[Selangorkini] Kementerian Pertanian diminta beri bantuan khas kepada 10,000 pesawah

Shah Alam, 2 Disember: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan diminta memberi bantuan khas secara terus kepada 10,000 pesawah di Selangor yang terjejas hasil tuaian mereka kerana menggunakan benih padi dibekalkan kerajaan.

Wakil rakyat Sekinchan berkata jumlah 10,000 pesawah yang terjejas itu merangkumi kawasannya, Permatang dan Sabak.

“Hasil tuaian yang diperoleh pesawah merosot teruk sehingga ke lima tan berbanding sebelum ini hanya lapan hingga 10 tan.

“Selain faktor cuaca dan amalan penanaman yang tidak komprehensif, punca utama adalah benih padi yang dibekalkan oleh kementerian dan Mardi kurang berkualiti seperti MR307, 303, 297 dan CL2,” kata Ng Suee Lim pada sidang media di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Katanya potongan beras basah yang dikenakan sehingga lebih 20 peratus juga membebankan dan menjejaskan pendapatan di mana petani mengalami kerugian sekitar RM5,000.

“Memandangkan hasil tuaian merosot kerana benih padi kurang berkualiti, saya minta agar YB menteri menimbang bantuan khas ‘one off’ sebanyak RM2,000 disalurkan kepada petani untuk meringankan beban,” katanya.

Suee Lim yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor juga menyatakan beliau telah menghantar surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan pada 29 November lalu berkaitan masalah yang dihadapi golongan pesawah ini.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/kementerian-pertanian-diminta-beri-bantuan-khas-kepada-10000-pesawah/

[Utusan] 4,978 Kes keganasan rumah tangga sejak 2018

Shah Alam: Sebanyak 4,978 kes keganasan rumah tangga dicatatkan di Selangor dari tahun 2018 sehingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, tahun ini mencatatkan laporan tertinggi iaitu, 1.,519 kes berbanding sebelum ini.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah berkaitan keganasan rumah tangga, perkhidmatan Talian Selamat diperkenalkan kerajaan negeri dan mula beroperasi sejak awal bulan ini.

“Seperti yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0, kerajaan negeri telah menyediakan Talian Selamat sebagai talian khas untuk masyarakat membuat aduan berhubung isu keganasan rumah tangga yang telah beroperasi sejak 1 November lalu.

“Selain itu, syarikat Wanita Berdaya Selangor Sdn. Bhd. (WBS) kini sedang mengadakan Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender sebagai langkah advokasi kepada masyarakat,” katanya ketika Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14 Tahun 2021 di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Menurutnya, talian tersebut baru menerima 14 panggilan, yang mana tujuh panggilan adalah berhubung keganasan rumah tangga.

“Daripada tujuh panggilan KRT, tiga panggilan adalah kes psikologi, tiga panggilan lagi adalah kes fizikal manakala satu panggilan adalah kes ekonomi.

“Melalui talian berkenaan, pemanggil telah ditawarkan untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling atau intervensi daripada Pusat Kaunseling Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri atau badan bukan kerajaan (NGO),” katanya. -UTUSAN ONLINE

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/11/sidang-dun-selangor-4978-kes-keganasan-rumah-tangga-sejak-2018/

[Selangorkini] MB ajak orang ramai ikuti Belanjawan #Selangor2022 Jumaat ini

Shah Alam, 23 Nov: Dato’ Menteri Besar mengajak penduduk negeri ini menyaksikan pembentangan Belanjawan #Selangor2022 yang berbaki tiga hari lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembentangan itu boleh ditonton secara langsung menerusi Facebook rasmi Amirudin Shari dan Media Selangor pada jam 3 petang.

“Bersama ikuti rancangan serta inisiatif Kerajaan Negeri untuk merangsang semula dan memulihkan kembali keadaan ekonomi rakyat negeri ini menerusi Belanjawan Negeri tahun hadapan,” tulisnya di Twitter.

Selain dua carian itu, Belanjawan #Selangor2022 yang akan dibentang di Dewan Negeri Selangor juga boleh diikuti melalui SelangorTV (selangortv.my)

Liputan berita majlis penting itu pula boleh diikuti melalui portal Selangorkini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain termasuk Mandarin (selangorkini.my/zh-hans/) serta Tamil (selangorkini.my/ta/).

