[Utusan] Selangor kekal negeri pilihan pelabur

SHAH ALAM: Selangor kekal sebagai negeri pilihan pelabur tempatan dan asing walaupun negeri ini berdepan kes harian pandemik Covid-19 berdasarkan pencapaian melebihi sasaran RM12 bilion bagi 2020 dan tahun ini.

Petaling mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi berbanding daerah lain di Selangor dengan nilai pelaburan melebihi RM5.934 bilion, diikuti Kuala Langat melebihi RM5.78 bilion dan Klang melebihi RM3.477 bilion.

Hal demikian disumbang oleh peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri menerusi pakej rangsangan ekonomi bagi memastikan kelangsungan persekitaran perniagaan di Selangor.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur Selangor kekal menjadi pilihan pelabur berikutan terdapat kemudahan infrastruktur serta dasar kerajaan yang memudahkan persekitaran perniagaan.

“Kelebihan daya saing ini menyaksikan prestasi pelaburan dan perindustrian bagi tahun 2020 merekodkan pencapaian yang cemerlang yang mana Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tinggi berbanding negeri lain.

“Sebanyak 324 projek perkilangan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion. Jumlah ini sebanyak RM6.95 bilion atau 30.77 peratus daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM11.48 bilion atau 62.3 peratus daripada pelaburan asing.

“Jepun masih merupakan pelabur utama diikuti pelabur dari Belanda dan China. Di sebalik kemelut pandemik Covid-19, beta dimaklumkan sebanyak 19,950 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan hasil daripada projek perkilangan yang diluluskan di Selangor,” titah baginda dalam ucapan Perasmian Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 hari ini.

Baginda bertitah, tumpuan pelaburan di Selangor turut disumbang oleh pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 di Selangor yang didukung menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Program Vaksin Selangor (SelVax).

“Beta difahamkan kadar vaksinasi di Selangor pada ketika ini adalah yang tertinggi selaras dengan kadar kepadatan penduduk dan bilangan kes yang tinggi.

“Setakat 13 Ogos sebanyak 5,874,162 dos vaksin diberikan kepada rakyat beta melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Ini bermakna 77.64 peratus populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala 46.05 peratus lengkap menerima dua dos.

“Beta turut dimaklumkan sebanyak 276,926 vaksin melalui SelVax diberikan kepada rakyat beta Beta yakin dengan melaksanakan program PICK dan SelVax bakal memberikan manfaat kepada rakyat Selangor,” titah baginda.

Selangor antara negeri terawal membuka kembali Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Johor pada 15 Ogos lalu.

Sidang DUN Selangor akan berlangsung selama sembilan hari bermula hari ini sehingga 3 September hadapan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/selangor-kekal-negeri-pilihan-pelabur/

Penulis: Mohamad Athir Ismail

[Harian Metro] Sultan Selangor mahu Adun bantu rakyat, elak terlalu berpolitik

SHAH ALAM, 23 Ogos — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan menerima titah ucapan daripada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ke-14 di Bangunan Dewan Negeri Selangor hari ini.

 

Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor supaya tidak terlalu banyak berpolitik dan berebut kuasa serta kedudukan sehingga melupakan tanggungjawab utama untuk membela nasib rakyat.

“Tidakkah Ahli-ahli Yang Berhormat sedar bahawa apabila pemimpin-pemimpin politik berebut kuasa dan keadaan politik menjadi tidak stabil maka, rakyat yang terpaksa menanggung kesusahannya.

“Nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat tidak mahu belajar dari sejarah tentang kejatuhan sesebuah negara akibat perebutan kuasa yang mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda sambil menzahirkan rasa dukacita dan kesal melihat pergolakan, pertelagahan dan ketidaktentuan politik negara yang begitu ketara sejak kebelakangan ini.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14, di Dewan Negeri Selangor di sini.

Sultan Selangor bertitah, Adun sudah pastinya menyedari betapa rakyat ketika ini berada dalam keadaan susah dan menderita di kala negara sedang berhadapan wabak Covid-19 dan sepatutnya lebih prihatin tentang masalah rakyat di kawasan masing-masing khususnya, dalam mengenal pasti bantuan yang perlu disalur kepada mereka yang terjejas.

Baginda bertitah, wakil rakyat juga sepatutnya menyemak jumlah rakyat yang hilang pekerjaan dan mencari jalan untuk membantu golongan itu selain mendapatkan data individu yang kehilangan ibu bapa, tempat pergantungan dan berhadapan dengan masalah tekanan hidup.

Menurut baginda, hal ini penting agar perkara itu boleh dibawa ke pengetahuan kerajaan negeri untuk ditentukan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada rakyat.

