[Berita Dewan] Pensyarah dan Penuntut Kolej Islam Antarabangsa Kunjungi Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 24 Mei: Dewan Negeri Selangor telah menerima 40 pelawat yang terdiri daripada 35 mahasiswa Diploma Undang-undang, Kolej Islam Antarabangsa (KIA), bersama lima (5) orang pensyarah.

Ketibaan rombongan pada jam 9.30 pagi di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor disambut mesra oleh Pihak Pejabat Dewan Negeri Selangor (PDNS) sebelum mereka di bawa ke Bilik Gerakan untuk sesi taklimat.

Lawatan tersebut telah dimulai dengan ucapan aluan daripada Yang Berhormat Tuan Lau Weng San dan ucapan balas daripada Timbalan Dekan Fakulti Undang-undang, Puan yang menyatakan penghargaan kepada Dewan Negeri Selangor atas kesudian menerima kunjungan daripada Kolej Islam Antarabangsa.

Lawatan ini merupakan lawatan pertama KIA ke Dewan Negeri Selangor dan dimaklumkan salah seorang alumni jurusan Undang-undang KIA telah terpilih untuk menyertai Program ADN Muda Selangor 2024 mewakili kawasan DN Sungai Tua yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Mei 2024.

Majlis diteruskan dengan sesi taklimat bertajuk Pengenalan kepada Dewan Negeri Selangor yang disampaikan oleh Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar beserta sesi soal jawab.

Sepanjang sesi taklimat dan sesi soal jawab berlangsung, para pensyarah dan mahasiswa telah bertanya soalan berkaitan pelaksanaan Program ADN muda, pengalaman YB Speaker sebagai seorang pelajar jurusan undang-undang dan juga seorang Ahli Dewan Negeri, keahlian Jawatankuasa Pilihan/Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor dan juga isu berkaitan Konsep Pemisahan Kuasa.

 

Turut berlangsung sesi pertukaran cenderamata antara Dewan Negeri Selangor dengan wakil KIS dan semua pensyarah dan Mahasiswa turut menerima cenderamata oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor.

Program diakhiri dengan sesi lawatan ke Bangunan Dewan Negeri Selangor yang terdiri daripada Galeri dan Chamber di mana Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor bersidang.