Kenyataan Media: Program ADUN Muda Selangor 2015

Kenyataan Media: Program ADUN Muda Selangor 2015

 

28 MEI 2015

Program ADUN Muda Selangor telah dianjurkan oleh Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor khas bagi mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi di sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka mengalami prosiding sebenar di Dewan Negeri sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Program ini telah diadakan sepanjang 2 hari bermula semalam (27 Mei 2015) sehingga hari ini (28 Mei 2015) di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Pada sesi kali ini, kami telah menerima sebanyak 93 permohonan dari seluruh Malaysia dan 56 orang peserta daripada institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dipilih. Panel pemilihan terdiri daripada YB Hannah Yeoh (Speaker), YB Shafie Ngah (Timbalan Speaker) dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad (EXCO Pendidikan).

Peserta-peserta yang terpilih merupakan gabungan peserta-peserta dari kawasan bandar dan juga luar bandar di negeri Selangor selain daripada peserta-peserta dari luar Selangor yang menuntut di Selangor.

Program ADUN Muda Selangor kali ini merupakan siri ketiga yang dianjurkan oleh Dewan Negeri Selangor di mana ia bertujuan untuk mendidik golongan muda tentang peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat dan mendedahkan mereka kepada dunia politik daripada peringkat awal. Para peserta telah mempelajari tentang prosedur dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri dan diberi pendedahan kepada persidangan di Dewan Negeri Selangor apabila mereka membahaskan usul-usul sebagai ADUN muda yang akan dipengerusikan oleh Tuan Speaker dan Timbalan Speaker sendiri. Mereka akan turut diberi ruang untuk berbahas dengan EXCO Pendidikan dan EXCO Belia ketika sesi perbahasan tersebut.

Para peserta juga telah berpeluang untuk berdialog serta beramah mesra dengan ADUN-ADUN Kerajaan dan juga Pembangkang. Melalui program ini juga, Dewan Negeri Selangor telah berjaya merapatkan lagi hubungan di akar umbi khususnya dengan anak-anak muda dan membuatkan Dewan Negeri Selangor lebih mesra dan mudah diakses selaras dengan konsep ketelusan yang menjadi salah satu tunjang utama Kerajaan Negeri Selangor.

Hannah Yeoh
Chairman of SELCAT
Speaker of the Selangor State Legislative Assembly

Pelancaran Sesi Pertama Program ADUN Muda Selangor Tahun 2015

Pelancaran Sesi Pertama Program ADUN Muda Selangor Tahun 2015

 

15 APRIL 2015

Program ADUN Muda Selangor akan dianjurkan buat kali pertama untuk penggal ini oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan akan menganjurkan sesi pertama program ADUN Muda pada 27 – 28 Mei 2015.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor dan yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh (Tuan Speaker) dan YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah (Tuan Timbalan Speaker).

Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan. Mereka juga akan mengenali para ADUN Selangor dengan lebih dekat lalu merapatkan jurang di antara anak muda dan wakil rakyat agar bakal pelapis pimpinan negeri lebih memahami peranan penting dan tanggungjawab seorang ADUN.

Sesi pertama Program ADUN Muda Selangor 2015 akan diadakan selama 2 hari di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 – 24 tahun daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan mahasiswa. Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor.

Tempoh permohonan akan dibuka selama 2 minggu mulai 15 April 2015 hingga 30 April 2015. Pemohon-pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web dewan.selangor.gov.my sebelum 1 Mei 2015. Panel pemilihan akan terdiri daripada YB Hannah Yeoh, YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah dan YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad. Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi dewan.selangor.gov.my pada 14 Mei 2015.

PEJABAT SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR

Kenyataan Media Jawatankuasa Pilihan Berkenaan Pihak Berkuasa Tempatan (JB-PBT)

KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA PILIHAN BERKENAAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (JP-PBT) DEWAN NEGERI SELANGOR 2015

 

18 MAC 2015

Peningkatan ketara kes demam denggi di negeri Selangor sejak kebelakangan ini amat membimbangkan. Antara faktor-faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan ini adalah disebabkan pengurusan sampah dan sisa pepejal serta pembersihan awam yang dilihat tidak konsisten dan tidak memuaskan. Selain daripada sikap penduduk setempat, Pihak Berkuasa Tempatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan kawasan awam dapat dijalankan mengikut jadual. 

Selain daripada itu, antara masalah yang menjadi perhatian Jawatankuasa ini adalah berkenaan penyelenggaraan jalan raya di seluruh Selangor. Kualiti jalan raya di Selangor di lihat agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain walaupun Selangor merupakan negeri yang paling maju di Malaysia. Aduan berkenaan keadaan jalan yang berlubang dan tidak rata serta kualiti penurapan semula jalan-jalan utama sering menghiasi dada-dada akhbar tempatan. 

