besar, Exco Selangor angkat sumpah hari ini

Kuala Lumpur: Istiadat angkat sumpah jawatan Menteri Besar Selangor dan barisan Exco akan berlangsung hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan akan diadakan pada jam 11 pagi di Istana Alam Shah, Klang.
 
Manakala Istiadat Angkat Sumpah Exco juga akan diadakan pada hari dan tempat yang sama, pada jam 2 petang.
 
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya 12 Ogos lepas.
 
Sebelum ini, pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengumuman mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan dilakukan pihak Istana.
 
Sumber menyebut, Amirudin dicadangkan untuk kekal mengetuai kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
 
Bagaimanapun, beberapa nama lain turut disebut sebagai Menteri Besar baharu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Dr Fahmi Ngah dan ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.
 

[Harian Metro] Speaker Selangor serah watikah pembubaran DUN kepada SPR hari ini

 

Amirudin (kiri) menyaksikan penyerahan watikah pembubaran DUN Selangor oleh Suee Lim kepada Shafie pada Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. FOTO Faiz Anuar

 

Shah Alam: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim, hari ini menyerahkan watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Watikah berkenaan diserahkan Suee Lim kepada Pengarah SPR Selangor, Shafie Taib di Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar bersama penjawat awam Selangor di Dewan Jubli Perak dekat sini, hari ini.

Turut menyaksikan penyerahan itu adalah Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim.

DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan PRN.

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Isnin lalu, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini bermakna DUN Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 25 Jun ini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/06/980537/speaker-selangor-serah-watikah-pembubaran-dun-kepada-spr-hari-ini

[Harian Metro] DUN Selangor bubar secara rasmi hari ini

Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).

Pembubaran itu selaras dengan pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani, Isnin lalu, selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini bermakna Dun Selangor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan dua hari lebih awal berbanding tempoh mandat Dun yang akan berakhir pada 25 Jun ini.

Dengan pembubaran itu, pentadbiran Selangor kini ditadbir kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) mendominasi Selangor apabila menang 51 daripada 56 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) dan Pas masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan terkini kerusi sebelum Dun dibubarkan ialah PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Satu lagi kerusi, Dun Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan Dun melebihi enam bulan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/06/980482/dun-selangor-bubar-secara-rasmi-hari-ini

[Harian Metro] Sultan Selangor perkenan bubar Dun Selangor 23 Jun

Klang: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secara rasmi pada 23 Jun bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani mengumumkan pengisytiharan pembubaran berkenaan.

Istiadat Pengisytiharan Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah itu diadakan secara ringkas hari ini.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Sharafuddin turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.

Turut hadir, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim; dan barisan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Selangor dipimpin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal memerintah Selangor dengan memperoleh majoriti dua pertiga dengan menang 51 daripada 56 kerusi DUN dalam PRU-14.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 11 Mei 2018 sebelum dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PH kemudiannya menamakan Amirudin yang sebelumnya Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi sebagai Menteri Besar Selangor ke-16 dan mengangkat sumpah jawatan pada 19 Jun 2018.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/utama/2023/06/979190/sultan-selangor-perkenan-bubar-dun-selangor-23-jun

[Malaysia Gazette] DUN Selangor bubar 23 Jun – Amirudin

 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menunjukkan Proklamasi Pembubaran Dewan Negeri Selangor selepas bercakap kepada media mengenai 5 tahun pentadbiran Pakatan Harapan ketika di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN 19 JUN 2023.

 

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 23 Jun ini.

Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang media khas Menteri Besar sempena lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Foyer SUK, bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, pada jam 10 pagi ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menandatangani Proklamasi Pembubaran DUN Selangor ke-14 yang akan berkuatkuasa Jumaat ini.

Ini jelas beliau, selaras dengan peruntukan dalam Fasal (2) Perkara LXX, Bahagian Kedua, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

“Ini akan membolehkan Speaker Dewan Negeri Selangor untuk memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kemudian memberi ruang kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

“Saya menjungjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar calon PRN Selangor tidak memainkan isu berkait dengan agama, perkauman dan perkara sensitif yang boleh merosakkan keharmonian serta perpaduan yang telah lama dibina dalam kalangan rakyat negeri ini.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga menitahkan bahawa baginda akan berangkat menunaikan fardu haji pada esok, 20 Jun.

“Patik mewakili sekalian rakyat Selangor mendoakan agar Tuanku dianugerahkan haji yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan serta semoga Allah terus menganugerahkan Tuanku keafiatan, keberkatan dan kesejahteraan,” katanya.

Beliau berkata, hari ini merupakan genapnya lima tahun beliau sebagai Menteri Besar Selangor sejak pentadbiran kerajaan negeri ditubuhkan serta ulang tahun kelima diberi amanah sebagai Menteri Besar Selangor. – MalaysiaGazette

Sumber ; https://malaysiagazette.com/2023/06/19/dun-selangor-bubar-23-jun-amirudin/