[Kosmo] Mangsa banjir boleh mohon bantuan bersih rumah secara dalam talian

KUALA LUMPUR, 10 JULAI 2021 – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada sidang akhbar Program Outreach Vaksinasi PKPD Pangsapuri Asrama Seri Ayu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) semasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 di negeri Selangor di sini hari ini. GAMBAR – AMIR KHALID / PEMBERITA – HUDA ( KOSMO )

Petaling Jaya – Mangsa banjir di sekitar negeri Selangor yang memerlukan bantuan sukarelawan untuk membersihkan rumah boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui laman web www.teguhbersama.com.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, platform yang disediakan itu juga membolehkan orang ramai yang ingin menyumbang derma untuk meringankan beban mangsa banjir.

“Mangsa banjir boleh memohon bantuan menguruskan rumah atau mengutip sisa sampah kesan banjir, hasil inisiatif Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

“Terima kasih kepada semua termasuk syarikat swasta dan kumpulan sukarelawan yang datang dari seluruh negara untuk membantu mangsa banjir di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, kerajaan negeri mengumumkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit untuk pemulihan kawasan terjejas banjir.

Setakat semalam, Selangor menerima sejumlah RM2.23 juta sumbangan individu, syarikat serta kerajaan Kedah dan Kelantan bagi membantu usaha tersebut.

Jelasnya, mana-mana individu atau syarikat yang ingin menyumbang boleh membuat bayaran dalam talian menerusi akaun Bank CIMB 8604-747-531 (Bendahari Negeri Selangor, Rujukan: Tabung Ikhtiar). – K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/12/28/mangsa-banjir-boleh-mohon-bantuan-bersih-rumah-secara-dalam-talian/

[Selangorkini] MB: Lokasi dipenuhi sampah banjir sekitar Shah Alam dibersihkan

Shah Alam, 27 Dis: Beberapa lokasi di bandar raya ini yang terjejas akibat banjir hingga dipenuhi sampah telah dibersihkan semalam.Dato’ Menteri Besar menerusi Twitter malam tadi berkongsi gambar keadaan sebelum dan selepas di Jalan Padang Jawa di mana ada salah satu lokasi mengambil masa kurang 20 minit untuk dibersihkan.

“Tinjauan sekitar beberapa lokasi di Shah Alam yang sebelum ini dipenuhi timbunan sampah dan sisa tinggalan banjir kini sudah selesai dibersihkan.

“Usaha ini akan diteruskan dan ditingkatkan lagi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kerajaan Negeri menyasarkan kerja pembersihan dan kutipan sampah pascabanjir dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Amirudin berkata setakat ini proses berkaitan di seluruh negeri hanya 25 peratus dan diharap dapat ditingkatkan kepada 50 peratus pada hujung minggu ini.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/mb-lokasi-dipenuhi-sampah-banjir-sekitar-shah-alam-dibersihkan/

[Selangorkini] MB: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan turun kepada 11,981

Shah Alam, 26 Dis: Seramai 11,981 mangsa banjir ditempatkan di 60 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat 8 malam tadi.

Perkembangan itu dikongsi Dato’ Menteri Besar menerusi Facebook dan jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 17,912 mangsa dan juga 95 PPS semalam.

“Jumlah PPS dan bilangan mangsa di PPS terus menurun. 60 PPS sedang dioperasikan melibatkan 2,992 keluarga dan 11,981 mangsa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Petang tadi, beliau memaklumkan pusat pemindahan itu kekal dibuka meskipun banjir surut.

Menurutnya, penutupan PPS hanya boleh diisytiharkan selepas keputusan dibuat jawatankuasa bencana negeri.

“PPS tetap dibuka untuk keselesaan dan kebajikan mangsa, ini kerana masih ada kediaman yang belum dibersih dan mereka masih berulang-alik ke sana,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/mb-jumlah-mangsa-banjir-di-pusat-pemindahan-turun-kepada-11981/

[Selangorkini] Lebih 1,500 keluarga di DUN Sentosa mohon bantuan RM1,000

Klang, 25 Dis: Lebih 1,500 keluarga mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa membuat permohonan bantuan RM1,000.Wakil rakyatnya Dr G Gunarajah berkata pihaknya mengambil inisiatif turun ke lokasi untuk memberi borang bagi memudahkan mangsa memohon.

“Mereka isi borang, saya terus tandatangan sebelum diserahkan kepada pejabat tanah untuk proses berikutnya.