Walaupun Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani masalah-masalah ini, aduan demi aduan masih diterima. Oleh yang demikian, sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan yang telah ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor untuk memeriksa dan memantau selia apa-apa perkara berkaitan PBT seperti yang diperuntukkan di dalam Peraturan 68B (1) (c) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, Jawatankuasa telah memutuskan untuk menyiasat dengan lebih terperinci berkenaan isu-isu ini dan seterusnya membuat saranan-saranan yang sewajarnya setelah mengambil kira aduan, pandangan serta cadangan daripada pihak-pihak yang berkaitan di dalam sebuah penyata jawatankuasa yang akan dibentangkan pada sidang kedua nanti. 

Sebagai permulaan, Jawatankuasa ini telah mengadakan satu pendengaran tertutup bersama kesemua dua belas PBT di Selangor bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi berkenaan masalah pengurusan sampah mereka pada 27 Februari 2015 yang lepas. 

Bagi isu penyelenggaraan jalan pula, Jawatankuasa akan mendapatkan maklumbalas secara bertulis daripada kesemua PBT dan juga pihak JKR berkenaan ‘Standard Operating Procedure’ atau SOP yang digunapakai di dalam penyelenggaraan jalan-jalan di negeri Selangor. Jawatankuasa seterusnya akan memanggil pakar-pakar di dalam isu ini sebelum membuat saranan kepada Kerajaan Negeri.

DR. IDRIS BIN AHMAD
PENGERUSI
JAWATANKUASA PILIHAN MENGENAI PIHAK BERKUASA TEMPATAN

SHAH ALAM, SELANGOR 

Kenyataan Media SELCAT bertarikh 27 Februari 2015

Kenyataan Media SELCAT bertarikh 27 Februari 2015

 

27 FEBRUARI 2015

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) akan mengadakan Pendengaran Awam pada hari Selasa, 3 Mac 2015 berkenaan “Penyelenggaraan dan Pemantauan Perumahan PPR Negeri Selangor”.

Jawatankuasa memutuskan untuk menyiasat perkara ini antaranya adalah kerana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) ditugaskan untuk memastikan penyelenggaraan sebahagian Flat-Flat PPR di Negeri Selangor.

Flat tersebut merupakan Program Perumahan Rakyat di bawah Rancangan Malaysia Ke-7 Jabatan Perumahan Negara/ Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Jawatankuasa akan menyiasat kecekapan pengurusan dan perbelanjaan dana pembiayaan penyelenggaraan Flat PPR yang dikatakan berpunca daripada Kerajaan Negeri Selangor iaitu wang pembayar cukai.

Pendengaran Awam tersebut boleh diikuti di laman sesawang Selangorku http://www.selangorku.com atau http://tv.selangorku.com/ dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Semua pihak yang terlibat secara langsung akan disaman hadir untuk memberi keterangan kepada SELCAT.

Sekian, terima kasih.

HANNAH YEOH
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT)

Kenyataan Media SELCAT bertarikh 7 Januari 2015

Kenyataan Media SELCAT bertarikh 7 Januari 2015

 

07 JANUARI 2015

Pada 5hb Januari 2015, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan (SELCAT) Negeri Selangor telah bermesyuarat untuk membincangkan dua isu seperti berikut:

(1) Laporan Pengauditan Berkenaan Pembayaran Gratuiti Oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) Dan Anak-Anak Syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (“MBI”); dan

(2) Perlaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Freedom of Information).

Fungsi SELCAT adalah untuk menyiasat isu yang menyentuh kepada keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran Kerajaan Negeri DAN menyediakan laporan/penyata untuk dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor. Berkenaan Laporan Audit MBI, ahli-ahli Jawatankuasa SELCAT berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk menjalankan pendengaran awam mengenai perkara ini kerana siasatan audit yang menyeluruh telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan laporan audit tersebut telahpun dibentangkan di dalam Dewan Negeri Selangor dalam sidang Dewan Nov-Dis 2014 (Laporan Audit tersebut boleh dimuat turun di sini).

Isu seterusnya yang akan disiasat oleh SELCAT adalah berhubung perlaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 setelah menerima aduan bahawa Enakmen tersebut tidak berkesan di kebanyakan jabatan kerajaan negeri. SELCAT memandang serius terhadap isu akses maklumat kepada orang awam. Oleh itu, SELCAT memutuskan untuk mengadakan Pendengaran Awam pada 27hb Januari 2015 untuk menyiasat keberkesanan perlaksanaan Enakmen Kebebasan Maklumat di negeri Selangor.