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan http://selangorjournal.my

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan belanjawan bakal menumpukan kepada usaha merancakkan semula ekonomi bagi membantu rakyat pasca wabak.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/11/mb-ajak-orang-ramai-ikuti-belanjawan-selangor2022-jumaat-ini/

[Selangorkini] Wakil rakyat cadang tambah baik inisiatif untuk rakyat

Shah Alam, 9 Okt: Ahli Dewan Negeri Seri Setia berharap Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang menawarkan 33 kemudahan kepada penduduk ditambah baik supaya lebih ramai memperoleh manfaat. Halimey Abu Bakar juga meminta Kerajaan Negeri mempertimbang untuk menambah peruntukan sedia ada untuk sesebuah inisiatif berkenaan jika tidak mencukupi.

“Kalau peruntukan habis untuk sesebuah skim, kerajaan perlu pertimbang tambah sedikit hingga hujung tahun,” katanya dalam Sesi Townhall Belanjawan 2022 di sini semalam.

Sesi itu membabitkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin, Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor (BBC) dan pegawai kanan Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki pula membawa isu pemulihan ekonomi, aktiviti belia melibatkan pengundi baharu dan usaha memperkasa wanita.

“Ketiga-tiga isu tersebut penting. Ini juga peluang untuk memulihkan situasi ekonomi terutama dalam DUN Balakong.

“Biarpun pendapatan Kerajaan Negeri kurang berbanding tahun-tahun lalu tetapi penting untuk beri bantuan dan peruntukan kepada sektor utama,” katanya.

Wakil rakyat DUN Sentosa Dr Gunaraj George pula mencadangkan penganjuran kempen Selangor bersih dan hijau dalam menangani masalah sampah.

“Selangor negeri membangun dengan pesat tetapi ada masalah seperti sampah. Jika tidak ditangani, ia bawa tanggapan kepada masyarakat yang kita tidak mampu tangani,”katanya.

Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa Suzana Shaharudin pula mengambil peluang memberi cadangan supaya diwujudkan kursus pensijilan kepada golongan menjaga kanak-kanak hingga berusia empat tahun.

“Kerajaan Negeri diharap dapat pertimbang dan melakukannya di setiap DUN kerana kursus ini bagus untuk perkembangan kanak-kanak sebelum memasuki persekolahan.

“Saya juga berharap belanjawan dapat memfokuskan kepada wanita, belia dan kanak-kanak,”katanya yang pertama kali menyertai sesi itu.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/10/wakil-rakyat-cadang-tambah-baik-inisiatif-untuk-rakyat/

[Selangorkini] Kerajaan Negeri libatkan ADN sedia Belanjawan 2022

Shah Alam, 8 Okt: Semua Ahli Dewan Undangan (ADN) terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2022, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesi belanjawan pada tahun ini berbeza dan diadakan secara berasingan dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Pada hari ini secara spesifik bersama Ahli Dewan Negeri untuk memberi pandangan dalam belanjawan. Mereka memberi cadangan dan harus tahu keadaan Kerajaan Negeri secara langsung atau kedudukan sebenar peruntukannya.

“Penglibatan ADN ini membolehkan mereka faham secara keseluruhan apa yang berlaku dan mengemukakan cadangan,” katanya.

Beliau ditemui pada sesi Townhall Belanjawan 2022 hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Selangor Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata beliau juga akan membuat perjumpaan bersama wakil pembangkang dalam masa terdekat.

“Tujuan perjumpaan ini adalah untuk membincangkan bagaimana pembentangan belanjawan,” katanya.

 

Sumber: https://selangorkini.my/2021/10/kerajaan-negeri-libatkan-adn-sedia-belanjawan-2022/

[Selangorkini] Isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibawa ke Selcat

Shah Alam, 8 Sept: Isu penyahwartaan sebahagian Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) akan dibawa ke sidang Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menegaskan Kerajaan Negeri mematuhi semua prosedur dan tatacara undang-undang sepanjang proses penyahwartaan sebelum ini.

“Sebagai sebuah kerajaan berteras prinsip akauntabiliti, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada Speaker Dewan Negeri Selangor (Ng Suee Lim) untuk mengadakan sidang Selcat bagi menjawab sebarang isu dibangkitkan berkenaan penyahwartaan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan pada 8 September.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri membatalkan keputusan menyahwarta HSKLU kecuali 104 ekar untuk pemilikan tanah Kampung Orang Asli Busut Baru.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga mempertimbang sebahagian kecil lagi kawasan kekal dinyahwarta untuk jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Hutan gantian seluas 1,436 ekar di Sungai Panjang, Sabak Bernam; Ampang Pechah, Hulu Selangor dan Bukit Broga, Hulu Langat turut kekal sebagai hutan simpan kekal.