“Kita mula edar sejak pengumuman dibuat Kerajaan Negeri pada Selasa lalu dan Pejabat Tanah Daerah Klang menjadi pejabat tanah pertama di Selangor yang proses permohonan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Amirudin Shari mengadakan tinjauan di Taman Maznah dan Taman Sentosa di sini hari ini.

Gunarajah berkata setakat ini jumlah rumah terjejas banjir di kawasannya adalah lebih 4,000 dan beliau berharap ketua keluarga segera membuat permohonan.

Kerajaan Negeri sebelum ini mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah, minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, beliau berkata peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Amirudin menjelaskan sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/lebih-1500-keluarga-di-dun-sentosa-mohon-bantuan-rm1000/

[Selangorkini] Enam pusat pemindahan di DUN Dusun Tua masih dibuka

Hulu Langat, 23 Dis: Enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua masih dibuka hingga kini.

Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata pusat terbabit turut dijadikan tempat simpanan bantuan susulan ramai penduduk mulai pulang ke rumah.

“Pada masa sama, kita buka tujuh pusat bantuan berskala kecil untuk memudahkan mangsa mengambil barang keperluan. Jadi mereka tidak perlu pergi jauh,” katanya.

Beliau yang ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di sini menambah seramai 5,700 penduduk yang tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah terkesan akibat bencana itu.

Sementara itu, Edry Faizal menasihatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi lokasi banjir hanya untuk mendapatkan kandungan media sosial.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/enam-pusat-pemindahan-di-dun-dusun-tua-masih-dibuka/

[Kosmo] Banjir: Kerja pembersihan giat di Selangor

Petaling Jaya – Kerajaan negeri Selangor akan melipatgandakan usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir yang melanda negeri tersebut sejak Sabtu lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 1,457 pekerja KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berganding bahu membantu mengendalikan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat.

“Setakat 21 Disember (semalam), sebanyak 457 tong Roro, 25 ‘backhoe’ dan 1,457 pekerja KDEB Waste @KDEBWaste serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengangkut sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir di kawasan terlibat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 1,457 pekerja KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) berganding bahu membantu mengendalikan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat.

“Setakat 21 Disember (semalam), sebanyak 457 tong Roro, 25 ‘backhoe’ dan 1,457 pekerja KDEB Waste @KDEBWaste serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengangkut sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir di kawasan terlibat.

“Banjir di kawasan itu berpunca disebabkan dari ban yang pecah sehingga mengakibatkan limpahan air,” katanya.

Jelasnya, pihak kontraktor sedang membina semula ban dan proses pengepaman air giat dilaksana ketika ini.

Sementara itu, beliau turut membuat tinjauan ke Kampung Asahan bagi memastikan proses pengepaman air banjir berjalan lancar bagi mempercepatkan air surut. – K! ONLINE

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2021/12/22/banjir-kerja-pembersihan-giat-di-selangor/

[Astro Awani] Banjir: RM100 juta diperuntuk untuk pulihkan Selangor – MB

Shah Alam: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM100 juta menerusi usaha Selangor Bangkit bagi proses pemulihan negeri itu daripada musibah banjir yang melanda ketika ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tersebut meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir serta bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir.
Beliau berkata peruntukan itu turut merangkumi bantuan pembersihan kawasan perumahan serta pemulihan infrastruktur yang mengalami kerosakan serta bantuan kesihatan.
 
“Kerajaan negeri akan mempermudah prosedur permohonan pemberian bantuan kepada keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak karenah birokrasi,” katanya dalam sidang media di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberi pelepasan bil air selama sebulan kepada akaun-akaun yang terkesan dengan bencana banjir.
 
“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama dua bulan kepada semua usahawan HIJRAH Selangor yang terkesan akibat banjir dengan implikasi kewangan berjumlah RM15 juta,” katanya.
 
Amirudin berkata pada waktu ini, keutamaan kerajaan negeri adalah menyelamatkan nyawa, menghulurkan bantuan kepada mangsa di PPS dan membersihkan kawasan perumahan mangsa supaya mereka boleh mula kembali ke rumah.
Beliau berkata KDEB Waste Management akan menggerakkan lori pungutan sampah, jentera pengorek serta trak pihak-pihak berkuasa tempatan yang tidak terjejas ke kawasan yang memerlukan pungutan sisa-sisa dan sampah sarap secepat mungkin.
 
