[Selangorkini] Dewan Negeri lulus usul segera ganti paip usang

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sidang Dewan Negeri Selangor semalam meluluskan usul mempercepat proses penggantian paip bagi mengurang risiko gangguan bekalan air.

Usul dibawa wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran disokong beberapa Ahli Dewan Negeri termasuk Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Rajiv berkata kejadian paip pecah perkara biasa di Selangor hingga menyebabkan gangguan di kawasan perumahan, perniagaan dan industri.

“Kita harus pandang serius isu ini kerana Selangor mahu menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, oleh itu prasarana juga perlu bertaraf dunia termasuk perkhidmatan air,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggantian paip usang bagi mengelak gangguan bekalan air keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini.

Beliau berkata paip baharu lebih berkualiti serta tahan lasak berbanding sedia ada menggunakan jenis simen asbestos yang mudah terhakis.

Dewan Negeri lulus usul segera ganti paip usang

[Harian Metro] DUN Selangor lulus usul gesa Parlimen gubal undang-undang lompat parti

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor. FOTO BERNAMA

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul bagi mendesak serta menggesa Parlimen untuk menggubal Rang Undang-Undang bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen daripada lompat parti tanpa alasan munasabah.

Speaker DUN Ng Suee Lim berkata, menerusi usul berkenaan, dewan bersetuju sekiranya sesiapa dalam kalangan ADUN yang melompat parti, perlu mengosongkan kerusi untuk mempertahankan mandat rakyat yang memilih mereka.

Usul dibawa ADUN Bukit Gasing R Rajiv (DAP) itu pada awalnya mendapat bantahan kerana DUN tidak mempunyai hak menggubal undang-undang.

“Kalau ikutkan, sebagai ADUN termasuk saya sendiri, memang selama ini sesiapa pun yang dipilih menerusi pilihan raya dan apabila mereka lompat parti, khianat dan sebagainya tanpa alasan munasabah, rakyat pasti akan marah.

“Kita tidak ada hak untuk menggubal undang-undang kerana ia adalah kuasa Parlimen dan hari ini, kita hanya menggubal usul untuk menggesa dan mendesak agar undang-undang anti lompat parti digubal.

“ADUN atau ahli Parlimen yang melompat parti perlu mengosongkan kerusi bagi menghormati mandat rakyat. Usul ini akan kita tandatangan dan hantar ke Parlimen untuk diteliti jika ada keperluan untuk digubal (undang-undang),” katanya kepada media di lobi Bangunan Annex.

Beliau berkata, pada sidang kali ini, dewan juga meluluskan usul Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor (Pakej Rangsangan Ekonomi), pembasmian kemiskinan (Pembangunan Perniagaan Atas Talian), Penilaian Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis, proses mempercepatkan penggantian paip bagi mengurangkan masalah gangguan bekalan air serta pengurusan sumber air berhubung pencemaran air.

Sidang DUN kali ini akan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sumber:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/600702/dun-selangor-lulus-usul-gesa-parlimen-gubal-undang-undang-lompat-part

[Harian Metro] Selangor peruntuk RM55.85 bilion tangani impak Covid-19

DATUK Seri Amirudin Shari. FOTO Faiz Anuar

KERAJAAN Selangor mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa Ketiga untuk membangunkan semula ekonomi yang mengalami kejutan susulan penularan wabak Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pelaksanaan inisiatif bagi fasa ketiga ini, kerajaan negeri akan membangunkan Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor yang menekankan kepada tiga tonggak utama dalam menangani impak Covid-19.

“Tiga tonggak itu membabitkan aspek jaminan bekalan makanan (foodsecurity), kemampanan ekonomi (economic sustainability) dan pembangunan keupayaan (capacity building).

“Jumlah keseluruhan nilai bagi Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor ini adalah berjumlah RM55.85 bilion,” katanya ketika membentangkan pelan berkenaan pada sesi Sidang DUN Selangor, hari ini.

Beliau berkata, struktur ekonomi Selangor pasca Covid-19 akan mengadaptasikan perubahan dan pendekatan baru darisegi sistem dan pelaksanaannya.