Kawasan itu dicadang menggantikan 1,326 ekar di HSKLU yang dinyahwarta.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/09/isu-nyahwarta-hutan-simpan-kuala-langat-utara-dibawa-ke-selcat/

 

[Selangorkini] Lebih satu perempat RM2.2 bilion belanjawan untuk program kebajikan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih satu perempat daripada RM2.2 bilion peruntukan Belanjawan Selangor 2021 untuk program kebajikan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi memastikan tiada sesiapa tercicir bantuan yang turut disalurkan dalam bentuk pemerkasaan perniagaan.

“Secara asasnya sejak dari 2008 Kerajaan Selangor telah memperkenal program-progam kebajikan yang mana dari tujuh program ia berkembang hingga kepada 33 program ketika ini.

“Kita ada pelbagai program antaranya air percuma, kemudian ada program baru seperti RiDE (Roda Darul Ehsan) dan program AnIS (Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor) untuk anak kurang upaya,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Hulu Kelang Saari Sungib mengenai jenis bantuan dan jumlah bantuan yang disalurkan Kerajaan Negeri pada 2021.

Amiruddin berkata bagi tujuan pemerkasaan, Kerajaan Negeri membelanjakan RM80 juta menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 dalam bentuk pinjaman kepada 50,000 peminjam bagi tujuan mengembangkan perniagaan.

“RiDE sebagai contoh, ia satu usaha memastikan anak muda mendapat bantuan dan sokongan untuk mendapat lesen motosikal selain dapat berniaga dalam bidang e-panggilan.

“Pakej Kita Selangor 2.0 juga melihat kepentingan pekerjaan, justeru kita buat Selangor Freelance, Selangor Rakan Digital dan Selangor Kerjaya kerana kita jangka ramai yang mungkin hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/08/lebih-satu-perempat-rm2-2-bilion-belanjawan-untuk-program-kebajikan/

Penulis: Mustakim Ramli

[Utusan Malaysia] ADUN Selangor dapat peruntukan RM200,000, tambahan RM50,000

Shah Alam: Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor menerima sejumlah peruntukan tahunan iaitu sebanyak RM200,000 sama seperti tahun lalu.

Malah bagi tujuan membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19, sejumlah RM50,000 peruntukan tambahan diberikan yang sebelum ini digunakan dalam penganjuran program berkaitan rakyat seperti hari perayaan, majlis dan sebagainya.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, pemberian peruntukan itu adalah sama tanpa mengira sama ada ADUN itu berada di pihak kerajaan negeri ataupun pembangkang.

katanya, bagi tujuan membantu rakyat, terdapat peruntukan lain disalurkan untuk program bakul makanan dan sebagainya yang diberikan kepada semua wakil rakyat dan pemimpin tempatan.

“(Selain peruntukan tersebut), kerajaan negeri telah memperuntukkan RM10.03 juta sehingga 16 Ogos ini untuk program bakul makanan kepada semua ADUN, Ahli Parlimen negeri dan Majlis Perundingan Ketua Kampung (MPKK).

“Manakala dalam peruntukan program bakul makanan yang berasingan, kerajaan negeri turut membelanjakan sebanyak RM2.3 juta kepada kumpulan Orang Asli, pemandu bas sekolah dan teksi, penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemandu lori dan krew pembersihan KDEB Waste Management (KDEBWM), petani, peternak, nelayan dan pengusaha asas tani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini menjawab soalan yang diberikan ADUN Semenyih, Zakaria Hanafi berhubung isu peruntukan ADUN Pembangkang. 

Selain itu, beliau turut menjawab soalan tambahan diberikan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping mengenai peruntukan tambahan dan Amirudin memaklumkan kerajaan negeri merancang untuk melaksanakannya.

“Namun, kita kembali kepada format asal kerana ada permintaan daripada (beberapa ADUN).