“Bantulah mereka, carilah mereka, bukan sekadar mencari mereka untuk mendapatkan undi sewaktu pilihan raya semata-mata,” titah baginda.

Sultan Selangor juga mengingatkan Ahli Dewan bahawa mandat yang diberi oleh rakyat adalah amanah daripada Allah yang perlu dilaksana dengan jujur, bertanggungjawab dan penuh keikhlasan.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/745869/sultan-selangor-mahu-adun-bantu-rakyat-elak-terlalu-berpolitik

[Berita Harian] Istiadat pembukaan DUN Selangor dibuat ringkas – Speaker

SHAH ALAM: Istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-14 pada Isnin ini akan berlangsung secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim, berkata majlis akan berlangsung secara penuh istiadat namun diringkaskan dengan kehadiran sekitar 150 orang berbanding 500 orang pada persidangan DUN biasa sebelum ini bagi mengelak terlalu ramai orang berkumpul.

Beliau berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan istiadat pembukaan yang akan turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

“Istiadat pembukaan kali ini berlangsung tanpa acara perbarisan dan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Sultan Selangor,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebagai langkah persediaan dan keselamatan katanya, ujian saringan COVID-19 dilaksana selama dua hari bermula semalam kepada semua pihak yang akan hadir pada istiadat pembukaan itu nanti.

Suee Lim berkata setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga diberi lima kit ujian RTK-Antigen untuk membuat ujian kendiri pengesanan COVID-19 sepanjang sidang DUN yang berlangsung hingga 6 September.

Beliau berkata setiap ADUN boleh membuat ujian itu selang dua atau tiga hari sepanjang dua minggu persidangan dan sekiranya didapati positif, mereka tidak boleh menghadiri persidangan dan tindakan susulan lain akan diambil.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk memastikan sidang kali ini dibuat secara kehadiran penuh meskipun dalam keadaan pandemik ketika ini kerana reka bentuk dewan telah mematuhi penjarakan fizikal selain langkah-langkah kawalan pencegahan COVID-19 lain akan dilaksanakan.

Bagi persidangan kali ini, Suee Lim berkata antara usul utama yang akan dibawa ialah meminda Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1995 untuk memasukkan satu klausa iaitu pada waktu ketika luar jangka, kemudaratan, bencana dan sebagainya, Speaker akan diberi kuasa untuk boleh mengadakan sidang secara maya atau hibrid sekiranya perlu.

“Sekarang ini perkara itu tidak ada dalam Peraturan Tetap, jadi kita nak pastikan ia lebih sempurna kalau usul ini diluluskan kita akan hantar kepada Jawatankuasa Peraturan Tetap untuk kita teliti dan diangkat semula pada persidangan belanjawan akan datang,” katanya.

Suee Lim berkata DUN Selangor adalah negeri pertama setakat ini mengadakan usul bagi pindaan Peraturan Tetap untuk membolehkan persidangan dilakukan secara hibrid atau maya.

“Ini persediaan untuk 20 ke 30 tahun akan datang mungkin kita tak pakai (sekarang) tetapi buat persediaan lebih rapi kerana dewan kita adalah mulia dan unggul jadi kita mahu segalanya berjalan sempurna,” katanya. – BERNAMA

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/853615/istiadat-pembukaan-dun-selangor-dibuat-ringkas-speaker

[Sinar Harian] Sidang DUN Selangor tumpu isu Covid-19, agihan vaksin

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadual bermula pada 23 Ogos sehingga 6 September depan dijangka memberi tumpuan terhadap isu penularan Covid-19 dan agihan vaksin di negeri tersebut.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, persidangan pada kali ini masih dijalankan mengikut norma baharu bagi memastikan keselamatan kesihatan semua pihak terjamin daripada ancaman jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berkenan merasmikan dan menyampaikan titah diraja sewaktu pembukaan sidang berkenaan.

“Pada hari kedua pula, semua wakil rakyat akan membahaskan titah diraja berkenaan dan kemudian pertanyaan soalan mulut akan dibangkitkan melibatkan beberapa perkara antaranya Covid-19 dan agihan vaksin,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Sultan Sharafuddin memberi perkenan bagi pembukaan Sidang DUN Selangor selaras dengan peruntukan termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata, seramai kira-kira 150 individu secara keseluruhan terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Exco, petugas dan media akan mula menjalani ujian saringan Covid-19 pada Jumaat ini.

“Setiap pihak yang mengikuti Sidang DUN Selangor perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu sebagai langkah keselamatan bagi menggelakkan penularan Covid-19,” katanya.

