[Berita Harian] Bekas ADUN Banting, Lau Weng San dilantik Speaker DUN Selangor

Shah Alam: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San dilantik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu bagi penggal pertama Mesyuarat DUN ke-15.

Nama Weng San dicadangkan oleh ADUN Sekinchan yang juga bekas Speaker DUN, Ng Suee Lim dan disokong oleh ADUN Banting, V Papparaidu.

Pada mesyuarat berkenaan, ADUN Sijangkang, Datuk Dr Yunus Hairi turut mencadangkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh sebagai Speaker dari Perikatan Nasional (PN) dan disokong oleh ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Setiausaha Dewan Negeri Selangor, J Gayathri kemudian memaklumkan undi sulit dilakukan berikutan terdapat dua nama calon Speaker yang dikemukakan.

Menerusi proses undi sulit itu, Weng San mendapat 34 undian manakala Dr Mohd Fuad memperoleh 22 undi.

Bagi Timbalan Speaker, ADUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri mencadangkan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin sebagai Timbalan Speaker dan disokong ADUN Teratai, Yew Jia Haur.

PN menerusi ADUN Sabak, Sallehein Mukhyi pula mencadangkan ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah dan disokong oleh ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Selepas selesai proses undi sulit, Mohd Kamri memperolehi 34 undi manakala Mohd Shafie Ngah mendapat 22 undi.

Pada mesyuarat itu, seramai 56 ADUN termasuk 22 ADUN daripada PN mengangkat sumpah.

Majlis angkat sumpah dimulakan dengan Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.

Ia disusuli 10 EXCO kerajaan Selangor iaitu ADUN Kinrara, Ng Sze Han; Izham Hashim (Pandan Indah); Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat); Ng Suee Lim (Sekinchan); Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar); Najwan Halimi (Kota Anggerik); Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama); V Papparaidu (Banting); Dr Fahmi Ngah (Seri Setia) dan Anfal Saari (Taman Templer).

Pada 12 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) (PH-BN) membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN manakala PN menang 22 kerusi.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/09/1154555/bekas-adun-banting-lau-weng-san-dilantik-speaker-dun-selangor#:~:text=SHAH%20ALAM%3A%20Bekas%20Ahli%20Dewan,pertama%20Mesyuarat%20DUN%20ke%2D15.