“Setelah proses ini selesai, fokus seterusnya akan bertumpu kepada analisis skala kerosakan infrastruktur, pemulihan infrastruktur termasuk pengukuhan sistem tebatan banjir terutamanya kawasan-kawasan berisiko tinggi,” Katanya. 
-Bernama
 
 

[Sinar Harian] Banjir: MB Selangor sumbang sebulan gaji

Shah Alam – [Dikemaskini] Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersedia menyumbang sebulan gaji sebagai permulaan mengumpul dana melalui Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit yang dilancarkan bagi membantu mangsa banjir.

Menurutnya, Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit itu dilancarkan untuk mengumpul sumbangan daripada pihak luar ke lokasi terjejas.

“Sebagai sinergi dan kesepakatan bersama dengan semangat #KitaSelangor, kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pelancaran Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit (Bendahari Negeri Selangor: CIMB Bank – 8604747531) sebagai platform kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya syarikat-syarikat swasta, GLC, NGO serta orang perseorangan untuk sama-sama menyumbang ke arah pemulihan kawasan-kawasan yang terjejas dengan musibah banjir

“Saya akan sumbangkan sebulan gaji sebagai permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar perkembangan terkini situasi banjir Selangor di Bilik Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan seramai 17 korban banjir direkodkan di Selangor setakat jam 8 pagi Selasa melibatkan 10 kematian di Klang, tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Menurutnya, kematian bukan hanya melibatkan orang awam tetapi seorang daripada mereka merupakan sukarelawan banjir.

“Kita sedang kenal pasti punca kematian sama ada disebabkan lemas banjir, terputus bekalan ubat-ubatan atau faktor lain.

“Mewakili kerajaan negeri, saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa banjir khususnya mereka yang kehilangan orang tersayang,”

Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju menyampaikan sumbangan RM10, 000 kepada keluarga mangsa terkorban dan RM1, 000 kepada setiap keluarga terkesan banjir.

“Kerajaan negeri juga akan melaksanakan pelepasan bayaran bil air selama sebulan di lokaliti terjejas serta penangguhan pembayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah melibatkan kos RM15 juta,” katanya.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/179132/EDISI/Banjir-MB-Selangor-sumbang-sebulan-gaji

 

[Sinar Harian] Banjir: Selangor wujud Pusat Koordinasi Sukarelawan

Shah Alam – Pusat Koordinasi Sukarelawan Selangor diwujudkan bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai banjir di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia berpusat di Majlis Sukan Negeri Selangor, Kompleks Generasi Muda & Sukan, Seksyen 7, Shah Alam.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyertai misi bantuan bencana banjir di negeri berkenaan juga boleh menghubungi Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Mohamad Nizam.

Katanya, NGO terbabit juga boleh menghubungi Penolong Pengarah MSN, Zawahir Wazir (012 316 2080), Harlisa Rozikin (012-309 2040) dan Azri Ramli (012-695 2050).

“Tujuan pusat koordinasi ini adalah untuk menyelaras semua bantuan dan tenaga kerja sukarelawan yang ingin membantu misi bantuan bencana banjir di semua kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/178742/EDISI/Banjir-Selangor-wujud-Pusat-Koordinasi-Sukarelawan

[Selangorkini] Redah arus selamatkan bayi, penduduk terkandas banjir di Sungai Kandis

Shah Alam, 18 Dis: Menyelamatkan bayi berusia tiga hari dan penduduk dengan mengharungi arus deras dalam keadaan gelap antara cabaran dilalui wakil rakyat Sungai Kandis dan pasukannya di Kampung Johan Setia dan Kampung Seri Nadi yang terkandas akibat banjir.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata operasi enam jam yang bermula 12 tengah malam tadi itu dilancarkan selepas paras air semakin meningkat yang dibimbangi boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk terbabit.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan tanpa bantuan pihak berkuasa seperti bomba yang dikejarkan ke Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang susulan keadaan banjir di sana lebih meruncing dan membabitkan ramai mangsa.

“Tanpa menggunakan bot dan dalam keadaan gelap kerana bekalan elektrik diputuskan, kami berjalan meredah arus deras untuk membawa penduduk yang turut membabitkan komuniti Rohingya di Kampung Johan Setia.

“Paling mencabar untuk membawa wanita baru sahaja bersalin tiga hari lalu bersama bayinya. Alhamdulillah operasi berjalan lancar dan selesai jam 6 pagi tadi, lebih 200 penduduk dibawa keluar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Zawawi berkata kesemua mangsa kini ditempatkan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Johan Setia dan Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

“Kawasan lain terjejas di Sungai Kandis termasuk di Kampung Jalan Kebun, Bukit Naga, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jawa.

“Bantuan kepada mangsa sudah diberikan yang diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.