“Selain itu, tidak banyak program yang boleh dibuat ketika pandemik Covid-19 seperti keraian hari perayaan, majlis untuk rakyat dan sebagainya. Jadi, kita kekal untuk beri peruntukan tambahan RM50,000 sahaja,” katanya. – UTUSAN

Sumber: https://www.utusan.com.my/terkini/2021/08/adun-selangor-dapat-peruntukan-rm200000-tambahan-rm50000/

 

[Harian Metro] SelVAX siap sedia laksana suntikan ketiga vaksin Covid-19

Shah Alam: Kerajaan negeri menerusi Program Selangor Vaksin (SelVAX) kini dalam persediaan melaksanakan suntikan ketiga (booster shot) sekiranya perlu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, persediaan turut dilakukan untuk penerima vaksin bagi golongan berusia 18 tahun ke bawah.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada kelulusan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid (JKJAV),” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab soalan Wong Siew Ki (PH-Balakong) yang bertanya mengenai jumlah baki vaksin Program SelVAX serta perancangan yang akan dilakukan dengan baki vaksin berkenaan.

Dr Siti Mariah berkata, sehingga 22 Ogos lalu, bilangan dos vaksin yang sudah disuntik menerusi SelVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos dan baki dos adalah sebanyak 275,120 dos.

“Bagi SelVAX Industri, bilangan dos vaksin yang sudah disuntik (sehingga 22 Ogos) adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang sudah dibeli. Justeru, baki dos adalah sebanyak 607,281 dos,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah turut memohon maaf kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bukan kerajaan di Selangor kerana tidak memaklumkan berhubung maklumat terkini khususnya pembatalan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SelVAX.

“Secara umumnya keseluruhan (program SelVAX) berjalan dengan baik namun saya minta maaf kalau maklumat tidak sampai kepada Adun (bukan kerajaan). Ini kerana kita membuat banyak hebahan di media sosial mengenai lokasi PPV, bila dan sebagainya.

“InsyaAllah, selepas ini saya sendiri akan hantar kepada semua Adun bukan kerajaan. Saya minta maaf sebab kita ada juga kepada penyelaras Adun dan maklumat ini sampai pada mereka,” katanya yang menjawab soalan tambahan Haniza Mohamed Talha (PN-Lembah Jaya) berhubung pembatalan operasi PPV SelVAX yang tidak dimaklumkan kepada Adun bukan kerajaan di Selangor.

Sementara itu, Dr Siti Mariah memaklumkan setakat ini kerajaan negeri sudah memperuntukkan kira-kira RM130 juta untuk pembelian 1.25 juta dos vaksin.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/08/746760/selvax-siap-sedia-laksana-suntikan-ketiga-vaksin-covid-19-metrotv

[Selangorkini] Sultan sukacita bantuan negeri ringan beban rakyat ketika pandemik

Shah Alam, 23 Ogos: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan sukacita atas usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah bantuan itu dapat meringankan beban rakyat ketika berdepan kemelut dan kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Beta berharap bantuan-bantuan seumpama ini sampai ke golongan sasar dan golongan terkesan tepat pada masanya untuk meringankan beban segolongan rakyat beta bagi meneruskan kelangsungan hidup,” titah Baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan pertama tahun lalu, Kerajaan Negeri mengambil berat golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang terjejas akibat kelembapan ekonomi.

Sepanjang tahun lalu, negeri ini menyediakan dua pakej bantuan Selangor Prihatin dan program pemulihan ekonomi, malah Belanjawan 2021 mengambil kira faktor ekonomi tidak menentu akibat wabak tersebut.

Pakej bantuan disediakan seperti berikut:

1. Selangor Prihatin Fasa 1 (20 Mac 2020) – RM127.8 juta
2. Selangor Prihatin Fasa 2 (1 April 2020) – RM272.5 juta
3. Pelan Pemulihan Ekonomi (13 Julai 2020) – RM55.85 bilion (nilai ekonomi)
4. Pakej Kita Selangor 1.0 (20 Januari 2021) – RM73.877 juta
5. Pakej Kita Selangor 2.0 (9 Jun 2021) – RM551.56 juta

Dalam titahnya, Sultan Selangor turut menzahirkan sukacita terhadap pelaksanaan Saringan Komuniti secara percuma bagi mengesan jangkitan wabak pada peringkat awal.

Baginda bertitah lebih RM20 juta dibelanjakan negeri yang memanfaatkan seramai 177,823 individu termasuk pemberian 60,000 kit saringan kendiri secara percuma.

“Dalam kalangan pemain industri pula, kerajaan beta melaksanakan sistem Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS) bagi membantu syarikat, kilang, pejabat dan tempat kerja untuk mengesan sebarang penularan wabak Covid-19.

“Sistem ini juga dapat mengawal perebakan virus supaya tidak mencipta kluster di luar kawalan,” titah Sultan Selangor lagi.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/08/sultan-sukacita-bantuan-negeri-ringan-beban-rakyat-ketika-pandemik/