[Selangorkini] MBI sumbang baucar persekolahan kepada mangsa banjir Sabak Bernam

Shah Alam, 24 Feb: Lebih 40 mangsa banjir di Sabak Bernam pada Disember lalu menerima bantuan baucar persekolahan RM100 pada Selasa.

Speaker Dewan Negeri Selangor berkata sumbangan daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu bertujuan meringankan beban penduduk dalam menyediakan keperluan sekolah anak masing-masing.

“Sabak Bernam (banjir) tidak melibatkan mangsa yang ramai tetapi Kerajaan Selangor tetap membantu mereka.

“Ini menunjukkan kita mengambil berat terhadap semua golongan masyarakat dan mahu membantu mangsa yang terbebas,” kata Ng Suee Lim di majlis berkenaan.

Ahli Dewan Negeri Sekinchan itu berkata semua mangsa turut menerima Bantuan Selangor Bangkit sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Selangor.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/mbi-sumbang-baucar-persekolahan-kepada-mangsa-banjir-sabak-bernam/

[Selangorkini] DUN Sentosa tubuh sukarelawan, galak anak muda sertai misi bantuan

Klang, 18 Feb: Dewan Undangan Negeri Sentosa melancarkan kumpulan sukarelawan sendiri minggu hadapan bagi membantu penduduk berdepan masalah.

Wakil rakyat Dr G Gunaraj berkata pasukan dikenali ‘Khidmat 100’ itu bukan hanya berbakti kepada masyarakat sekitar DUN sahaja sebaliknya sedia digerakkan ke seluruh negara.

“Penubuhan ini susulan pelancaran pasukan Khidmat Untuk Malaysia (Khidmat) pada awal bulan ini selain kita mahu anak muda aktif membantu golongan masyarakat.

“Kumpulan sukarelawan ini dilancarkan pada Sabtu minggu hadapan melibatkan 100 ahli untuk peringkat awal. Kita jangka lebih ramai akan sertai pasukan ini ,” katanya.

Pada 6 Februari Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Khidmat bagi membantu kebajikan rakyat terutama ketika berdepan bencana.

Inisiatif yang merupakan kesinambungan penubuhan Sukarelawan Selangor (SERVE) itu bertujuan meringankan beban dan derita masyarakat selain melahirkan sifat kemanusiaan dalam diri ahlinya.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/dun-sentosa-tubuh-sukarelawan-galak-anak-muda-sertai-misi-bantuan/

[Selangorkini] Baucar persekolahan ringan beban mangsa banjir, tepat pada masanya

Shah Alam, 4 Feb: Pemberian baucar persekolahan RM100 kepada kira-kira 40,000 pelajar dalam kalangan keluarga terjejas banjir disifatkan tepat pada masanya.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah berkata bantuan itu amat diperlukan ketika ini, lebih-lebih lagi penduduk mengalami kerugian akibat bencana Disember tahun lalu.

“Segala jenis sumbangan daripada Kerajaan Selangor memang diperlukan masyarakat setempat ketika ini terutama mangsa bah yang berdepan banyak kerugian dan kemusnahan.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa untuk membeli kelengkapan sekolah anak mereka,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat turut senada selain memuji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat selepas mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit tahun lalu.

“Kali ini ada pula bantuan persekolahan kepada pelajar yang terjejas banjir, semoga inisiatif ini menceriakan pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan baucar menerusi Bantuan Pakaian Sekolah Selangor diagih secara berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Beliau menjelaskan pelajar peringkat rendah, menengah dan sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor boleh menebus baucar itu bagi mendapatkan baju, seluar, kain, stoking dan kasut.

 

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/baucar-persekolahan-ringan-beban-mangsa-banjir-tepat-pada-masanya/

[Selangorkini] Tiga beradik hilang ibu akibat digilis lori dibantu ADN Pandan Indah

Shah Alam, 3 Feb: Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu kandung akibat digilis lori tiga tan di Lebuhraya Sungai Besi minggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah.

Ir Izham Hashim bersama kakitangan pusat khidmat masyarakat menziarahi keluarga mangsa di Flat Taman Bakti, Pandan Indah sejurus dimaklumkan kejadian tersebut.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata ketiga-tiga beradik itu masih bersekolah dan menetap bersama nenek yang uzur sementara menuggu bapa mereka mendapat hak penjagaan di mahkamah.

“Insya-Allah, saya akan membantu keluarga ini mendapatkan rumah yang lebih selesa memandangkan bapa kandung mereka kini mempunyai keluarga lain dan berpendapatan rendah,” katanya.

Ir Izham yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut menyerahkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Semoga mereka dipermudahkan urusan, mendapat rahmat dari Allah SWT dan semoga roh ibu mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Mangsa Wan Nurfarahin Mohd Radzi, yang juga ketua jururawat pergigian hospital swasta dilaporkan terjatuh apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori tiga tan sebelum digilis.