Katanya, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah Agrodata Selangor, Jaminan Bekalan Makanan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), insentif galakan pembinaan rumah mampu milik (Rumah Selangorku Harapan), Sukuk Kelestarian Air Selangor, inisiatif pelaburan WAAQAF, subsidi baucar pelancongan, insentif khas pemandu pelancong, pengusaha homestay dan hos komuniti.

“Kita juga akan melaksanakan inisiatif Selangor Kerjaya, inisiatif Rakan Digital Selangor, Data Internet selangor serta penambahan peruntukan bagi program Roda Darul Ehsan (RIDE),” katanya.

Amirudin berkata, menerusi pengumuman pelan pemulihan berkenaan, Selangor akan menjadi magnet bagi pekerjaan baharu, meningkatkan taraf hidup rakyat dan mengukuhkan ketahanan ekonomi supaya dapat menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Sebelum ini, Selangor mengumumkan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin bagi membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan penularan pandemik berkenaan.

Beliau berkata, sehingga kini, kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM260 juta yang memberi manfaat kepada 3.5 juta atau 54 peratus rakyat Selangor.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/599387/selangor-peruntuk-rm5585-bilion-tangani-impak-covid-19

[Harian Metro] ADUN Morib Timbalan Speaker DUN Selangor baharu

HASNUL Baharuddin. FOTO Roslin Mat Tahir

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu.

Hasnul menggantikan penyandang jawatan berkenaan iaitu Dr Daroyah Alwi yang mengumumkan peletakan jawatan, Jun lalu.

Nama Hasnul dicadangkan sebagai Timbalan Speaker oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan mendapat sokongan dewan.

Sebelum ini, Dr Daroyah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-14 pada 13 Mac 2019 bagi menggantikan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang dilantik menjadi EXCO Selangor.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, ADUN Sementa itu mengumumkan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan yang disandangnya.

Selain itu, Dr Daroyah menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).

Sumber: 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/599280/adun-morib-timbalan-speaker-dun-selangor-baharu

[Selangorkini] Covid-19: Wakil rakyat kerajaan, pembangkang sambut baik tambahan RM30,000

SHAH ALAM, 2 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) kerajaan dan pembangkang menyambut baik tambahan RM30,000 yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, semalam.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata peruntukan kali kedua memudahkan wakil rakyat mengagihkan bantuan kepada golongan terjejas susulan penularan Covid-19.

“Ramai yang bergaji harian kini terjejas pendapatan mereka kerana tidak dapat bekerja dan berniaga, maka golongan yang perlu dibantu semakin bertambah,” katanya.

 

ADN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah mewakili ADN Selangor menyerahkan replika cek sumbangan Tabung Covid-19 Selangor kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selepas pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor 2.0 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

ADN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi pula menyifatkan peruntukan tambahan itu satu keperluan kepada mereka dalam melancarkan gerak kerja membantu rakyat.

“Kami boleh menggunakannya untuk menyalurkan bantuan dengan segera ketika saat-saat getir seperti ini,” katanya.

Ketua Pembangkang Rizam Ismail turut menyambut baik perkara tersebut, namun mahu Kerajaan Negeri melancarkan prosedur dan memastikan ia dinikmati semua wakil rakyat.

“Inilah masa kita bersolidariti tanpa mengira fahaman politik kerana tujuan akhirnya untuk memastikan nasib rakyat terjamin,” katanya yang turut menyokong pemotongan gaji ADN untuk disalurkan ke Tabung Covid-19 Selangor.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua bagi menangani dampak Covid-19 berjumlah RM272.5 juta.

Sumber: https://selangorkini.my/2020/04/covid-19-wakil-rakyat-kerajaan-pembangkang-sambut-baik-tambahan-rm30000/

[Sinar Harian] Covid-19: ADUN Selangor terima peruntukan khas

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan memberikan peruntukan khas kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini menerusi pengumuman Pakej Selangor Prihatin, hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, anggaran peruntukan sekitar RM30,000 akan disediakan kepada 56 ADUN di negeri ini untuk sebarang perbelanjaan aktiviti mesra rakyat khusus bagi keperluan harian mereka yang terkesan.

