SHAH ALAM: Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengawasi dan menambah baik sistem sekolah tahfiz di negeri ini, dengan sekolah tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup.
Untuk itu, baginda Sultan Selangor bertitah keadaan fizikal, fasiliti bangunan dan asrama sekolah tahfiz perlu dilengkapi dengan aspek keselamatan diiktiraf.
Memberi contoh, titah baginda alat pencegah kebakaran di sekolah berkenaan juga hendaklah dalam keadaan baik dan diluluskan pihak bomba.
“Sekolah-sekolah tahfiz tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pada itu, baginda sekali lagi mengingatkan JAIS supaya terus membanteras ajaran sesat yang menyeleweng, selain berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Beta selaku ketua agama Islam di Negeri Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini.
“Beta suka mengingatkan lagi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya terus membanteras ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng dan berusaha mengadakan program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga berharap tidak ada individu atau kumpulan tertentu mempergunakan golongan anak yatim dan asnaf di Selangor untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.
“Beta ingin mengingatkan supaya anak-anak yatim dan golongan asnaf di Selangor tidak seharusnya diabaikan.
“Pihak JAIS dan juga Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hendaklah memainkan peranan membantu golongan ini dan memastikan mereka mendapat pendidikan dan keperluan asas yang baik dan sempurna,” titah Sultan Sharafuddin.
Sementara itu, Sultan Selangor berharap kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menangani isu bencana seperti banjir dan tanah runtuh.
Baginda menegaskan pentadbiran negeri melaksanakan perancangan rapi untuk menghadapi isu bencana terutamanya banjir supaya tragedi banjir yang dahsyat tidak berulang lagi.
Baginda juga mahu melihat Rancangan Tebatan Banjir oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang berjumlah RM1.774 bilion dipercepatkan.
Sumber: Berita Harian Online