[Selangorkini] Banjir kilat: Lebih 1,000 penduduk DUN Pelabuhan Klang dipindahkan

Shah Alam, 18 Dis: Seramai 1,130 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2.30 pagi.

Wakil rakyat Azmizam Zaman Huri berkata 400 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah Kampung Nelayan Telok Gong (300) dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong (70).

Seramai 40 orang di tempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Telok Gong, SRA Pulau Indah (100), Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah (150) dan Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah (70).

“Pihak Bomba masih lagi membantu memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka yang terjejas ke pusat pemindahan berdekatan,” katanya.

Azmizam berkata mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir boleh menghubungi pejabatnya di talian 017-2434200.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata lebih 800 mangsa banjir dari Kampung Johan Setia ditempatkan di PPS setakat ini.

“Di Sungai Kandis kawasan paling teruk di Kampung Johan Setia, ada juga beberapa penempatan terjejas tetapi jumlah mangsa tidak seramai di sana.

“Kita masih memantau keadaan untuk menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas,” katanya.

Semalam, bomba melaporkan sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/banjir-kilat-lebih-1000-penduduk-dun-pelabuhan-klang-dipindahkan/

[Selangorkini] DUN Sentosa realisasi impian 100 kanak-kanak miliki barang idaman

Klang, 16 Dis: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa merealisasikan impian 100 kanak-kanak untuk memiliki barang idaman selepas hampir sembilan bulan tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata kanak-kanak berusia antara lima hingga 12 tahun menerima basikal, papan selaju, kasut sukan, alat permainan dan perkakas sekolah bernilai antara RM50 hingga RM300.

Menurut Dr G Gunarajah, inisiatif ‘Kids Wishlist Come True’ dengan kerjasama syarikat Concentrix bagi memberikan keceriaan kepada kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Idea pelaksanaan program ini tercetus sejak Mac lagi apabila kita menyedari ramai kanak-kanak daripada keluarga susah tertekan kerana duduk di rumah sepanjang pandemik.

“Jadi, peluang diberi kepada mereka untuk menyatakan kemahuan dengan harapan dapat mengembalikan kegembiraan walaupun sedikit lambat kerana kekangan pandemik,” katanya ditemui di Pusat Pembangunan Komuniti DUN Sentosa di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Concentrix Shreenath Venukopalan berkata seramai 4,500 kakitangan syarikat terbabit mencari barang berkaitan menggunakan wang sendiri bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Dalam tempoh seminggu, pekerja kami yang majoritinya bukan warganegara bergerak mengikut kumpulan dan berhasil mendapatkan barang tersebut.

“Kesemua mereka menunjukkan semangat berpasukan yang sangat baik. Kami gembira kerana dapat menyumbang khidmat kepada komuniti,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/dun-sentosa-realisasi-impian-100-kanak-kanak-miliki-barang-idaman/

[Sinar Harian] DUN Selangor lulus turun had umur ADUN kepada 18 tahun

Shah Alam – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur seseorang warganegara layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun pada Isnin.Pindaan terhadap Perkara 63 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2021 itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 10 ADUN pada Sidang DUN Selangor di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pindaan tersebut adalah mengikut Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 (Akta A1603) bagi menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun untuk calon ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan melalui Akta A1603 juga dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon ahli ADUN daripada 21 ke 18 tahun.

“Jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan untuk meminda Undang-Undang Tubuh bagi menguatkuasakan pindaan berkaitan had umur calon DUN tersebut, berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan perkara tersebut.

“Berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan perkara tersebut berhubung had umur ADUN atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika Sidang DUN di Dewan Negeri Selangor, di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim berkata, walaupun terdapat beberapa ahli ADUN yang mempunyai persepsi berbeza tentang Rang Undang-undang (RUU) tersebut, namun pihak kerajaan dan pembangkang bersetuju tentang perkara berkenaan secara dasarnya.

Suee Lim ketika ditemui media selepas Sidang DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Ujarnya, ia merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan kepada anak muda, yang menunjukkan Selangor bersiap sedia untuk pastikan calon-calon berumur 18 tahun boleh bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Kita tahu kekuatan, inovasi serta kreatifnya anak muda ini pada masa akan datang menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri Selangor.

“Jadi suara anak muda Selangor kita dengari dan kita nak pastikan penyertaan anak muda seramai mungkin selaras dengan Undi18 dan juga calon.

“Jika anak muda itu bersedia untuk berkecimpung dalam politik bagi menentukan hala tuju negara dan mencurahkan bakti kepada tanah air dalam aspek sosioekonomi, arena politik inilah tempat terbaik bagi mereka menonjolkan bakat sebagai pemimpin masa depan,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/176400/EDISI/DUN-Selangor-lulus-turun-had-umur-ADUN-kepada-18-tahun?

[Selangorkini] Selangor lulus had umur calon wakil rakyat turun kepada 18 tahun

Shah Alam, 6 Disember: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor  (Pindaan) 2021 bagi menurunkan had umur warganegara layak menjadi wakil rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pindaan itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri (ADN) ketika sesi pengundian dijalankan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau berterima kasih kepada semua wakil rakyat dan speaker yang bertanggungjawab dalam menyokong dan menerima pindaan itu.

“Terima kasih speaker, ahli dewan yang berbahas sepanjang usaha kita untuk pinda Undang Undang -Perkara 63 khusus tentang had umur pengundi dan yang dipilih dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau kita tak ubah, persekutuan berupaya untuk kekal melaksanakan peraturan ini. Namun untuk solidariti, menjadi tanggungjawab semua untuk sokong dan terima pindaan ini yang telah diterima hampir semua negeri di mana Perak dan Perlis negeri terawal terima dan akan laksana tahun depan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, Speaker Ng Suee Lim ketika ditemui di luar sidang berkata pindaan tersebut menjadi lembaran baharu buat negeri ini di mana anak muda diberikan pengiktirafan bagi membolehkan mereka bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

“Suara anak muda kita dengari, kita akan pastikan penyertaan seramai mungkin selaras dengan undi 18 dan juga calon.

“Mungkin ada yang belum bersedia, ada perspektif berlainan tetapi di dewan ini kita nampak semua bersetuju baik dari pihak kerajaan, mahu pun pembangkang. Semuanya sebulat suara,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/selangor-lulus-had-umur-calon-wakil-rakyat-turun-kepada-18-tahun/

[Selangorkini] Deposit pembangunan tanah turun 50 peratus, galak syarikat melabur

Shah Alam, 6 Disember: Kerajaan Negeri menurunkan deposit tanah sebanyak 50 peratus kepada syarikat yang ingin melabur pada tahun hadapan.Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil selepas kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini membebankan pelabur.

“Dasar yang dikemukan sebelum ini membebankan pelabur antaranya adalah bayaran deposit, deposit mereka (pelabur) perlu dibayar 150 peratus berbanding kadar yang ditetapkan dalam kaedah tanah-tanah Selangor.

“Kali ini untuk 2022, kita letakkan deposit 100 peratus sahaja maknannya pada paras kadar penilaian yang diberikan JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga kaedah tanah Selangor supaya bebanan mereka dikurangkan dan segera melabur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Kerajaan Negeri mempertimbang syarat yang lebih fleksibel pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada 3 Disember tahun lalu, Amirudin berkata dasar Kelulusan 100 Hari yang dilaksanakan sejak Januari berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Beliau memaklumkan dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari dilihat lebih mesra pelabur.

Dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/deposit-pembangunan-tanah-turun-50-peratus-galak-syarikat-melabur/

[Selangorkini] Peruntukan RM4.9 juta atasi masalah banjir di Dusun Tua

Shah Alam, 3 Disember: Kerajaan Negeri membelanjakan lebih RM4.9 juta untuk mengatasi masalah banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua dalam tempoh empat tahun.

EXCO infrastruktur Ir Izham Hashim berkata peruntukan sejak 2018 sehingga Oktober lalu membabitkan kerja penyelenggaraan, cuci gali, penyelenggaraan tebing dan pemuliharaan sungai.

“Pada 2018 sebanyak 21 projek dijalankan dengan kos RM485,694 diikuti 23 projek pada 2019 dengan kos RM1.1 juta.

“Sebanyak RM1.8 juta dibelanjakan pada 2020 membabitkan 43 projek dan RM1.5 juta pada 2021 dengan 30 projek,” katanya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini .

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof berhubung peruntukan mengatasi banjir di DUN Dusun Tua.

[Selangorkini] Lantikan berdasar prestasi, 41 peratus penjawat awam negeri wanita

Shah Alam, 3 Disember: Sebanyak 41 peratus penjawat awam di Selangor setakat 9 November lalu adalah wanita, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, 28 peratus adalah pegawai gred 52 dan ke atas yang terlibat sebagai pembuat keputusan.