Tambah beliau, segala persiapan untuk perjalanan persidangan kali ini berjalan lancar dan teratur bagi memastikan keselamatan kesihatan semua pihak terjamin.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/155853/EDISI/Sidang-DUN-Selangor-tumpu-isu-Covid-19-agihan-vaksin

[Berita RTM] Sidang DUN Selangor bermula 23 Ogos

SHAH ALAM, 9 Julai – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mula bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pembukaan sidang DUN tersebut diberi perkenan baginda melalui warkah yang diutuskan bertarikh 6 Julai.

Jelas Datuk Seri Amirudin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memberi perkenan bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Selangor Ke-14 Tahun 2021.

Sultan Selangor berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada 23 Ogos depan.

Selepas istiadat pembukaan, DUN kemudian akan mula bersidang iaitu pada 24 hingga 27 Ogos, 30 Ogos, 1 September hingga 3 September serta 6 September.

Sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan.

Ia bukan sekadar sidang khas.

Sumber: https://berita.rtm.gov.my/index.php/semasa/28824-sidang-dun-selangor-bermula-23-ogos

Penulis: Media Baharu

[Astro Awani] Agong perkenan pembukaan sidang DUN Selangor bermula 23 Ogos – MB

 

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mula bersidang pada 23 Ogos hingga 6 Sept depan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan sidang DUN tersebut diberi perkenan Seri Paduka melalui warkah yang diutuskan Al-Sultan Abdullah bertarikh 6 Julai (Selasa).

Amirudin berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021.

“Sultan Selangor telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos depan.

“Kerajaan negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata selepas istiadat pembukaan, DUN kemudian akan mula bersidang selama lapan hari, iaitu 24 hingga 27 Ogos; 30 Ogos, 1 Sept hingga 3 Sept serta 6 Sept depan.

Katanya lagi, sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.

“Sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak COVID-19, serta mendapatkan maklum balas dan cadangan Ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

“Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak COVID-19 di Selangor,” katanya.

[Keterangan Gambar: Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan sidang DUN tersebut diberi perkenan Seri Paduka melalui warkah yang diutuskan Al-Sultan Abdullah bertarikh 6 Julai (Selasa). – Gambar fail]

– BERNAMA

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/613556/56-anak-muda-akan-sertai-sidang-dun-selangor

[Selangorkini] DUN Bandar Utama kumpul senarai individu layak dapat vaksin

PETALING JAYA, 1 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sedang mengumpulkan senarai nama penerima yang layak mendapat suntikan pelalian di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax).

Ahli Dewan Negerinya berkata semakan terperinci akan dibuat sebelum pendaftaran dibuka dengan setiap DUN diperuntukkan kuota seramai 2,600 orang.

Jamaliah Jamaluddin berkata sasaran adalah mereka dalam kategori penerima Inisiatif Peduli Rakyat sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

“Ia termasuk individu banyak menyumbang kepada ekonomi negeri misalnya penjaja kecil, pemandu e-panggilan dan mereka yang sering mendampingi masyarakat setempat.

“Selain itu, pertimbangan bagi kes khas seperti orang kelainan upaya (OKU), mereka yang mempunyai penyakit kritikal dan belum mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah isu pembuangan sampah haram di kawasan perumahan SS20 di sini hari ini.

Sementara itu, Jamaliah berkata setiap wakil rakyat memiliki perancangan masing-masing bagi memastikan rakyat mendapat vaksin seterusnya membantu melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sebagai contoh, Bandar Utama tiada banyak kilang berbanding kawasan lain, jadi sudah tentu kita tidak akan menumpukan pekerja kilang,” katanya lagi.

Selvax dilancarkan Kerajaan Selangor bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (kiri) dan Ahli Majlis MBPJ Zon 6, Loyis Uding (kanan) menunjukkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah haram di SS20, Petaling Jaya pada 1 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumber: https://selangorkini.my/2021/07/dun-bandar-utama-kumpul-senarai-individu-layak-dapat-vaksin/

[Sinar Harian] BBC, pembangkang Selangor sokong pembukaan sidang DUN

SHAH ALAM – Majlis Penyokong Kerajaan (BBC) dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor senada menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan segera.

Pengerusi BBC, Elizabeth Wong dan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail dalam satu kenyataan bersama berkata, kedua-dua pihak amat menjunjung tinggi pandangan Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu agar Parlimen bersidang segera untuk membincangkan isu negara dan rakyat dalam menangani pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan itu, pihak mereka juga akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Selangor untuk membuka sidang DUN selaras dengan komitmen Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 17 Jun lalu.