“Peruntukan minimum untuk inisiatif ini adalah berjumlah RM1.68 juta,” katanya ketika pengumuman pakej tersebut, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, bagi meringankan bebanan usahawan Skim Hijrah Selangor, kerajaan negeri juga akan memberi penangguhan serta-merta bayaran balik pinjaman sebanyak tiga bulan ansuran kepada semua 40,000 peminjam.

Bagi pemberian itu, beliau berkata, kerajaan negeri akan menanggung bebanan sebanyak RM70 juta.

“Bagi meringankan beban peserta Skim Smart Sewa pula, kerajaan negeri meluluskan penangguhan bayaran sewa sebanyak tiga bulan ansuran untuk 2,700 penyewa dengan kos sebanyak RM600,000,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga turut memberi lanjutan tempoh akhir bayaran cukai tanah/petak dari 31 Mei 2020 kepada 30 Jun 2020.

Tambah beliau, kelonggaran turut diberikan kepada semua pembayar cukai untuk melewatkan pembayaran cukai tanah/petak selama satu bulan tanpa sebarang bebanan kos kepada pihak kerajaan negeri.

Sumber: Sinar Harian, Asyraf Muhammad (20 Mac 2020)

https://www.sinarharian.com.my/article/74612/KHAS/Koronavirus/Covid-19-ADUN-Selangor-terima-peruntukan-khas

[Selangorkini] Sidang Dewan Negeri Selangor diteruskan pada Isnin

PELABUHAN KLANG, 12 MAC: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 16 Mac ini diteruskan walaupun negara sedang berdepan gelombang kedua Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata kawalan kesihatan ketat diambil termasuk pemeriksaan suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke DNS.

“Mereka yang hadir juga diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa membersih tangan.

“Semua pihak diminta memberi kerjasama serta segera mendapatkan rawatan jika rasa kurang sihat,” katanya ditemui pemberita selepas lawatan ke Pusat Logistik Pelabuhan Barat di sini hari ini.

Amirudin sebelum ini memaklumkan Kerajaan Selangor menangguhkan semua program berskala besar anjurannya yang tidak bersifat kritikal susulan perkembangan membimbangkan Covid-19.

Sumber: Selangorkini, 12 Mac 2020 (Khairul Azran Hussin) 

https://selangorkini.my/2020/03/sidang-dewan-negeri-selangor-diteruskan-pada-isnin/

[Berita Harian] 5 ADUN BERSATU Selangor Kini Pembangkang

 
SHAH ALAM : Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.
 
Keputusan yang dibuat PH Selangor itu mengambil kira dinamik politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.
 
Berikutan itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini adalah pembangkang di DUN Selangor.
 
Selain itu, dua ADUN bebas yang disebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, merujuk kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) yang kemudian dilaporkan menyertai BERSATU selepas dipecat dari PKR dan Hilman Idham (Gombak Setia) yang tidak menyatakan pendirian.
 
Lima ADUN BERSATU itu ialah Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).
 
Amirudin berkata, PH menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu kestabilan dan perpaduan di negeri ini dikekalkan untuk untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat Selangor.
 
“PKR, DAP dan AMANAH bersepakat meneruskan mandat besar yang diterima oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu meneruskan sokongan penuh kepada kepimpinan saya selaku Menteri Besar.
 
“Pimpinan tinggi PH memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa pentadbiran Negeri Selangor tidak lagi dianggotai BERSATU dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan Kerajaan Negeri Selangor dan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.
 
“Pembabitan semua pimpinan dan ahli BERSATU adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini hari ini.
 
Amirudin berkata, kerajaan negeri turut akan membekukan peruntukan terhadap ADUN BERSATU terbabit.
 
Berikutan itu, katanya PH Selangor kini mempunyai 43 wakil rakyat manakala kedudukan ADUN BERSATU itu akan diubah kepada blok pembangkang pada sidang yang akan bermula 16 Mac depan.
 
Perkembangan ini menjadikan komposisi kerusi kerajaan di DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (16) AMANAH (lapan), manakala Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO (lima), PAS (satu) dan BERSATU (lima) serta bebas (dua).
 