“Kerajaan Negeri pada masa ini tidak memperuntukkan sebarang kuota jantina di bawah mana-mana jabatan, agensi atau portfolio untuk mengisi jawatan.

“Bagi semua kategori lantikan, pengambilan kakitangan adalah berdasarkan keperluan jabatan dan juga kompetensi mereka,” katanya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin sama ada terdapat kuota jantina di jabatan, agensi atau portfolio di bawah Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sementara itu, ditanya mengenai langkah meningkatkan prestasi kepimpinan wanita, Siti Mariah berkata pentadbiran sentiasa menilai kebolehupayaan, prestasi dan kompetensi individu bagi menjawat jawatan berkepentingan.

“Jika seseorang itu berprestasi tinggi maka pentadbiran ini akan melantik tanpa sebarang diskriminasi kepada jantina bagi menjawat jawatan ketua jabatan.

“Ini turut merangkumi pentadbiran awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri. Berdasarkan data perjawatan semasa terdapat dua pegawai daerah wanita dan seorang yang dipertua wanita,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/lantikan-berdasar-prestasi-41-peratus-penjawat-awam-negeri-wanita/

[Kosmo] Selangor perlu tambah jumlah DUN

Shah Alam: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu ditambah supaya jumlah pengundi di sesebuah kawasan dapat diagihkan secara sekata.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, beberapa DUN seperti Kinrara, Bukit Lanjan, Subang Jaya dan Kajang yang mempunyai populasi penduduk yang tinggi.

“Malah, kawasan DUN ini mempunyai jumlah pengundi yang lebih ramai daripada jumlah pengundi di beberapa kawasan Parlimen.

“Jadi, saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan Bukit Lanjan (Elizabeth Wong) bahawa jumlah pengundi perlu diagihkan secara sekata di beberapa buah negeri dan DUN Selangor perlu ditambah,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini,

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan lisan Elizabeth (PH- Bukit Lanjan) sama ada adil bagi sesebuah kawasan DUN mempunyai jumlah pengundi sebanyak 100,000 pengundi.

Pada ketika ini terdapat 56 DUN kesemua di Selangor.

Ketika mengulas pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku), Sze Han berkata, sebarang penambahan jumlah DUN dan Parlimen di negeri hanya boleh dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/12/02/selangor-perlu-tambah-jumlah-dun/

[Selangorkini] 324 projek perkilangan di Selangor dilulus pada 2020

Shah Alam, 2 Disember: Sebanyak 324 projek perkilangan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2020 dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata daripada jumlah keseluruhan projek yang diluluskan itu, sebanyak 93 peratus telah dilaksanakan.

“Sebanyak tujuh peratus masih dalam peringkat perancangan, pembangunan kilang dan juga pemasangan mesin dan alatan.

“Bagi memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa mengadakan perbincangan dan tindakan susulan terhadap pelabur bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail mengenai projek perkilangan yang diluluskan pada 2020 ketika penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Tambah Chang Khim, tiada garis masa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pihak pelabur tidak menarik cadangan pelaburan mereka.

“Mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan projek perkilangan daripada pihak Mida perlu mendapatkan surat tiada halangan (No-Objection Letter) daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

[Selangorkini] EXCO: Bunga tanjung identiti Batik Selangor

Shah Alam, 2 Disember: Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) sedang merancang membangunkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung.

EXCO kebudayaan berkata penyediaan reka bentuk dan motif batik berkenaan sedang dalam tindakan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Selangor.

“Bagi tujuan pengiktirafan, rekaan yang sedang dibangunkan ini akan dijadikan identiti atau motif batik negeri Selangor dan dicadangkan untuk diisytiharkan sebagai Batik Selangor.

“Selanjutnya PADAT akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi pemakaian batik motif bunga tanjung kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan promosi kepada masyarakat” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat, Kota Anggerik, Najwan Halimi mengenai usaha Kerajaan Negeri membantu mempromosikan batik pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata PADAT juga telah mengadakan perbincangan mengenai batik bunga tanjung dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Selangor dan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Selangor.

Katanya ia bertujuan mempromosikan batik Selangor motif bunga tanjung dan pemakaian batik oleh penjawat awam di negeri ini.