“Kami akan memberi komitmen sepenuhnya agar inisiatif kerajaan negeri Selangor untuk membuka DUN Selangor dapat dilaksanakan segera selaras dengan titah dan pandangan Al-Sultan Abdullah dan Raja-raja Melayu,” kata kenyataan tersebut pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, sidang DUN dan Dewan Rakyat amat penting supaya setiap perbahasan berkenaan isu-isu rakyat mampu diperhalusi bersama dalam agenda memerangi pandemik Covid-19.

“Keprihatinan Seri Paduka Baginda dan Raja-raja Melayu perlu diambil secara serius oleh semua pihak agar isu rakyat, ekonomi dan negara mampu ditangani dengan segera,” katanya.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145731/BERITA/Politik/BBC-pembangkang-Selangor-sokong-pembukaan-sidang-DUN

[Selangorkini] Sidang DNS lulus Belanjawan 2021, usul penting libatkan rakyat

SHAH ALAM, 11 NOV: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan Belanjawan 2021 berjumlah RM2.32 bilion selepas berlangsung 13 hari, kata speaker.

Ng Suee Lim berkata tiga usul penting turut diluluskan iaitu pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999, penggantian saluran paip baharu dan mempertahankan hutan simpan kekal di negeri ini.

“Pindaan Enakmen Luas yang bakal diwarta mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah yang mencemarkan sumber air.

“Selain itu semua wakil rakyat turut bersetuju mempertahankan hutan simpan kekal di negeri ini sebagai kawasan tadahan air bagi tempoh jangka panjang,” katanya pada sidang media di lobi Annex DNS hari ini.

Beliau berkata biarpun persidangan kali ini berlangsung dalam suasana mencabar susulan peningkatan kes Covid-19, namun Kerajaan Negeri komited untuk membahas isu penting melibatkan rakyat.

“Ada negeri yang pendekkan waktu persidangan tetapi Selangor mengambil keputusan meneruskan bagi memastikan semua isu dapat dibahas serta mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Persidangan DNS bermula 30 Oktober mewajibkan Ahli Dewan Negeri, kakitangan kerajaan, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19.

Sumber: https://selangorkini.my/2020/11/sidang-dns-lulus-belanjawan-2021-usul-penting-libatkan-rakyat/

[Harian Metro] 56 anak muda akan sertai sidang DUN Selangor

NG Suee Lim pada sidang media selepas merasmikan program ADN Muda Selangor Virtual di Bangunan Annex, SUK Selangor. FOTO Muhd Asyraf Sawal

SERAMAI 56 anak muda berusia antara 15 tahun hingga 35 tahun akan diberi pendedahan politik di peringkat awal menerusi Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor.

Ia akan diadakan secara dalam talian pada 3 Oktober depan, sekali gus menjadikan Selangor negeri pertama yang melaksanakan program seumpama itu.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, program julung kali diadakan itu akan membabitkan belia luar bandar, orang kurang upaya (OKU), Orang Asli serta golongan B40.

“Mutakhir ini politik negara diwarnai pelbagai insiden menyebabkan sesetengah anak muda kurang minat, sangsi, was-was dengan politik hari ini, sebab itu kita ambil inisiatif ini.

“Ia bertujuan memberikan pendedahan awal bagi proses penggubalan undang-undang sama ada di peringkat tempatan atau kebangsaan, serta merapatkan jurang mereka dengan wakil rakyat, memahami peranan dan tanggungjawab seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Mereka akan diberikan peluang memahami prosiding sebenar sebagai Adun dalam sidang dewan negeri selain mencadang dan membalas usul khususnya yang memberi impak kepada golongan muda,” katanya dalam sidang media di SUK Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Ng berkata, kumpulan anak muda itu akan mewakili setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dan berkemungkinan mengikut komposisi kerajaan dan pembangkang yang ada di Selangor.

“Setakat ini, kita sudah menerima 316 permohonan dan saya menyeru anak-anak muda di seluruh Selangor merebut peluang menyertai program ini.

“Permohonan dibuka dalam tempoh dua minggu mulai 21 Ogos hingga 4 September depan,” katanya.

Menurutnya, ia boleh dilakukan secara dalam talian di Facebook, Instagram dan Twitter: @PAMSVirtual atau portal rasmi Dewan Negeri Selangor, dewan.selangor.gov.my sebelum jam 5 petang 4 September.

Beliau berkata, antara persediaan awal yang dilakukan termasuk raptai, penerangan kepada peserta terpilih kerana persidangan itu perlu mengikut peraturan tetap Dewan sebagaimana persidangan sebenar.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/08/613556/56-anak-muda-akan-sertai-sidang-dun-selangor

Penulis: Ruwaida Md Zain, am@hmetro.com.my