Menurut laporan media, pemandu lori terbabit mendakwa tidak sedar telah melanggar dan menggilis mangsa dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/tiga-beradik-hilang-ibu-akibat-digilis-lori-dibantu-adn-pandan-indah/

[Selangorkini] Baucar Jom Shopping RM100, angpau ceriakan masyarakat Tionghoa

Shah Alam, 2 Feb: Sambutan Tahun Baharu Cina menceriakan masyarakat Tionghoa apabila wakil rakyat negeri ini menghulurkan pelbagai bantuan di kawasan masing-masing.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli beramah mesra serta mengedarkan buah limau kepada penduduk sempena Tahun Baharu Cina di Sasaran Sungai Buloh pada 28 Januari 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati mengambil inisiatif mengedarkan limau mandarin kepada masyarakat Cina sekitar Sasaran Sungai Buloh sempena perayaan itu.

Juwairiya Zulkifli juga menyampaikan bakul makanan sekitar Kampung Bagan dekat Tanjung Keramat.

ADN Taman Templer Mohd Sany Hamzan (kanan) menyerahkan baucar dan bantuan sempena Tahun Baharu Cina kepada penduduk pada 22 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer

Wakil rakyat Taman Templer pula memberi angpau bernilai RM100 serta pek makanan kepada 30 individu terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Agihan oleh Mohd Sany Hamzan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) bagi memberi kegembiraan kepada golongan kurang bernasib baik.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri (tengah) meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di pusat khidmat rakyat pada 30 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat N46 DUN Pelabuhan Klang

ADN Pelabuhan Klang turut menyerahkan baucar Jom Shopping bernilai RM100 kepada 350 penduduk berpendapatan rendah (B40), orang kelainan upaya, warga emas dan ibu tunggal.

“Semoga dengan bantuan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak meringankan beban untuk persiapan menyambut Tahun Baru Cina pada tahun ini,” katanya Azmizam Zaman Huri.

Sumbangan limau mandarin turut dilakukan ADN Permatang dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bagan Pasir Penambang di kawasan terbabit.

Rozana Zainal Abidin menyerahkan bantuan itu kepada peniaga dan pelanggan yang menikmati makan malam di Restoran Makanan Laut sekitar Pasir Penambang, empat hari sebelum perayaan.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/baucar-jom-shopping-rm100-angpau-ceriakan-masyarakat-tionghoa/

[Selangorkini] DUN Subang Jaya bina tapak refleksologi, belanja hampir RM20,000

Shah Alam, 1 Feb: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya membelanjakan RM19,997 untuk memasang tapak refleksologi di Padang Permainan Jalan USJ 9/5.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bergambar bersama penduduk di atas projek kecil tapak refleksologi di Padang Permainan Jalan USJ 9/5. 26 Januari 2022. Foto: Facebook Michelle Ng Mei Sze

Wakil rakyat Michelle Ng Mei Sze berkata tapak senaman kaki itu merupakan antara projek kecil di bawah DUN terbabit yang siap pada 29 November tahun lalu.

“Pejabat saya menerima surat permohonan daripada Pertubuhan Penduduk USJ 9 untuk membina kemudahan ini kerana pertambahan bilangan warga emas di kawasan tersebut.

“Malah, padang permainan itu juga sering dikunjungi ramai penduduk pada waktu pagi dan petang untuk melakukan senaman dan beriadah,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga USJ 9 Khoo Kah Jin berkata inisiatif itu amat bermanfaat kepada penduduk kerana tapak refleksologi dapat meningkatkan kesihatan individu.

“Refleksologi memainkan peranan yang penting dalam budaya Cina. Justeru, kami dapat berkongsi ilmu dan budaya ini dengan kaum lain di samping mengeratkan hubungan antara penduduk,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/dun-subang-jaya-bina-tapak-refleksologi-belanja-hampir-rm20000/

[Selangorkini] 100 keluarga mangsa banjir di Morib sudah terima bantuan RM1,000

Kuala Langat, 5 Jan: Lebih 800 borang permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) untuk mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib dihantar kepada pejabat daerah dan tanah, kata wakil rakyat Morib.

Hasnul Baharuddin berkata setakat ini kira-kira 100 keluarga di DUN Morib sudah menerima bantuan RM1,000 yang dikhaskan itu.

“Mereka yang belum berbuat demikian dinasihatkan untuk pergi ke pusat pendaftaran yang dibuka di Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Jugra dan Balai Penghulu Morib Kelanang.

“Pusat pendaftaran ini dibuka sehingga 31 Januari dan mereka yang terkesan boleh datang ke balai penghulu untuk rujukan,” katanya ditemui selepas meninjau dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Banting dan Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang di sini semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Hasnul Baharuddin bercakap kepada Media Selangor selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang, Kuala Langat pada 4 Januari 2022. Foto FIKRI YUSOF /SELANGORKINI

Pada 21 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah lebih dua minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka bantuan terbabit selesai diagih hujung Januari ini.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/01/100-keluarga-mangsa-banjir-di-morib-sudah-terima-bantuan-rm1000/

[Selangorkini] Inisiatif DUN Subang Jaya untuk rakyat sepanjang tahun lalu

Shah Alam, 4 Jan: Pelbagai usaha dilaksanakan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya sepanjang tahun lalu bagi memberi manfaat kepada penduduk.