Hannah Yeoh
Tuan Speaker

PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS MENGENAI KEUPAYAAN, KEBERTANGGUNGJAWABAN DAN KETELUSAN (SELCAT) NEGERI SELANGOR

Ahli Jawatankuasa SELCAT

1. Y.B. Puan Hannah Yeoh (Pengerusi) (Subang Jaya)

2. Y.B. Tuan Ng Suee Lim (Sekinchan)

3. Y.B. Tuan Mohd Shafie bin Ngah (Bangi)

4. Y.B. Tuan Haji Saari bin Sungib (Hulu Kelang)

5. Y.B. Tuan Dr. Xavier Jayakumar A/L Arulanandam (Seri Andalas)

6. Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha (Taman Medan)

7. Y.B. Tuan Sulaiman bin Abdul Razak S.M.S., P.P.N. (Permatang)

Appointment of YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad as a Member of the State Executive Council

Appointment of YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad as a Member of the State Executive Council

 

26 SEPTEMBER 2014

I wish to congratulate YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad on his appointment as a member of the State Executive Council today.

In observing and abiding by the doctrine of separation of powers, I confirm that I have received YB Nik Nazmi’s resignation as the Deputy Speaker this morning. I thank YB Nik Nazmi for his co-operation and contribution as my Deputy Speaker in the last 15 months in ensuring the smooth running of the State Legislative Assembly and specifically for the setting up of Program ADUN Muda Selangor. I am certain his youth, enthusiasm and zeal will be valuable to the new administration of the Selangor State Government.

As Speaker, I look forward to working with the new Dato’ Menteri Besar of Selangor YAB Tuan Azmin Ali in continuing to safeguard the independence of the Selangor State Legislative Assembly and will continue to work on the reforms of the Assembly namely to pass the Selangor Legislative Assembly Service Commission Enactment (SELESA) bill or its equivalent. The SELESA bill will ensure the management and administration of the House are independent of the executive.

Hannah Yeoh
Speaker

Pelancaran Sesi Pertama Program ADUN Muda Selangor Tahun 2014

KENYATAAN MEDIA: PELANCARAN SESI PERTAMA PROGRAM ADUN MUDA SELANGOR TAHUN 2014

 

22 JULAI 2014

Program ADUN Muda Selangor akan dianjurkan buat kali kedua untuk penggal ini oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor. Tahun ini, program ADUN Muda akan dijalankan sebanyak dua kali iaitu pada bulan Ogos dan Disember. Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam akan menganjurkan sesi pertama program ADUN Muda pada 25 – 27 Ogos 2014.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor dan yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Negeri (ADUN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad selaku Tuan Speaker dan Tuan Timbalan Speaker.

Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan. Mereka juga akan mengenali para ADUN Selangor dengan lebih dekat lalu merapatkan jurang di antara anak muda dan wakil rakyat agar bakal pelapis pimpinan negeri lebih memahami peranan penting dan tanggungjawab seorang ADUN.

Program ADUN Muda Selangor 2013 telah berjaya diperkenalkan buat pertama kali di Dewan Negeri Selangor pada tahun lepas, 16 – 18 Disember 2013 anjuran Pejabat Speaker dengan kerjasama Pejabat Dewan Negeri Selangor. Seramai 30 peserta telah dipilih daripada 265 pemohon dari seluruh Selangor dan juga negeri-negeri lain. Semua peserta yang terlibat telah memberi maklumbalas positif tentang keberkesanan program ini. Malah, ada juga di kalangan mereka yang ingin menyertai program ADUN Muda Selangor buat kali kedua. Walau bagaimanapun, hasrat penganjur adalah untuk memberi pendedahan kepada seramai mungkin anak-anak muda Selangor. Oleh yang demikian, peserta hanya dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam program ini untuk sekali sahaja.

Sesi pertama Program ADUN Muda Selangor 2014 akan diadakan selama 3 hari di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 – 24 tahun daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan mahasiswa. Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor.

Tempoh permohonan akan dibuka selama 3 minggu mulai 22 Julai 2014 sehingga 11 Ogos 2014. Pemohon-pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web www.adunmudaselangor.com sebelum 12 Ogos 2014. Panel pemilihan akan terdiri daripada YB Hannah Yeoh, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan YB Dr. Ahmad Yunus Hairi. Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi www.adunmudaselangor.com pada 15 Ogos 2014.

Program ADUN Muda Selangor dilancarkan oleh Tuan Speaker, YB Hannah Yeoh dan Tuan Timbalan Speaker, YB Nik Nazmi Nik Ahmad pada 22 Julai 2014 (Selasa) di Pejabat Speaker, Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada jam 10.00 pagi.

PEJABAT SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR
22 JULAI 2014