Ketika ditanya mengenai pengganti Abdul Rashid sebagai EXCO, katanya ia akan ditentukan kemudian.
 
“Saya akan kemukakan calon kepada Tuanku, setakat ini kita kekalkan sembilan orang EXCO sedia ada,” katanya.
 
Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang melihat beliau masih berpihak kepada Mohamed Azmin, Amirudin berkata beliau hanya menyokong Mohamed Azmin ketika bekas timbalan presiden PKR itu berada dalam PKR.
 
“Saya hanya bersama beliau ketika beliau dalam PKR, tidak sertai beliau menjadi bebas atau dipecat. Saya akan bersama PKR sebab saya janji dan kempen saya dalam pilihan raya dulu,” katanya.
 
Sumber: (Ruwaida Md Zain) Berita Harian, 5 Mac 2020

[Selangorkini] SELCAT, Selangor contoh pada negeri lain

SHAH ALAM, 20 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) yang ditubuhkan Dewan Negeri Selangor (DNS) menjadi contoh serta ikutan pada negeri lain, kata pengerusinya.

Pengerusi Selcat Ng Suee Lim (tengah) bercakap ketika sidang media selepas Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ng Suee Lim yang juga speaker DNS berkata beliau berbangga apabila kehadiran wakil dewan undangan negeri dari Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka memenuhi sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Selcat hari ini.

“Wakil berkenaan datang berkongsi pengalaman Selangor menjalankan sesi tersebut.

“Maka kita bertekad supaya negeri ini sentiasa berada di depan serta menjadi rujukan sekali gus membuktikan kita mengungguli pelbagai bidang termasuk perundangan,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex di sini hari ini.

Hadir sama anggota Selcat, Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sumber: 

https://selangorkini.my/2020/02/selcat-selangor-contoh-pada-negeri-lain/

[Astro Awani] JP-PBT akan bentang penyata selesaikan isu sampah haram di Selangor

KLANG: Jawatankuasa Pilihan Pihak Berkuasa Tempatan (JP-PBT) Selangor akan membentangkan satu penyata kepada kerajaan negeri tahun ini, dalam usaha menyelesaikan masalah pengurusan sampah haram daripada kilang di negeri ini.

Pengerusinya, Dr Daroyah Alwi berkata penyata itu akan mengandungi tatacara pelaksanaan yang perlu dilakukan kerajaan negeri dalam menguruskan sampah termasuk sampah domestik seperti sampah kilang, sampah berjadual dan sampah binaan.

Mengambil contoh Klang, beliau berkata banyak pencemaran berlaku akibat pembuangan sisa plastik oleh kilang plastik di daerah itu melibatkan kawasan di Sementa, Pelabuhan Klang dan Telok Gong.

“Jika dilihat, terlalu banyak aktiviti pelupusan sampah haram berlaku di tempat tersembunyi dan kita tidak mahu perkara ini berterusan. Jadi kita adakan perbincangan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan KDEB Waste Management untuk mengumpul maklumat bagi menyelesaikan masalah ini.

“Klang adalah antara lokasi yang mampu menarik minat pelabur tetapi masalahnya di sini adalah sampah daripada kilang tidak diurus dengan betul.

“Menerusi perbincangan dengan pihak terlibat, kami sasarkan penyata tersebut dapat disiapkan tahun ini,” katanya selepas menghadiri sesi pendengaran tertutup JP-PBT mengenai pengurusan sampah haram di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata penyata tersebut perlu dibuat lebih teliti dengan merujuk semua maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan, JAS dan PTD di setiap daerah.

“Setiap kerja ini (pengurusan sampah) juga melibatkan kos kerana apabila ada sampah mesti ada punca.

“Jadi, kita perlu melihat garis panduan pengurusan sisa pepejal, sisa domestik dan sisa pembinaan ini dalam konteks yang lebih luas,” katanya menambah ramai pihak akan dipanggil untuk mendapatkan solusi berhubung perkara itu.

— BERNAMA

Sumber: 

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/jp-pbt-akan-bentang-penyata-selesaikan-isu-sampah-haram-di-selangor-229848