Michelle Ng Mei Sze menerusi Twitter berkongsi inisiatif terbabit dalam Laporan 2021 ADUN Subang Jaya semalam.

  • 7,182 individu menjalani saringan Covid-19 secara percuma
  • 6,916 dos vaksin Covid-19 diberi kepada penduduk
  • 4,357 bakul makanan diedar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketat
  • 3,500 unit kit kendiri diedar
  • 100 oximeter diberi kepada komuniti atau penduduk
  • 158 wanita jalani ujian saringan pangkal rahim percuma anjuran ROSE Foundation
  • 108 pelajar terima komputer untuk pembelajaran atas talian
  • 10 unit tangki oksigen diderma kepada SJ Ambulance
  • 491 warga emas dihantar ke PPV untuk suntikan vaksin Covid-19
  • 12 kerja penambahbaikan sekolah, taman permainan, tenpat perkhidmatan bawah peruntukan Projek Kecil
  • Mendirikan projek bantuan guaman Kerajaan Selangor
  • Bantuan subsidi kos pakar bagi mereka yang memerlukan nasihat profesional kesihatan mental
  • Jalin kerjasama dengan pihak Kumpool melaksanakan sistem permintaan bas panggilan
  • 106,156 kilogram bahan kitar semula dikumpul setakat 31 Disember
  • 150 sukarelawan dimobilisasi untuk pembersihan pascabanjir
  • 600 tilam disumbang kepada mangsa banjir

Sumber: https://selangorkini.my/2022/01/inisiatif-dun-subang-jaya-untuk-rakyat-sepanjang-tahun-lalu/

[Selangorkini] Selvax Booster DUN Kuala Kubu Bharu Ahad ini

Shah Alam, 3 Jan: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu menganjurkan program Vaksin Selangor (Selvax) Booster pada 9 Januari ini.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata program itu berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa, Kuala Kubu Bharu.

“Dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Sinovac ini akan diberi secara percuma kepada individu berusia 18 tahun ke atas dan terhad 1,000 dos booster sahaja,” katanya menerusi Twitter.

Antara syarat lain individu itu perlu lengkap dos Sinovac dan tempoh melebihi tiga bulan, terbuka kepada mereka yang tidak menerima janji temu di MySejahtera.

Untuk maklumat atau pertanyaan boleh hubungi Pusat Khidmat Kuala Kubu Bharu di talian 03-6064 5505.

Pada 7 Disember lalu, Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster.

Pada 30 Jun Selangor melaksanakan Selvax Komuniti yang menyasarkan warga emas dan golongan berpendapatan rendah manakala Selvax Industri memfokuskan pekerja termasuk warga asing.

Kemudian pada 12 September Selvax bergerak dilaksanakan menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada 7 Oktober, Kerajaan Negeri mengumumkan pula program Selvax Remaja melibatkan 150,000 dos pelalian.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/01/selvax-booster-dun-kuala-kubu-bharu-ahad-ini/

[Selangorkini] ADN: 100 keluarga mangsa banjir Kampung Asahan dapat kelengkapan rumah

Shah Alam, 2 Jan: Seramai 100 keluarga mangsa banjir di Kampung Asahan memperoleh bantuan kelengkapan rumah hasil sumbangan pelbagai pihak kelmarin, menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan dapur masak, periuk nasi dan keperluan asas diagihkan pada 30 Disember lalu diharap meringankan beban mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan bencana dua minggu lalu.

“Ini semua hasil bantuan orang ramai yang dikumpulkan pusat khidmat masyarakat (PKM) Bukit Melawati untuk diedar kepada penduduk terjejas.

“Malah, (pada 31 Disember) kita terima tambahan 30 unit dapur masak dari badan bukan kerajaan (NGO) Terengganu untuk disampaikan kepada penduduk di kampung lain dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.

ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berucap sempena program penyampaian bantuan kepada keluarga mangsa banjir di Stadium Kuala Selangor, Kuala Selangor pada 30 Disember 2021. Foto Facebook Juwairiya

Sementara itu, Juwairiya berkata semua mangsa sekitar Kuala Selangor ditempatkan di PPS telah kembali ke kediaman masing-masing dan giat melaksanakan kerja pembersihan pascabanjir.

“Saya berterima kasih kepada sukarelawan dari luar, Sukarelawan Selangor (SERVE), Team Selangor dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana tidak putus-putus membantu proses pembersihan rumah mangsa,” katanya.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/01/adn-100-keluarga-mangsa-banjir-kampung-asahan-dapat-kelengkapan-rumah/