[Berita Dewan] 31 Mahasiswa dan Pensyarah Universitas Medan Area, Indonesia kunjungi Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 6 Dis: Dewan Negeri Selangor telah menerima pelawat yang terdiri daripada 31 mahasiswa Pascasarjana (Master) Universitas Medan Area (UMA), Indonesia, diketuai oleh Dr Budi Hartono, Pengerusi Program Pascasarjana UMA Pentadbiran Awam (Public Administration).

Ketibaan rombongan pada jam 2.30 petang di hadapan bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor disambut mesra oleh Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, Yang Berhormat Tuan Lau Weng San, Setiausaha Dewan Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar dan Pegawai, Penyelidik serta kakitangan Dewan Negeri Selangor.

Lawatan tersebut telah dimulai dengan ucapan aluan daripada Yang Berhormat Tuan Lau Weng San dan ucapan balas daripada Dr Budi Hartono yang menyatakan penghargaan kepada Dewan Negeri Selangor atas kesudian menerima kunjungan daripada mahasiswa Universitas Medan Area (UMA), Indonesia.

Lawatan ini ternyata begitu bermakna memandangkan ia turut disertai oleh beberapa Ahli Dewan Permesyuaratan Rakyat (DPR) Daerah Medan yang pada masa yang sama sedang menuntut di Universitas Medan Area (UMA), Indonesia.

Selain itu, sesi taklimat bertajuk Pengenalan kepada Dewan Negeri Selangor turut disampaikan oleh Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar beserta sesi soal jawab.

Sepanjang sesi taklimat dan sesi soal jawab berlangsung, para mahasiswa yang juga terdiri daripada 5 orang ahli parti politik telah bertanya soalan berkaitan perbandingan sistem politik dan badan legislatif yang diamalkan di Indonesia dan di Malaysia seperti proses penggubalan undang-undang dan perbezaan bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri.

Program lawatan tersebut diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata antara Dewan Negeri Selangor dengan wakil Universitas Medan Area dan pemberian cenderamata kepada semua ahli rombongan oleh Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor.